
Memang seronok dan tenang apabila kita melihat masjid-masjid yang tumbuh bagai cendawan, apalagi di kawasan yang majoritinya bukan berbangsa Melayu.
Di Pulau Pinang juga tidak terlepas dengan wujudnya masjid atas nama pelbagai bangsa yang ada pada ketika itu.
Antara masjid-masjid yang masih setia kekal sehingga kini mengambil sempena nama masyarakat dan bangsa yang wujud adalah Masjid Melayu, Masjid Cina, Masjid Arab, Masjid Pakistan, Masjid Benggali dan Masjid Kapitan Keling.

Masjid Melayu (Jamek) Lebuh Aceh yang dibina pada tahun 1808 turut mempunyai sejarah bangsa yang tersendiri.
Ia yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia, (World Heritage) UNESCO Bandar Raya Georgetown telah diasaskan oleh Tengku Syed Hussain Al-Aidid yang asalnya dari Aceh, Indonesia.
Pada ketika itu, beliau membuka dan memajukan sebuah penempatan di Lebuh Aceh dengan mendirikan sebuah masjid, rumah kediaman, menara serta madrasah al-Quran.

Manakala Masjid Cina Titipapan pula kini menjadi tumpuan masyarakat Cina Muslim yang ada di Pulau Pinang.
Letaknya di Jalan Burmah dan ia merupakan masjid yang kini ditadbir oleh komuniti Cina Muslim yang ada di Pulau Pinang.
Sebelum ini ia merupakan sebuah masjid yang telah lama terbina sejak 1893.
Namun begitu pada 2014, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Kassim telah merasmikan masjid ini sebagai Masjid Cina Titipapan dan diurus sehingga kini dengan pelbagai aktiviti agama dengan menggunakan bahasa Mandarin bagi para mualaf dan komuniti Cina Muslim.

Masjid Pakistan yang letaknya di Jalan Macalister pula telah dibina pada abad ke-19 sekitar tahun 1840-an. Ia telah dibina oleh penduduk yang berasal dari barat laut India.
Sekitar 1930-an masjid ini telah diuruskan oleh beberapa orang Pathan sebagai pemegang amanah.
Masjid ini dikenali sebagai Masjid Pakistan yang merupakan pusat untuk masyarakat Pakistan berkumpul, belajar agama dan juga mengadakan pelbagai majlis sejak abad ke-20 dan masih kekal hingga sekarang.

Masjid Arab yang letaknya di Jalan Seang Tek telah terbina sejak lebih 125 tahun yang lalu dan dipercayai dibina pada penghujung abad ke-19.
Pengasasan Masjid Arab bermula apabila seorang pedagang bernama Sultansah Adamsah yang tinggal di Lebuh Chulia telah mewakafkan sebidang tanah untuk membina sebuah masjid bagi masyarakat Islam yang tinggal di Kampung Limow Manis.
Masjid ini juga menjadi tempat berkumpulnya masyarakat keturunan Arab di Pulau Pinang sejak 1930-an dan kekal sehingga kini dengan pelbagai aktiviti kemasyarakatan.

Masjid Kapitan Keling pula adalah sebuah lagi masjid yang menjadi tumpuan masyarakat India Muslim suatu ketika dulu sehinggalah sekarang.
Masjid yang tersergam indah ini terletak di Lebuh Pitt dan merupakan salah sebuah masjid tertua di Georgetown.
Ia telah dibina oleh tentera Syarikat India Timur pada akhir abad ke-18 dan diasaskan oleh Caudeer Mohudeen iaitu ketua kaum India Muslim ketika itu.
Walau bagaimanapun masjid ini telah dibina semula pada tahun 1916 bagi menggantikan bangunan asal.
Kini masjid ini bukan saja menggamit pelancong tempatan, tetapi juga menjadi tumpuan pelancong dari luar negara. - KitaReporters
