Insan & Komuniti 25 Nov, 2024

Berkebun dan menternak! Usaha baharu Pondok Bidayatul Hidayah di Kundasang bagi tambah sumber dana!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Sebahagian pelbagai pokok sayur-sayuran yang diusahakan pelajar dan tenaga pengajar PBH di lereng bukit Kampung Kundasang Lama.


BERTANI dengan menanam pokok sayur-sayuran, menternak kambing dan lembu menjadi alternatif tenaga pengajar dan pelajar maahad tahfiz Pondok Bidayatul Hidayah (PBH) di Kundasang Lama, Ranau, Sabah dalam usaha mengumpul dana untuk menampung kos operasi sejak lebih setahun lalu.

Di kawasan lereng bukit yang berhawa dingin mereka menggunakan kira-kira dua hektar tanah untuk menanam pelbagai pokok sayur-sayuran, manakala sudah menternak 12 kambing yang dipasarkan kepada orang ramai untuk tujuan membuat majlis kenduri khususnya aqiqah.

Manakala lembu pula sebanyak enam ekor dalam proses pembiakan yang akan dijual apabila cukup umur bagi tujuan ibadat korban pada sambutan Hari Raya Aidiladha. 

Pada sebelah petang atau hujung minggu pelajar yang tiada kelas akan membantu mencari rumput untuk lembu berkenaan.


Dua pelajar PBH menguruskan pemberian makanan kepada kambing peliharaan.


Pengerusinya, Mustafa Asad, berkata usaha pertanian itu terpaksa dilakukan selepas negara dilanda wabak Covid-19 menjadi situasi begitu sukar bagi pihak pengurusan mencari dana sehingga tercetus idea untuk mengusahakan kebun sayur-sayuran di samping menternak kambing serta lembu.

Menurutnya, walaupun imbuhan yang diperoleh daripada usaha berkenaan tidak banyak namun kami bersyukur kerana dapat berusaha sendiri dengan menggunakan tulang empat kerat untuk menanam pelbagai pokok sayur-sayuran yang kemudiannya dipasarkan ke tempat pengumpulan sayur-sayuran di Pekan Kundasang.


Sebahagian daripada enam lembu dalam proses pembiakan yang akan dijual untuk ibadat korban pada Hari Raya Aidiladha nanti.


Tambahnya, bagi kambing selepas diuar-uarkan melalui pelbagai sumber media sosial mereka yang berhajat akan datang sendiri ke kandang untuk membuat pilihan seterusnya pembayar secara tunai memboleh pondok menggunakan itu wang untuk menampung kos operasi selain mendapatkan baka baharu.

Jelas beliau, namun begitu pembabitan khususnya pelajar dalam aktiviti berkebun sayur-sayuran dan mengurus ternakan kambing atau lembu hanya dilakukan pada waktu ketiadaan kelas pengajian agama atau waktu rehat hujung minggu secara bergotong-royong.

“Langkah ini dititikberatkan kerana pengurusan pondok tidak mahu berlakunya salah faham daripada mereka yang kurang tahu keadaan sebenar mengenai perjalanan pengajian agama di sini di samping memastikan pelajar tidak hilang fokus.  

“Bagi mereka yang sudah biasa melihat situasi sebegini apabila pelajar isi masa terluang dengan melakukan aktiviti mencari dana menampung kos operasi perkara ini tidak menjadi masalah, malah sentiasa memberi galakan,” ujarnya. 


Pembabitan pelajar secara bergotong-royong menjaga kebun sayur-sayuran dilakukan pada waktu ketiadaan kelas pengajian dan cuti hujung minggu.


Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis menyambut kunjungan 50 kakitangan dan sukarelawan Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH), Beranang, Selangor bersama-sama ahli keluarga pada program hari keluarga yang bertemakan ‘Muafakat Membawa Berkat’ pada 17 Novermber 2024.

