Insan & Komuniti 30 Dec, 2024

Sentuhan Kasih warga emas! Kolaborasi Persatuan Psikologi UPSI, Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Ahli-ahli Persatuan Psikologi UPSI beramah mesra dengan warga emas PJMM.


UNTUK melengkapkan kefahaman mengenai psikologi iaitu mengenai minda dan bagaimana ia menentukan serta mempengaruhi tingkah laku seseorang, warga emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor menjadi kajian pelajar program pengajian psikologi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Sebagai menambah keberkesanan program yang diberikan nama Sentuhan Kasih Persatuan Psikologi UPSI itu, 18 ahli jawatankuasanya bergabung dengan ahli Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin (PKPP) yang berpengalaman dalam menyantuni warga emas.

Penasihat persatuan berkenaan, Dr Wan Nurul Izza Wan Husin, berkata program itu diharapkan memberi ilmu tambahan kepada ahli persatuan kerana sebagai pelajar mereka wajar diberi pendedahan dengan berada di lapangan supaya lebih memahami apa yang dipelajari dalam bilik kuliah.

Jelasnya, apabila menamatkan pengajian nanti pelajar terbabit akan menghadapi situasi sebenar apabila terpaksa menyantuni, berkomunikasi, melayan warga emas atau mereka yang lebih tua dalam melaksanakan tugas dipertanggungjawabkan.


Dr Wan Nurul Izza Wan Husin.


Tambahnya, dengan berada dalam komuniti di PJMM mereka berpeluang untuk mengkaji psikologi warga emas yang ditemui kerana ada antara penghuni itu mempunyai pelbagai karakter atau perwatakan yang berbeza dan memerlukan pendekatan terbaik menangani emosi berkenaan. 

“Daripada ini juga pelajar terbabit memperoleh pendedahan mengenai psikologi seorang warga emas yang lanjut usia dan mungkin sesetengahnya menjadi pelupa, yang berbeza dengan kanak-kanak dalam proses pembesaran.

“PKPP merupakan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mempunyai pengalaman dalam menyantuni karenah warga emas dan pelajar akan mempraktikkan perkara ini untuk memudahkan memahami psikologi orang tua,” katanya yang ditemui pada program berkenaan di PJMM pada 28 Disember 2024.

Turut hadir pada program itu, Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin; Pengerusi PKPP, Mohd Rizal Othman; dan ahli-ahli PKPP.


Sangettavani Mahendran (kanan) melihat Ahli Persatuan Psikologi UPSI bekerjasama dalam aktiviti gotong-royong yang diadakan.


Pada program itu, pelajar terbabit dan ahli PKPP mengadakan aktiviti beramah mesra, senaman ringan, ‘bond & bloom’, ‘brain gym, ‘snake ladder game’, crossword puzzle’ serta congkak bersama warga emas, dan diikuti gerak kerja gotong-royong membersih halaman dalam serta luar PJMM.

Pengarah projek program berkenaan, Sangettavani Mahendran, berkata sebelum datang ke PJMM, dia dan rakan dalam persatuan itu sudah mengadakan aktiviti menyantuni komuniti gelandangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada Ogos 2024.

Menurutnya, bersama komuniti itu, dia dan ahli-ahli persatuan mengagihkan bantuan makanan yang dimasak sendiri di samping mengedar pakaian baharu serta terpakai kepada gelandangan yang turut memberi kesan kepada mereka untuk memahami psikologi golongan gelandangan.


Ahli-ahli Persatuan Psikologi UPSI dan Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin merakam kenangan bersama-sama barangan keperluan asas yang disumbangkan untuk PJMM.


Tambahnya, apabila persatuan merancangkan pula mengadakan program di PJMM, ahli-ahli berasa begitu teruja untuk berjumpa dengan warga emas yang berada di pusat jagaan kerana kehidupan dan emosi mereka tentu jauh berbeza dengan gelandangan.

“Sebagai pengarah projek saya sentiasa menasihatkan ahli supaya menggunakan peluang diberikan itu sebaik mungkin kerana ia akan banyak membantu dalam pengajian psikologi dalam bilik kuliah di samping dapat berganding bahu dengan ahli PKPP yang sering berada di lapangan menyantuni komuniti warga emas,” ujarnya.


Mohd Rizal Othman (kiri) dan Ahli Pertubuhan Komuniti Pandan Prihatin (kanan) melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan keperluan asas hasil kolaboratif bersama Persatuan Psikologi UPSI kepada Muhamamad Syafiq Mohiadin(empat dari kanan).


Sementara itu, Mohd Rizal berkata, dalam program itu, PKPP sebagai NGO perantaraan untuk menyalurkan pelbagai barangan keperluan asas yang disumbang orang ramai, prihatin dan memberi sokongan bagi menjayakan aktiviti dalam pelajar psikologi berkenaan.

Menurutnya, sebagai NGO itu yang sudah lama bergelumang dengan komuniti warga emas, keluarga miskin, asnaf dan gelandangan tidak akan melepaskan peluang mengikuti program seperti itu terutama membabitkan pelajar universiti kerana ahli PKPP juga berpeluang mendalami ilmu psikologi.

Jelasnya, langkah itu amat bersesuaian kerana apabila ahli PKPP menyantuni seperti warga emas, asnaf dan dalam kalangan keluarga B40 di komuniti Taman Dagang, Ampang sebagai contoh, mereka terpaksa menggunakan pendekatan psikologi bagi menangani emosi mereka itu.

Tambahnya, untuk memastikan mereka itu aktif, dengan dibantu oleh Sahabat Pandan Prihatin, PKPP akan mengadakan aktiviti membersih rumah, peralatan yang digunakan dalam rumah seperti peti ais sebelum mereka diberikan agihan barangan keperluan asas harian dan makanan basah.

“Untuk membabitkan dalam aktiviti yang disusun ini, PKPP terpaksa menggunakan psikologi bagi menarik emosi warga emas, asnaf dan B40 yang akan membantu menghilangkan rasa stres di samping memberi kesedaran  bahawa ada pihak ambil peduli nasib mereka.

“Apa yang dilakukan oleh Persatuan Psikologi UPSI dalam program di PJMM ini bermanfaat untuk dipraktikkan oleh ahli PKPP yang akan menambah pengetahuan serta pengalaman mereka dalam cara menangani psikologi warga emas yang disantuni dalam kawasan komunitinanti,” ujarnya lagi. - KitaReporters


Ahli-ahli Persatuan Psikologi UPSI menyantuni warga emas PJMM dengan permainan ‘snake ladder game’,

17
15
0
18
0
You will be interested