Insan & Komuniti 17 Apr, 2025

Video| Polis, masyarakat berpisah tiada! Anggota PGA santuni warga emas! Sempena sambutan Hari Polis!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

.


“Bagi anggota polis pengorbanan mereka bagi menjamin kesejahteraan hidup dan keselamatan masyarakat tiada galang ganti malah dilaksanakan dengan penuh bertanggungjawab dan amanah demi kemakmuran serta keharmonian negara.

“Begitulah juga dengan petugas dan sukarelawan di satu-satu pusat jagaan warga emas atau orang tua mereka menggalas tanggungjawab hampir serupa tetapi dalam persekitaran berbeza terutama bagi menjamin insan menumpang kasih dapat meneruskan kelangsungan hidup,” ujar Pemerintah Batalion 4, Pasukan Gerakan Am (PGA), Semenyih, Selangor, Superintendan Jafri Muhamad.

Sehubungan itu, beliau berkata tanpa mereka terbabit yang sanggup berkorban masa dan keluarga bagi menyantuni penghuni terdampar di pusat jagaan sudah tentu nasib warga emas serta akan terumbang-ambing dalam meneruskan kehidupan.


Jafri Muhamad menyampaikan ucapan perasmian Program Santuni Warga Emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke- 218 Tahun 2025. 


Menurutnya, pengorbanan mereka itu amat mulia kerana sanggup menjaga dengan baik warga emas yang menagih kasih sayang dan layanan mesra kerana tugas berkenaan sepatutnya dipikul seorang anak tetapi berlaku sebaliknya apabila membiarkan ibu dan ayah di pusat jagaan.

Tambahnya, sebagai anggota polis mereka turut terpanggil serta tersentuh hati untuk bersama-sama menyantuni warga emas itu walaupun sibuk dengan tugas hakiki, namun aktiviti untuk masyarakat serta komuniti setempat juga diberi perhatian dan diambil peduli.

“Di samping itu aktiviti bersama masyarakat atau komuniti ini secara tidak langsung meningkatkan disiplin serta menyemai nilai murni dalam kalangan anggota polis khusus batalion berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Santuni Warga Emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke- 218 Tahun 2025 pada 15 April 2025.


Jafri menyampaikan sumbangan Batalion 4 PGA kepada Azman Rasman sambil diperhatikan oleh Sazali Mohiden (kanan) dan Mohiadin Bahado (dua dari kiri).


Turut hadir pada program itu, Penolong Pegawai Pemerintah Batalion 4, DSP Azlan Shah Mohd Zainuddin; Pengerusi PJMM, Azman Rasman; Penasihat PJMM, Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden; dan pegawai kanan serta pegawai rendah batalion berkenaan.

Sempena program berkenaan, atur cara aktiviti dimulakan dengan anggota polis batalion itu bergotong-royong membersihkan persekitaran PJMM, tazkirah ringkas oleh Ustaz Zulkifli Abdul dan diikuti sesi penyampaian sumbangan, lawatan dan beramah mesra bersama warga emas serta diakhiri jamuan makan tengah hari.

Jafri berkata, program itu bertepatan dengan aspirasi pucuk kepemimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta memartabatkan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’, supaya terus prihatin dan membantu masyarakat tanpa mengirakan kaum, bangsa dan agama.


Anggota Polis Batalion 4 PGA menyertai aktiviti gotong-royong membersihkan persekitaran PJMM.


Tambahnya, di samping itu kami berharap program berkenaan memberi suntikan semangat kepada semua petugas dan sukarelawan PJMM untuk terus memberi perkhidmatan terbaik kepada warga emas kerana masih ada organisasi di luar sana sanggup membantu.

“Saya juga akan memastikan Batalion 4 akan sentiasa bersiap siaga untuk terbabit dalam aktiviti sosial masyarakat atau komuniti  di samping menghulurkan bantuan kecemasan kerana menerusinya kami dapat mengeratkan ukhuwah dengan penduduk,” katanya.


SM Kamaruddin Mat Jusoh


Sementara itu, berapa anggota Batalion 4 yang ditemui menzahirkan rasa bertuah dapat menyertai program berkenaan kerana dapat menyelami perasaan warga emas tersisih daripada ahli keluarga.

SM Kamaruddin Mat Jusoh, berkata mengunjungi dan menabur bakti bersama-sama rakan di pusat jagaan itu membuka minda memikirkan nasib mereka pada penghujung usia nanti adakah akan serupa begini atau dibela anak-anak.

“Program ini amat bagus dalam memberi kesedaran kepada kami semua yang kadangkala terbeban dengan tanggungjawab hakiki, namun seharusnya mengambil peluang yang masih ada untuk sentiasa bertanya khabar mengenai ibu bapa di kampung,” ujarnya.


SM Azman Mohammad


Rakannya, SM Azman Mohammad, berkata program itu memberi motivasi terutama dari segi kesedaran untuk menjaga ibu bapa dengan sempurna malah supaya sentiasa menghormati warga emas yang ditemui walaupun tidak mempunyai ikatan persaudaraan dengan kita.

“Selain pusat jagaan ini, saya bersama-sama rakan sepasukan sentiasa menyantuni serta mencurah kasih sayang kepada anak yatim di sebuah rumah jagaan di Beranang, Selangor yang dijadikan keluarga angkat dengan menghulurkan sumbangan barangan makanan keperluan harian dan pelbagai lagi,” katanya. - KitaReporters


Jafri (berdiri di tengah) merakamkan kenangan bersama pegawai kanan dan rendah Batalion 4 PGA selepas Program Santuni Warga Emas di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke- 218 Tahun 2025 pada 15 April 2025.

27
12
2
15
0
You will be interested