Rombongan itu diketuai Setiausaha PJNH, Aidah Jaamat yang juga bertindak sebagai pengarah program dan disertai kakitangan pengurusan PJNH bersama ahli keluarga masing-masing. 

Turut serta dalam program berkenaan Pengerusi Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Azman Rasman dan setiausahanya, Muhammad Syafiq Mohiadin.


Aidah Jaamat menyampaikan sumbangan orang ramai dan mereka yang prihatin kepada Mustafa Asad sambil disaksikan Azman Rasman dan Muhammad Syafiq Mohiadin.


Mustafa berkata, usaha berkebun sayur dan menternak kambing serta lembu juga salah satu langkah pondok untuk mencari sumber dana sendiri tanpa terlalu mengharap sumbangan atau infak daripada orang ramai, badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Beliau berkata, majoriti 15 pelajar PBH adalah dalam kalangan anak keluarga miskin, asnaf dan anak yatim yang tinggal jauh di pedalaman seperti Kudat, Keningau, Pitas, Ranau, Tenom dan sebagainya apabila menunjukkan minat untuk mendalami pengajian agama sebelum pulang bagi membimbing masyarakat di kampung masing-masing.

Tambahnya, walaupun PBH masih lagi dalam proses menyediakan kelengkapan dan kemudahan yang lebih sempurna namun tidak mematahkan semangat pelajar untuk fokus mengikuti pengajian tahfiz, kitab fekah, fardu ain dan sebagainya yang dibimbing oleh empat ustaz.


Aidah (enam dari kiri) dan Mustafa (tengah) bergambar bersama-sama pelajar, tenaga pengajar dan peserta rombongan PJNH di Maahad Tahfiz Pondok Bidayatul Hidayah, Kampung Kundasang Lama, Ranau, Sabah pada 17 November 2024.


Jelasnya, sehubungan itu juga PBH sudah melancarkan program terkini iaitu Penajaan Pelajar Pengajian al-Quran dan Alim selama tiga tahun sebagai membuka peluang kepada orang ramai dan korporat membabitkan dalam usaha melahirkan guru agama yang berpengetahuan tinggi.

“Saya berasa amat terharu atas kunjungan rombongan PJNH ini kerana ia bukanlah suatu perjalanan yang mudah serta disantuni dengan sumbangan wang kutipan derma orang ramai, manakala pelajar serta ustaz turut menerima cenderamata,” kata Mustafa lagi.



Sementara itu Aidah berkata, di samping membawa keluarga berkunjung ke beberapa tempat menarik di Kundasang dan Kota Kinabalu, program berkenaan juga sebagai kerja amal kebajikan menabur bakti di samping berkongsi rezeki dengan mereka yang memerlukan bantuan.

Jelasnya, apabila dimaklumkan ada pondok tahfiz di Kundasang amat memerlukan bantuan dan sokongan, dia bersama-sama ahli jawatankuasa program menguar-uarkan kepada ahli NGO dan mereka yang prihatin untuk menghulurkan sumbangan.


Mohamad Adam Harris Zuzit (tiga dari kiri) dari Kampung Telaga Pitas, Sabah, menelaah kitab bersama-sama rakan sepengajian.


“Alhamdulillah dalam beberapa hari sahaja ramai yang menghulurkan sumbangan apabila mereka juga ingin mendapatkan keberkatan serta meringankan bebanan PBH membimbing pelajar di pedalaman dalam keadaan serba kekurangan.

“Usaha kami ini tidak akan terhenti di sini malah akan terus berhubung dengan pengurusan PBH bagi mencari sumbangan dana serta menguar-uarkan lagi program untuk membantu pelajar serta pembangunan pondok secara amnya,” katanya Aidah. - KitaReporters


Pelajar PBH menerima sumbangan cenderamata infak orang ramai dan mereka yang prihatin daripada Muhammad Syafiq dan Azman.

11
15
0
14
0
You will be interested