Insan & Komuniti 30 Jan, 2026

Keselamatan Online! Kena scam RM364,500! Peniaga kedai terjerat scammer menyamar jadi anggota polis!

Share this

Menjadi seorang peniaga bukanlah tugas mudah pada zaman serba canggih ini tambahan lagi peniaga sudah tumbuh ibarat cendawan selepas hujan di mana banyak gerai dan kedai yang dibuka demi kelansungan hidup.


Gambar hiasan


Baru-baru ini, seorang peniaga kedai makan telah menjadi mangsa terbaharu scammer dalam talian apabila dia telah kerugian sebanyak RM364,500 selepas termakan hasutan scammer yang menyamar sebagai anggota polis.

Jumlah wang tunai RM364,500 itu bukan jumlah yang sedikit-sedikit ye. Suku juta ringgit hilang sekelip mata! Tidak dapat dibayangkan bagaimana perasaan mangsa kehilangan sejumlah wang sebanyak itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd. Talib, pihak polis telah menerima satu laporan polis daripada seorang wanita tempatan yang berusia 58 tahun berkenaan penipuan tersebut pada 28 Januari 2026.

"Mangsa dalam kes ini telah mengalami kerugian sebanyak RM364,500.00 apabila diperdayakan oleh suspek dengan menyerahkan maklumat perbankan milik syarikatnya dan OTP yang diterima daripada pihak bank kepada pihak scammer.

"Mangsa telah menerima panggilan daripada suspek pada 23 Januari 2026 lalu di mana mangsa dikatakan terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram.

"Mangsa telah menyerahkan maklumat perbankan onlinenya kepada suspek dan akaun bank mangsa telah diambil alih oleh pihak ketiga dan berlaku pemindahan wang tanpa disedari mangsa," kata Ketua Polis Daerah Tangkak itu ketika dihubungi.


 

Roslan Mohd. Talib


Tambah Roslan, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan di mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh disebat dan didenda.

Wang mangsa yang lesap dikebas oleh scammer itu dipercayai adalah hasil simpanan wang perniagaannya. Allahuakbar.. segala penat lelah jerih perit mengumpul wang hilang begitu sahaja.

Pihak polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan dakwaan kesalahan oleh pihak berkuasa secara dalam talian dan perlu membuat pengesahan terlebih dahulu kepada pihak berwajib.

Orang ramai juga diseru agar membuat semakan terlebih dahulu sebagai langkah berhati-hati bagi mengelakkan daripada menjadi mangsa penipuan atau 'scam'.



Orang awam juga dinasihatkan agar sentiasa mendapatkan maklumat terkini berkaitan 'scam' melalui laman sosial Jabatan Siasatan Jenayah Komersial seperti Facebook, Instagram dan TikTok di mana sekiranya seseorang telah menjadi mangsa 'scam', sila hubungi National Scam Response Centre (NSRC) melalui talian 997 sebagai tindakan awal untuk menyekat pengaliran keluar wang daripada akaun suspek.

Jadi, jaga-jagalah semua dalam dunia yang semakin pantas ini. Fikirlah dahulu dengan tenang apabila menerima sebarang panggilan telefon dari mana-mana pihak. 

Buatlah pengesahan kembali daripada pihak yang terlibat sebelum kongsi apa-apa maklumat perbankan atau peribadi kepada pihak lain.

Penulis doakan semoga kita semua dilindungi daripada orang-orang zalim di dunia ini. Aminnn! - KitaReporters

10
14
0
9
0
You will be interested