
Abdullah Mohamed Nor menyampaikan sumbangan kepada salah seorang penduduk semasa program turun padang mendekati golongan yang memerlukan.
Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) cawangan Pulau Pinang bukan saja membantu mereka yang kurang upaya, tetapi juga menghulurkan sokongan kepada pelbagai golongan masyarakat termasuklah yang daif dan miskin.
Menurut Pengerusi DMDI cawangan Pulau Pinang, Abdullah Mohamed Nor, kewujudan DMDI di Pulau Pinang sejak empat tahun yang lalu telah memberi ruang yang besar untuk meneruskan khidmat membantu masyarakat sekeliling.
"Sejak penubuhan DMDI cawangan Pulau Pinang, kita turun padang menyalurkan bakti dan sumbangan kepada warga emas, orang kurang upaya, mereka yang uzur, pesakit kronik dan pelbagai pihak yang memerlukan.
"Kita menziarahi pesakit bukan saja di hospital tetapi juga di kediaman mereka. Yang pasti bagi DMDI ialah keselesaan dan kesejahteraan golongan yang diberi sokongan dan dokongan, " ujar beliau ketika ditemui.

Abdullah (tiga dari kiri) bersama barisan kepimpinan negeri dan Presiden DMDI, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
Selain itu kata Abdullah, DMDi tidak hanya menumpukan dokongan kepada penduduk sekitar Pulau Pinang, tetapi juga melepasi sempadan sehingga ke seluruh pelosok negara.
"Walaupun visi dan misi DMDI lebih luas untuk mengeratkan hubungan dan komuniti Melayu dan Islam kita mahu terus menjadi platform pembangunan modal insan serta membela ummah melalui pelbagai program kerjasama serantau mahupun internasional.
"DMDI cawangan Pulau Pinang optimis kami boleh menjadi pemangkin kepada masyarakat Melayu dan Islam sehingga ke ceruk dan pedalaman kerana dokongan kita tidak terbatas untuk mana-mana golongan dan merangkumi semua lapisan masyarakat," tambah beliau.

Kunjungan DMDI ke Kajang Medical Centre baru-baru ini.
Antara program sepanjang 2025 yang telah disempurnakan oleh DMDI cawangan Pulau Pinang ialah mengunjungi dan ziarah ke Kajang Plaza Medical Centre, sumbangan majlis berbuka puasa kepada golongan yang memerlukan serta bantuan kepada pesakit kronik.
Tambah Abdullah lagi, aktiviti yang telah dan sedang direncanakan akan merentasi sempadan tanpa mengambil kira fahaman dan ideologi politik mana-mana pihak serta kedudukan mereka.
Yang jelas ujar beliau, bantuan dan sokongan akan berterusan bagi membela Melayu dan Islam sejajar dengan aspirasi DMDI. - KitaReporters

AJK DMDI Zaini Saad, menyampaikan sumbangan kepada Ishak Ismail yang juga merupakan bekas Pegawai Kemas dan Belia 4B Pulau Pinang.