Insan & Komuniti 22 Oct, 2024

Memberdayakan komuniti, wanita! 40 AJK Pusat Wanita Berdaya ikuti Kursus Kepimpinan, Team Building!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


MENZAHIRKAN keprihatinan dan sokongan kepada usaha pemberdayaan warga Selangor terutama dalam kalangan wanita, kerajaan negeri mewujudkan 56 Pusat Wanita Berdaya (PWB) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Melalui PWB itu, pelbagai aktiviti membabitkan aspek ilmu pengetahuan serta kemahiran yang tidak terbatas dizahirkan kepada kalangan wanita yang turut menjadi penjanaan sumber pendapatan kepada sasaran yang terbabit.

Usaha itu juga selaras objektif strategik PWB yang berperanan sebagai medan bagi memberdaya dan menggalakkan wanita untuk bergiat aktif di samping melaksanakan aktiviti yang boleh menjana pendapatan kepada komuniti berkenaan dengan memberi ilmu bermanfaat seperti kelas jahitan, masakan, kraf tangan dan sebagainya. 

Bagi memastikan setiap usaha membantu dalam kalangan wanita di komuniti terbabit mencapai matlamat serta membawa manfaat sebagaimana disarankan kerajaan negeri, empat PWB bergabung mengadakan program Kursus Kepimpinan dan Team Building di Bagan Lalang, Morib, Selangor, pada 12 dan 13 Oktober 2024.


Ahli Jawatankuasa PWB mengikuti ceramah kepimpinan dalam program berkenaan.


Setiap PWB menghantar 10 ahli jawatankuasa (AJK) diketuai pengerusi masing-masing iaitu Normala Abd Malik PWB DUN Semenyih; Norazlina Shafiei (Sungai Panjang); Lia Ariffin (Kuang); dan Johaini Ab Jalal (Morib) yang mempunyai sikap bertanggungjawab, dedikasi serta berkepemimpinan tinggi membela nasib komuniti.

Penyaras program, Johaini berkata, program yang dirasmikan oleh Penyelaras DUN Morid, Safiee Harun itu bermatlamat membentuk serta membina semangat kepemimpinan dalam kalangan diri AJK PWB, mengenal pasti erti memimpin, mempunyai sikap ukhuwah dalam persahabatan dan cakna dalam setiap tindakan dibuat.

Menurutnya, langkah itu penting terutama dalam membantu wakil rakyat di kawasan DUN berkenaan dapat meneruskan usaha mengubah nasib komuniti setempat terutama meningkatkan taraf ekonomi keluarga dengan memanfaatkan setiap kemudahan disediakan oleh kerajaan.

Tambahnya, menerusi program itu setiap ahli jawatankuasa diberikan penerangan serta langkah yang molek dan cakna untuk membantu serta membimbing dalam kalangan wanita terbabit IKS untuk melakukan sesuatu berkesan seperti meningkatkan pengeluaran dan daya saing.


Merakamkan aksi selepas menyertai aktiviti secara berkumpulan.


“Kami berkongsi buah fikiran di samping mengenal pasti kelemahan yang masih ada serta melakukan perubahan supaya tidak memberi kesan buruk kepada ahli dan komuniti yang terbabit dalam pelbagai IKS bagi menampung kehidupan keluarga.

“Mungkin kami juga akan bertindak sebagai mata dan telinga kepada wakil rakyat DUN terbabit untuk menyalurkan maklumat serta cadangan perlu dilakukan untuk menambah baik perusahaan IKS yang diceburi ahli PWB dan komuniti amnya,” ujarnya.


Merakam kenangan selepas melawat perusahaan IKS untuk berkongsi ilmu.


Sementara itu, Normala berkata, bukan senang untuk berkumpul dalam satu program membabitkan ahli jawatankuasa PWB empat DUN dengan tujuan yang sama iaitu bagi membantu meningkatkan taraf ekonomi komuniti khusus dalam kalangan wanita. 

Tambahnya, kesempatan itu digunakan sebaik mungkin terutama bagi mengemaskinikan pergerakan serta perancangan PWB di kawasan DUN masing-masing dengan berkongsi idea supaya aktiviti yang dilaksanakan memberi manfaat kepada ahli keseluruhan.

Justeru jelasnya, dalam program itu diadakan kembara ilmu ke Kanchong Darat untuk melawat lapan pengusaha IKS yang diketuai Mohd Afandi Hamzah membangunkan perusahaaan mereka dengan membabitkan komuniti setempat.

Menurutnya, pada hari kedua itu dimanfaatkan sebaik mungkin oleh AJK PWB untuk melihat secara dekat dan bertanya kepada pengusaha IKS mengenai cabaran dan rintangan yang terpaksa ditempuhi bagi memastikan kejayaan terutama mampu berdaya saing.


Ahli Jawatankuasa PWB empat DUN merakam kenangan selepas mengikuti program Kursus Kepimpinan dan Team Building.


“Ilmu yang diperoleh ini akan dikongsi dengan ahli di PWB DUN masing-masing untuk dipraktikkan bersesuaian dengan IKS yang dilaksanakan supaya dapat mendatangkan sumber pendapatan keluarga.

“Setiap IKS yang dilaksanakan ini tidak sama antara empat PWB DUN tetapi kami boleh berkongsi ilmu pengetahuan untuk dicontohi dan paling penting dapat menyakin kerajaan negeri penubuhan PWB bukanlah suatu yang sia-sia sebaliknya memberi banyak manfaat,” ujarnya. - KitaReporters

14
14
0
5
0
You will be interested