Insan & Komuniti 27 Oct, 2025

Mempersatu Dunia Melayu! Konvensyen DMDI di Jakarta! Majukan nilai, budaya, ekonomi Melayu-Islam!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

 

Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) ke-23 yang berlangsung di Hotel Borobudur, Jakarta mulai 23 hingga 26 Oktober 2025 lalu membuka lembaran baharu dalam usaha memartabatkan budaya, ekonomi dan nilai peradaban umat Melayu-Islam pada peringkat antarabangsa.



Dengan bertemakan “Mempersatu Dunia Melayu: Memajukan Budaya, Ekonomi dan Nilai Peradaban,” konvensyen selama empat hari ini menghimpunkan tokoh-tokoh ternama dari pelbagai negara anggota termasuk Malaysia, Indonesia, Singapura, Kemboja dan Filipina.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Presiden DMDI, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam dengan kehadiran Ketua Majelis Permusyawaratan Rakyat Republik Indonesia, H. Ahmad Muzani serta pemimpin-pemimpin tertinggi Dunia Melayu yang lain.

Dalam ucapan perasmiannya, Tun Mohd Ali, yang juga Yang di-Pertua Negeri Melaka, menegaskan bahawa Dunia Melayu perlu terus menjadi peneraju dalam memelihara nilai keislaman dan memperkukuh ekonomi serantau melalui pendekatan ilmu, dakwah dan keusahawanan.

Beliau berkata Dunia Melayu wajar menjadi pusat kebangkitan peradaban baharu yang memancarkan cahaya Islam dan kemajuan bangsa.


Dr. Mohd Ali Mohd Rustam menyampaikan ucapan perasmian sempena Konvensyen DMDI ke-23 yang berlangsung di Hotel Borobudur, Jakarta.

Delegasi dan tetamu kehormat dari pelbagai negara anggota menghadiri majlis perasmian.


Program empat hari itu menampilkan pelbagai pengisian ilmiah, budaya dan ekonomi yang memperkukuh jaringan ukhuwah Melayu-Islam.

Antara pengisian utama konvensyen termasuk Program Dakwah Serantau & Solidariti Palestin di Gedung Parlemen Republik Indonesia yang menampilkan panel lintas negara membincangkan topik “Generasi Muda Masjid: Memperkukuh Identiti Melayu-Islam dalam Landskap Global.”

Turut diadakan pelancaran DMDI Journal of Malay & Islamic Civilization, Pusat Bahasa Melayu AI dan Institute of Halal & Consultancy Services (INHACs) bagi memperkukuh peranan bahasa Melayu serta industri halal di rantau ini.

Dalam aspek ekonomi, Biro Saudagar DMDI memperkenal Muslim Smart Watch dan Kad Keahlian Club Saudagar DMDI Global sebagai platform baharu memperkasa rangkaian usahawan Melayu-Islam.

Malam kebudayaan turut menyerikan konvensyen dengan persembahan seni dan pertunjukan fesyen Muslim dan Muslimah yang menyerlahkan keindahan budaya Dunia Melayu berteraskan nilai Islam.


Dr. Mohd Ali Rustam (kanan) bergambar bersama Ts. Mohd Affandi Mohd (kiri) dan beberapa delegasi Malaysia yang menghadiri konvensyen itu.

Delegasi dari Malaysia.

Sementara itu, Ts. Mohd Affandi Mohd, yang juga Presiden Persatuan Anak Melaka Selangor dan Wilayah Persekutuan (Permas), berkata konvensyen kali ini berjaya mencapai matlamatnya dalam menyatupadukan umat Melayu di seluruh dunia melalui semangat ukhuwah dan perpaduan yang dizahirkan sepanjang program.

“Kehadiran delegasi dari pelbagai negara membuktikan bahawa semangat Melayu-Islam masih subur dan mampu menjadi asas kepada pembangunan ummah sejagat,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian.

Konvensyen berakhir pada 26 Oktober 2025 dengan Majlis Penutup dan Program Jalan Santai Keluarga DMDI di Masjid Istiqlal dan Bundaran HI, Jakarta, sebagai simbol kesatuan ukhuwah dalam kalangan peserta dan keluarga besar DMDI. - KitaReporters


Delegasi pelbagai negara menghadiri Konvensyen Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI).
13
11
0
3
0
You will be interested