Insan & Komuniti 23 Jan, 2026

Keselamatan Online| Warga emas sasaran scammer! Salah jawab, salah klik, duit ratusan ribuan lesap!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: [email protected]

Share this

SCAMMER atau penipu siber adalah individu terlatih yang mahir manipulasi emosi mangsa melalui pelbagai taktik licik termasuk pujukan, ugutan dan desakan sehingga mampu memperdaya mangsa, khususnya dalam kalangan warga emas.



Antara penipuan yang sering menyasarkan warga emas ialah Macau Scam yang menggunakan taktik ugutan selain penyamaran sebagai rakan, saudara-mara atau individu dikenali mangsa.

Pakar Keselamatan Siber, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Ts Dr Nur Izura Udzir berkata, golongan warga emas sering menjadi sasaran kerana mempunyai simpanan kewangan, kurang pendedahan teknologi maklumat (IT) serta mudah bersimpati atau percaya tanpa menyiasat kesahihan sesuatu maklumat.

“Ada warga emas menerima mesej WhatsApp kononnya rakan mereka terkandas di luar negara dan memerlukan bantuan kewangan, lalu mereka terus membantu padahal ia adalah scammer yang menyamar selepas memanipulasi data peribadi mangsa. 


Dr Nur Izura Udzir - Kredit Gambar WapTV


“Apabila menerima panggilan mencurigakan, jangan panik dan usah buat apa-apa tindakan. Sebaiknya maklumkan kepada anak-anak atau ahli keluarga terlebih dahulu.

"Tindakan terburu-buru dan panik menyebabkan ramai mangsa mengalami kerugian besar yang mencecah ratusan ribu malah jutaan ringgit," katanya pada Program Komuniti, "Awas Scammers: Klik Dengan Berhati-hati, Warga Emas Sasaran Scammer" di Surau Ar-Raudhah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Program berkenaan dianjurkan Pertubuhan Salwa Malaysia (SALWA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan kerjasama Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Surau Ar-Raudhah Seksyen 3 Bangi serta Pertubuhan Kebajikan Helwa (HELWA) Bandar Baru Bangi.


Peserta Program Komuniti, "Awas Scammers: Klik Dengan Berhati-hati, Warga Emas Sasaran Scammer" khusus mendengar ceramah di Surau Ar Raudhah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Program itu bertujuan memberi kesedaran keselamatan siber kepada komuniti, khususnya warga emas, supaya lebih peka dan selamat ketika menggunakan telefon pintar, WhatsApp serta media sosial.

Dr Nur Izura turut mendedahkan bahawa taktik terbaru scammer ialah menggunakan panggilan senyap atau "silent call" yang membolehkan data peribadi dicuri sebaik sahaja panggilan dijawab tanpa disedari mangsa.

Dr Nur Izura berkata, terdapat juga scammer yang menyamar sebagai polis, pegawai mahkamah atau penguat kuasa undang-undang bagi menakutkan mangsa.

“Jika membabitkan kewangan atau kad kredit, jangan percaya bulat-bulat. Semak terus dengan pihak bank dan jangan dedahkan sebarang maklumat peribadi,” katanya.


Pengerusi HELWA Bandar Baru Bangi, Jalilah Mail (kiri) bersama Pengerusi SALWA Malaysia, Nordiran Idris (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada Dr Nur Izura Udzir.


"Apabila seseorang berada dalam keadaan panik, ia memudahkan scammer menjalankan perangkap. Justeru, orang ramai disaran bertenang, tidak berkongsi maklumat dan menggunakan aplikasi pengesan nombor seperti "Who’s Call"," katanya.

Beliau menambah, scammer sangat licik kerana akan menggunakan nombor telefon berlainan walaupun nombor asal telah disekat.

"Warga emas juga usah mudah terpedaya dengan iklan pelaburan singkat yang menjanjikan pulangan tinggi antara 20 hingga 50 peratus yang banyak tersebar dalam Facebook, Telegram dan WhatsApp.

“Sekarang scammer turut menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan menyalahgunakan imej tokoh agama untuk menghalalkan pelaburan saham palsu.

"Ciri utama penipuan pelaburan ialah bersifat rahsia, mendesak dan meminta wang dengan janji pulangan tidak masuk akal seperti pelaburan RM100 yang boleh menghasilkan pulangan sehingga RM10,000," katanya.



Peserta melakukan senaman Wai Tan Kung yang baik bagi membina kekuatan dalaman, menjaga jantung dan pengedaran darah sebelum ceramah.  


Dr Nur Izura mencadangkan orang ramai, khususnya warga emas, menggunakan portal Semak Mule, Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti selain berbincang dengan ahli keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.

"Sekarang pun jika anda perlu berhati-hati dengan kad jemputan perkahwinan yang dihantar melalui WhatsApp terutama jika mengandungi fail mencurigakan seperti "again.apk" atau "senaraiharga.apk".

“Jika terperangkap, telefon akan menjadi perlahan dan bateri cepat habis. Tukar tetapan keselamatan dan hanya muat turun aplikasi daripada App Store atau Play Store,” katanya.

Selain itu, terdapat juga scammer yang menyamar mengutip derma dalam talian kononnya bagi membantu anak yatim atau pembinaan masjid, namun wang digunakan untuk kepentingan peribadi. 

Antara jenis penipuan yang sering menghantui warga emas ialah scam SMS, scam e-mel dan scam "deepfake" menggunakan teknologi AI. 


Sebahagian peserta  Program Komuniti, "Awas Scammers: Klik Dengan Berhati-hati, Warga Emas Sasaran Scammer" bergambar kenangan bersama Dr Nur Izura Udzir.


"Langkah pencegahan termasuk tidak berkongsi OTP, butiran peribadi serta segera membuat laporan kepada National Scam Response Centre (NSRC) pada talian 997, selain mengumpul bukti dan melaporkan nombor scammer kepada pihak bank atau polis.

“Wang yang hilang sukar diperoleh semula kerana ia dipindahkan ke banyak akaun, namun peluang masih ada jika laporan dibuat dengan segera dan wang masih berada dalam akaun keldai,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap trend netizen yang gemar berkongsi maklumat peribadi dalam media sosial kerana ia memudahkan scammer mengenal pasti dan memerangkap mangsa.

“Scammer boleh menipu berdasarkan maklumat yang kita sendiri dedahkan. Apa yang penting, jaga data peribadi dan elak berkongsi tanpa sebab,” katanya. - KitaReporters

19
12
0
5
0
You will be interested