Insan & Komuniti 23 Jun, 2024

Hati-hati warga pesara! Antara mangsa utama scammer! Wajar diberi pendedahan mengenai jenayah siber!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

 

inspektor Nor Afizah ketika menyampaikan taklimat kepada peserta.


GOLONGAN pesara adalah antara yang ramai menjadi mangsa jenayah siber dan scammer (penipu) yang menjadi sasaran penipuan secara online di negara ini dan menyebabkan banyak kerugian terpaksa ditanggung bukan sahaja oleh mangsa malah kerajaan juga. 

Komuniti Madani Bandar Jertih yang prihatin terhadap isu tersebut mengambil langkah bijak dengan menganjurkan Program Pencegahan Scammer dalam kalangan komuniti setempat bagi memberi kefahaman dan kesedaran kepada masyarakat setempat.

Penganjuran yang mendapat kerjasama Jabatan Penerangan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu sedkit sebanyak memberi celik kefahaman kepada peserta yang menghadiri program yang jarang dianjurkan oleh Badan Bukan Kerajaan (NGO).


Sebahagian peserta yang terdiri daripada pesara yang menghadiri sesi penerangan jenayah scammer.


Kira-kira 100 peserta terdiri daripada warga pesara, komuniti Rukun Tetangga dan penduduk setempat menghadiri program sehari yang berlngsung di Pusat Aktiviti Rukun Tetangga Bandar Jertih.

Sesi taklimat dan penerangan ini bertujuan memberi kesedaran kepada peserta menggunakan kemudahan aplikasi internet dan media sosial dengan sebaiknya. Aspek ini penting untuk mengelak daripada terjerumus ke dalam perangkap jenayah siber. 

Selain itu, objektif taklimat ini ialah untuk mendidik golongan pesara yang banyak terdedah dengan aktiviti scammer, selain mendisiplinkan diri dan menjadi pengguna media sosial yang bertanggungjawab dan bijak serta mengelak daripada penyalahgunaan media sosial seperti penyebaran berita palsu.



Setiausaha Komuniti Madani Bandar Jertih, Kamarudin Hamzah berkata, perkongsian taklimat ini sebagai pendidikan awal kepada peserta agar tidak terjerumus dan menjadi mangsa sindiket scammer yang kian berleluasa. 

‘Setiap lapisan masyarakat jika tidak berwaspada akan berpotensi menjadi mangsa jika terpedaya dengan modus operandi dan manupulasi  “scammer”," tegasnya.


Saharuddin Mohamed turut memberi penerangan mengenai jenayah siber


Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Besut memberi kerjasama sepenuhnya bagi menjayakan program itu dengan menghantar tiga pegawai dalam bidang berkaitan untuk menyampaikan taklimat.

Pegawai penyiasat Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, Inspektor Nor Afizah Ahmad dari IPD Besut menyampaikan ceramah dan tayangan multimedia sebagai penerangan kepada para peserta. 

Penolong Pengarah Cawangan Perkhidmatan Komunikasi Dan pembangunan Masyarakat, Jabatan Penerangan Terengganu, Saharuddin Mohamed pula telah merasmikan program tersebut.

Peserta-peserta jelas teruja dan pelbagai soalan diajukan ketika sesi soal jawab bersama penceramah. - KitaReporters


 

14
12
1
9
1
You will be interested