Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) tiba pada Majlis Pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di Hotel Wyndham Acma pada 5 Februari 2024.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengisytihar dan menetapkan Majlis Perbandaran Klang sebagai bandar raya pada Isnin, 5 Februari 2024 lalu. Baginda bertitah, perbandaran itu kini hendaklah disebut sebagai Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) buat selama-lamanya.
Berikut adalah titah pengisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang oleh Sultan Selangor pada Majlis Perisytiharan Majlis Bandaraya Diraja Klang di sini pada Isnin, 5 Februari 2024.
"Terlebih dahulu beta ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan juga kerajaan Persekutan bersetuju untuk menaik taraf Majlis Perbandaran Klang menjadi Majlis Bandaraya Diraja Klang"
"Beta berasa sukacita kerana setelah melalui pelbagai peringkat, cabaran dan proses, Bandar Diraja Klang ini akhirnya dinaik taraf kepada status bandar raya. Selepas Shah Alam, Petaling Jaya dan Subang Jaya, Klang adalah daerah keempat di Selangor yang dinaik taraf sebagai sebuah bandar raya.
"Bandaraya Klang ini amat dekat di hati beta, bukan sahaja kerana ia menempatkan istana beta, Istana Alam Shah, namun Klang juga menyimpan pelbagai sejarah kesultanan Selangor dan juga sejarah penubuhan negeri Selangor itu sendiri.
"Beta telah menyaksikan pembangunan bandar Klang melalui pelbagai fasa sama ada dari segi perubahan fizikal, sosial dan demografik mahupun populasi penduduk yang semakin meningkat setiap tahun." - KitaReporters
Sultan Sharafuddin Idris Shah (tengah) berkenan melihat pameran perkembangan pentadbiran Majlis Bandaraya Diraja Klang.
Antara tetamu yang hadir di Majlis berkenaan. Maklumat dan gambar daripada Jabatan Komunikasi Korporat, Majlis Bandaraya Diraja Klang