Gaya hidup menjadi pemisah antara orang berada dan orang miskin. Walau hanya soal ikan kembung tetap ada kelas membabitkan orang kayangan.
Kisah pada satu pagi minggu lalu di sebuah supermarket di Bukit Beruntung ketika saya bersama dua orang kawan singgah membeli barang-barang basah sebelum balik ke rumah di Tasik Puteri, Rawang.
Orang tak berapa ramai tapi ada barisan pelanggan yang sedang menunggu giliran untuk membuat bayaran.
Dalam leka menunggu giliran seorang wanita tiba-tiba muncul di kaunter dan berkata: "Dik ada ikan kembung untuk kucing?"
Semua yang ada di situ menoleh ke arahnya. Melihat dia atas bawah. Tapi wanita yang bergaya itu selamba sahaja. Macam tak ada apa yang berlaku.
Seorang dua pelanggan menjeling. Sementara cashier yang ditanya menjawab.
"Ada kak sebelah hujung sana. Dekat kotak-kotak ikan," katanya cepat bila perasan banyak mata memandang ke arah wanita tersebut.
Dan saya perhatikan kebanyakan yang beratur untuk membayar ada ikan kembung di dalam bakul mereka.
Mungkin ikan kembung yang termampu untuk dibeli buat hidangan keluarga disebabkan harga ikan yang naik mencanak sejak kebelakangan ini.
Bersyukurlah kerana masih mampu menghidang ikan kembung untuk keluarga walau harganya antara RM9 sehingga RM22 sekilo mengikut saiz dan jenis.
Apa yang hendak saya kongsikan adalah sikap sesetengah manusia yang tidak menjaga perasaan orang lain.
Memang diakui kebanyakan orang memberi kucing mereka makan ikan kembung (biasanya) selain makanan moden kucing.
Namun caranya yang tak betul. Terlalu riak…
Apa salah ambil sahaja ikan yang dikehendaki masuk plastik bawa ke kaunter dan bayar.
Tak payah tanya-tanya dengan suara kuat. Sikap anda mungkin menyinggung perasaan pelanggan-pelanggan lain.
Betul. Tidak salah bertanya. Tapi guna akal dan fikirlah..
Orang lain beli ikan kembung untuk makan sekeluarga. Anda pula untuk diberi kucing makan. Anda mungkin tidak berniat tetapi cara sahaja yang tak kena. Mengguris hati orang tanpa sedar.
Biarpun mungkin perkara remeh, pada saya ia perlu ditegur… bukan sahaja soal ikan kembung tetapi juga perkara lain.
Memang ikan kembung makanan kegemaran kucing tetapi ia juga pilihan utama kebanyakan orang ramai yang hidup sederhana sejak azali.
Sesetengah orang ikan kembung, sela selangat dan ikan kecil yang murah menjadi makanan mereka sejak kecil berbanding ikan mewah seperti tenggiri bawal, cencaru, jenahak, salmon dan lain-lain yang dikatakan ikan kayangan.
Terkadang sikap kita mencerminkan diri kita. Perkataan yang terbit dari bibir kita juga membuka rahsia siapa kita sebenarnya.
Oleh itu berhati-hati dalam berkata. Lihat sekeliling… ibarat pepatah cakap malam dengar-dengar cakap siang pandang-pandang.
Ingat.. Hidup kita bersandarkan adab dan budi pekerti. Moga kisah ikan kembung dan kucing ini memberi anda kesedaran agar lebih peka menjaga hati sesama manusia.
Maaf jika ada yang terasa dengan catatan saya. Sekadar mengingatkan diri sendiri juga, hidup kita berbeza begitu juga rezeki.
Apapun bersyukur dengan nikmat Allah. