Setiap umat Islam ingin mengalami pemergian terakhir secara husnul khatimah kerana tahu akan fadilatnya. Di Indonesia dilaporkan berlaku banyak kematian yang disifat sebagai husnul khatimah.
Terbaharu berlaku di Masjid Al-Falah, Kelurahan Cijoho, Kecamatan Kuningan, Kabupaten Kuningan, Jawa Barat pada Ahad, 4 Ogos 2024.
Ustaz Dedy Fauji S Ag, 54, yang merupakan imam masjid berkenaan, juga seorang guru ngaji al- Quran menghembuskan nafas terakhirnya ketika sedang melaksanakan solat sunat selepas solat fardu maghrib.
Rakaman video melalui kamera litar tertutup (CCTV) masjid berkenaan tersebar dalam pelbagai media sosial membuatkan ramai yang menonton video berkenaan rasa tersentuh.
Ustaz Dedy kelihatan sujud beberapa ketika dan kemudian tubuhnya jatuh mengiring ke kiri dan tidak lama kemudian dihampiri beberapa jemaah.
Menurut seorang ahli jawatankuasa masjid, Didi Taryadi, arwah yang sedang mendirikan solat sunat dua rakaat selepas maghrib tidak bangun daripada sujud terakhirnya.
Ustaz Dedy dibawa ke sebuah hospital tetapi pihak perubatan mengesahkan dia sudah meninggal. Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan empat anak.
Pada hari kejadian, Ustaz Dedy selain menjadi imam turut melaungkan azan maghrib. Dia yang sudah puluhan tahun menjadi guru ngaji bagi kanak-kanak menjadikannya sebagai insan yang disayangi di daerahnya.Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di tanah perkuburan setempat dengan diiringi ratusan penduduk tempatan. - KitaReporters
Tags: