Mengambil inisiatif yang sama seperti pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahli Jawatankuasa (AJK) Muslimat, Surau Ar-Rahman, Taman Taming Impian, Selangor, mengunjungi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, untuk beramah mesra dengan warga emas di pusat berkenaan pada 5 Oktober 2025.

Abd Malik Ab Rahim dan Pengerusi PJMM, Azman Rasman memotong pulut kuning bersempena 10 tahun operasi pusat jagaan itu.
Kunjungan
mereka itu juga sebagai menzahirkan keprihatinan kepada semua petugas di PJMM
yang sudah bertungkus lumus selama 10 tahun sejak operasi menyantuni warga emas
di pusat berkenaan apabila dilayani penuh kasih sayang ibarat ibu bapa mereka
sendiri.
Usaha AJK
Muslimat surau berkenaan juga untuk menyediakan sokongan kebajikan,
menampung keperluan warga emas di PJMM yang kurang bernasib baik kerana ada
antara mereka itu dalam kalangan orang kurang upaya (OKU) dan menghidap
pelbagai penyakit kronik.
Ia juga secara tidak langsung untuk membantu pusat jagaan supaya dapat beroperasi tanpa menagih sebarang keuntungan, manakala NGO boleh bertindak sebagai pelobi atau advokasi bagi menyelesaikan seperti masalah pentadbiran dan kewangan yang dihadapi.

Azman memberi penerangan kepada Abd Malik dan AJK Surau Ar-Rahman mengenai sejarah penubuhan PJMM.
Pengerusi
surau berkenaan, Abd Malik Ab Rahim, berkata kehadiran beliau bersama-sama 20
jemaah dengan membawa beberapa barangan asas keperluan harian dan pulut kuning
itu juga bagi memeriahkan sambutan 10 tahun PJMM ditubuhkan untuk menyantuni
warga emas dengan 17 petugas di samping turut dibantu oleh sukarelawan.
Menurutnya,
sebelum ke PJMM, mereka mengumpul maklumat daripada beberapa sahabat yang
mencadangkan supaya datang menziarah bersama jemaah pusat jagaan itu yang amat
memerlukan sokongan serta bantuan masyarakat di samping terletak tidak jauh dari
surau.
Tambahnya,
sehubungan itu, perancangan dibuat oleh AJK Muslimat untuk mengumpul barangan asas keperluan harian selepas berjumpa pihak pengurusan PJMM yang menyenaraikan
beberapa barangan amat diperlukan seperti beras, minyak masak, susu pekat,
kopi, teh, sabun pakaian, sabun mandi dan sebagainya.
“Amat terharu apabila program lawatan ini mendapat sokongan serta kerjasama daripada jemaah surau dan penduduk setempat apabila menghulurkan sumbangan sama ada dalam bentuk kewangan mahupun barangan asas keperluan harian yang banyak membantu selain memudahkan urusan kami menjayakan aktiviti itu.
“Selepas sumbangan ini dihulurkan kami berkesempatan untuk meramah mesra dengan warga emas termasuk yang terlantar di atas katil apabila diberi peluang melihat secara dekat bagaimana pengurusan mereka yang uzur disantuni seperti menyuap makanan, mandi, menukar pakaian dan sebagainya,” ujar beliau.

Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado menyerahkan cenderamata buku cerpen kisah benar
mengenai warga emas bertajuk Terkulai Di Senja Hari kepada Abd Maliks.
Abd Malik
berkata, selepas beramah mesra dengan warga emas itu, ia menyuntik sedikit
kebahagiaan dan rasa dihargai dalam hati mereka apabila disantuni dalam
kalangan mereka yang tidak kenali di samping menginsafi dan mengingatkan kami mengenai
betapa pentingnya nilai kasih sayang, empati dan kemanusiaan dalam kehidupan.
Tambahnya,
keadaan nasib warga emas itu boleh berlaku kepada sesiapa sahaja apabila rasa
tanggungjawab anak terhadap ibu bapa mereka serta waris makin tipis dan sanggup
membiarkan insan yang memerlukan kasih sayang serta pembelaan di pusat jagaan.
“Lawatan ke PJMM ini juga membuka dorongan kepada AJK Muslimat untuk merancangkan beberapa lagi program bagi membantu mereka yang memerlukan pembelaan termasuklah rumah kebajikan anak yatim, keluarga miskin dan asnaf,” katanya. - KitaReporters

Abd Malik (tengah) melakukan gimik penyerahan sumbangan barangan asas keperluan harian kepada Azman Rasman pada program lawatan 5 Oktober 2025.