Oleh MARIA MADELINA KIRI
Sekiranya kita mengenali seseorang yang telah berusia melebihi 70 tahun, mungkin kita akan membayangkan seseorang yang telah mempunyai keluarga yang besar dan mempunyai cucu.
Namun bagi Zulkifly Abdullah yang berusia 77 tahun membuktikan bahawa beliau masih mampu menggenggam segulung ijazah setelah menamatkan pengajian dalam jurusan Sarjana Muda Pengajian Undang-undang dari Fakulti Undang-undang, UiTM.
Zulkifli bukan calang-calang juga orangnya, beliau merupakan mantan Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja, Kementerian Sumber Manusia selama dua tahun antara tahun 2001 hingga 2003.
Malahan beliau juga merupakan seorang pendaftar Mahkamah Perusahaan selama tiga tahun sebelum menjawat jawatan sebagai pengarah jabatan berkenaan.
“Semenjak saya bekerja dengan Kementerian Sumber Manusia selama lebih kurang 34 tahun, saya banyak melibatkan undang-undang pekerja.
"Itu yang mendorong semangat saya mengambil Ijazah Sarjana Muda Undang-undang ini," katanya.
Zulkifly berkongsi bahawa beliau amat gemar membaca, lagi-lagi tentang sejarah justeru itu, pekerjaannya ada melibatkan undang-undang.
Tambah menarik, bukan beliau seorang dalam kalangan keluarganya yang terlibat dalam bidang undang-undang.
“Anak saya juga adalah graduan lulusan sarjana muda undang-undang di UiTM dan dia sangat membantu saya sepanjang pengajian.
“Cabaran terbesar saya apabila sudah berumur ini adalah perlu mengingat dan menghafal banyak perkara. Jadi saya akan mengulangi kaji banyak kali untuk atasinya.
"Dalam masa sama, anak juga banyak membantu untuk menerangkan saya sekiranya saya mengalami kesukaran dalam pembelajaran,” ujar Zulklfy lagi.
Nasihat beliau, golongan muda perlu rajinkan diri untuk membaca, paling tidak pun luangkan masa dua jam sehari.
Belajarlah selagi ada ruang dan peluang untuk menuntut ilmu bagi menjadikan seorang insan yang berjaya, tambahnya. - KitaReporters