Ganabatirau Veraman menyerahkan geran peruntukan kepada Pengerusi Pusat Jagaan Al-Fikrah Malaysia, Nurul Atikah Mohd Azmi.
KERAJAAN negeri Selangor disyorkan supaya mengekalkan Program Santuni Kebajikan Masyarakat selaras dengan konsep kebajikan yang diusulkan kerana usaha itu secara tidak langsung memperkasa rumah kebajikan.
Program berkenaan juga menjadi agenda kerajaan negeri dalam membela kesusahan dihadapi rakyat daripada pelbagai golongan yang perlu diambil peduli dan tidak seharusnya dipandang ringan tanpa usaha membantu dilakukan.
Exco Pembangunan Sosioekonomi, Kebajikan Masyarakat, Pemberdayaan Pekerja dan Kerajaan Prihatin, Ganabatirau Veraman, berkata kesusahan serta kesulitan mereka yang mengurus tadbir rumah kebajikan seperti pusat jagaan warga emas, rumah anak yatim dan orang kelainan upaya (OKU) tidak dapat dibayangkan.
Setiausaha PJMM, Muhammad Syafiq Mohiadin memberi penerangan kepada Ganabatirau mengenai pengurusan warga emas di pusat itu.
Menurutnya, sesetengah pengurusan rumah kebajikan terbabit memberi komitmen tanpa berbelah bahagi dengan dibantu sukarelawan mereka begitu gigih menyantuni penghuni yang dijaga walaupun tidak dikenakan sebarang bayaran.
Tambah beliau, hasil kerjasama kerajaan negeri dengan kerajaan pusat yang selari dengan konsep Malaysia Madani melalui beberapa agensi terbabit khususnya Jabatan Kemajuan Masyarakat (JKM) dan Unit Perancangan Ekonomi Negeri (Upen) program itu diwujudkan dalam menyalur bantuan kepada rumah kebajikan terbabit.
“Geran
peruntukan program ini diadakan dan disalurkan terus kepada rumah kebajikan
terbabit tanpa melalui orang tengah kerana kerajaan negeri mahu memastikan
sampaikan kesasaran sebagaimana yang diagendakan.
“Geran ini
akan membantu rumah kebajikan berkenaan dalam pelbagai urusan pembangunan serta
kos perbelanjaan yang sentiasa meningkat setiap hari selain membuktikan sikap
ambil peduli kerajaan negeri.
“Kerajaan negeri juga sedar apabila menyifatkan rumah kebajikan ini sebagai satu institusi penting dalam mengurus dan membela nasib mereka yang susah supaya tiada golongan berasa diri mereka tidak dipedulikan,” ujarnya ketika berucap merasmikan Majlis Simbolik Penyerahan Peruntukan Program Santuni Pusat Kebajikan Negeri Selangor 2023 dengan kerjasama Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 25 Mei 2023.
Ganabatirau Veraman (depan, tengah) bertanya khabar wakil rumah kebajikan, pusat jagaan, rumah anak yatim dan OKU pada Majlis Simbolik Penyerahan Peruntukan Program Santuni Pusat Kebajikan Negeri Selangor 2023 dengan kerjasama Abim di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 25 Mei 2023.
Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri Semenyih, Zakaria Hanafi; Ketua Penolong Pengarah Seksyen Sektoral Upen, Aslynda Mohd Dahlan; Pengarah JKM Selangor, Azmir Kassim; Naib Yang Dipertua 1 Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat Selangor, Datin Paduka Khatijah Sulaiman; Timbalan Yang Dipertua Abim Selangor, Muhammad Iqbal Hakim Saiful Affanda dan Pengerusi PJMM, Azman Rasman.
Pada majlis
itu juga 20 wakil rumah kebajikan iaitu pusat jagaan warga emas, anak yatim
serta OKU hadir bagi menerima geran peruntukan RM5,000 yang membabitkan kos keseluruhan
sebanyak RM100,000 di bawah program berkenaan.
Ganabatirau turut melahirkan ucapan terima kasih kepada Abim yang sanggup bekerjasama serta PJMM bersedia menjadi lokasi bagi majlis berkenaan sebagai salah satu usaha membantu kerajaan negeri menjayakan program berkenaan.
Zakaria Hanafi bertanya khabar seorang warga emas selepas bersama-sama Ganabatirau dan tetamu lain dibawa melawat ke bilik warga emas di PJMM.
“Kerjasama
ini diharap dapat diteruskan dalam melancarkan program membantu golongan yang
susah bagi memastikan usaha kerajaan negeri dapat dilaksanakan dengan
sempurna serta mencapai matlamat yang
menjadi agenda.
“Di samping program ini kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada program sinergi prihatin, pusat kebajikan lestari dan dana sukarelawan yang dilaksanakan sejak 2021,” ujarnya lagi.
Ganabatirau turut mengadakan perbincangan ringkas dengan pegawai agensi kerajaan sebelum melakukan perasmian majlis berkenaan.
Sementara itu, Muhammad Iqbal Hakim dalam ucapan pada majlis itu, Abim turut mengadakan program berbentuk kebajikan dan membina siasah diri remaja untuk menjadi generasi yang bertanggungjawab kepada agama, negara dan keluarga.
Menurutnya, program Kempen Seorang Sekampit Beras (KSSB) berjaya membantu 400 keluarga di empat lokasi di Selangor iaitu Shah Alam, Kuala Langat, Kuala Selangor dan Klang yang dilaksanakan lebih lima tahun lalu.
Tambahnya,
selain beras, keluarga terbabit juga menerima pelbagai barangan keperluan asas
harian seperti gula, gandum, minyak masak, susu dan sebagainya yang sering diadakan
pada Ramadan setiap tahun.
Jelasnya,
dengan kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Abim
menganjurkan Program Keselamatan Keluarga dan Anak (Peka) di samping Program
Diri Permata Berharga (Dermaga) yang membabitkan pelajar sekolah rendah dan
menengah dengan memberi tumpuan kepada kesihatan reproduktif, pendedahan kenali
diri, tindakan berisiko serta menjauhi masalah sosial.
“Dalam program santuni pusat kebajikan ini Abim berasa bertuah dapat bekerjasama dengan pihak pengurusan PJMM untuk menjayakannya dan turut memberi peluang tetamu yang hadir melihat secara dekat pusat itu beroperasi dan menyantuni warga emas,” katanya lagi. - KitaReporters
Ganabatirau turut mengadakan sidang media bagi menjawab beberapa soalan wartawan mengenai Program Santuni Pusat Kebajikan Negeri Selangor yang banyak memberi manfaat kepada rumah kebajikan.
Azman Rasman menyampaikan cenderamata kepada Ganabatirau selepas merasmikan majlis berkenaan.