Insan & Komuniti 03 Mar, 2020

JALINAN KASIH! SISWA UUM BANGUNKAN SURAU

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this

Projek pengubahsuaian dan penambahan surau Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN) Jitra, Kedah telah mempunyai dana untuk membeli barang pembinaan. Namun kolaborasi antara agensi pembinaan seperti Akademi Binaan Malaysia (ABM) diperlukan bagi proses pembinaannya. : KitaReporters


Oleh itu Mahasiswa Universiti Pengurusan UUM mengambil langkah dengan membantu sekolah itu mendapatkan jalinan hubungan dengan organisasi luar agar menyegerakan pembinaan surau ini.

Sehubungan itu, mahasiswa Inapan Siswa (Inasis) TNB UUM telah memainkan peranan untuk membaik pulih  surau sekolah sukan daerah Kubang Pasu itu. 

Alumni SMKPN Muhammad Saniy Samsudin yang juga Pengarah Projek mewakili Inapan Siswa (Inasis) TNB telah mengambil langkah untuk melancarkan program ini.

Pengetua Inasis TNB UUM Idzwan Yacob yang mewakili Timbalan Naib Canselor (TNC) Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) UUM Prof Madya Dr Hendrik Lamsali dalam ucapan perasmiannya di sekolah itu baru-baru ini berkata, projek komuniti untuk membangun dan menaik taraf surau asrama SMKPN ini perlu membabitkan semua pihak.

"Saya berharap projek pengubahsuaian surau ini dapat mencapai objektifnya, sekali gus mempercepatkan pembinaannya agar dapat digunakan sebelum sesi April 2020 nanti," ujarnya lagi.

Beliau juga mengharapkan semua pihak untuk  membantu mencari dana agar pembinaan surau ini dapat disegerakan dengan kerjasama ABM dan Inasis TNB UUM.

Katanya dengan pembinaan surau ini kelak pastinya membolehkan pelajar sekolah sukan daerah ini dan asrama menggunakannya nanti.

Sementara itu, Muhammad Saniy yakin dengan sokongan pihak pengurusan universiti, warga kampus dan ABM pastinya akan mempercepatkan pembinaan surau ini. 

"Proses pengajian di universiti pengurusan bukan sahaja mementingkan akademik malah peluang melakukan kerja kemasyarakatan seperti ini memberi nilai tambah kepada mahasiswa agar lebih bersedia untuk diterima oleh majikan selepas kami menamatkan pengajian nanti," ujarnya ketika menyampaikan ucapan pada majlis itu.

Sebagai Alumni SMKPN dia bangga kerana dapat mencurahkan bakti semula kepada sekolah tempatnya menuntut ilmu hingga berjaya ke menara gading.

Dalam pada itu, walaupun Pengetua Inasis TNB UUM sebelum ini Idzwan telah bertukar dan digantikan  dengan Dr Rohani Abdullah, namun misi untuk meneruskan pembinaan surau ini hingga siap sepenuhnya tetap dilaksanakan.

Dari segi perlaksanaan projek, Inasis TNB UUM akan bekerjasama dengan pihak ABM untuk menjalankan kerja-kerja menyiapkan surau semasa sesi cuti  persekolahan Mac 2020 nanti.

Bagi mempercepatkan dan melengkapkan lagi pembinaan surau ini Inasis dan SMKPN juga memerlukan sumbangan sebagai penambahan kos selain daripada sumbangan yang telah diterima.

Menurut Pengetua SMKPN Ku Azizan Ku Othman beliau berterima kasih kepada pihak Inasis TNB UUM, ABM, bekas Timbalan Menteri Kewangan, bekas Menteri Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG), waris, pelajar serta semua pihak yang sudi membangunkan projek surau yang akan digunakan oleh pelajar asrama sekolah dan juga pelajar sekolah lain yang menggunakan padang sekolah itu untuk menyertai kejohanan di situ.

SMKPN mempunyai pelajar seramai 1,908 termasuk pelajar asrama seramai 263 orang, manakala sekolah sukan ini juga menjadi tumpuan kejohanan sukan bola sepak, olahraga, bola keranjang dan takraw.

Mereka yang ingin menyumbang untuk projek surau ini boleh menyalurkan ke akaun PIBG SMKPN 02039020142813 atau  hubungi talian 0182936567 untuk keterangan lanjut.

Turut hadir pada majlis ini ialah Pengajar ABM Izzuddin Ramizon, wakil Pegawai Pendidikan Daerah (PPD), Penolong Inasis TNB UUM Muhammad Nur Fitri Ahmad, dan Yang Dipertua Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) Che Saad Hashim. - KitaReporters





3
0
0
0
0
You will be interested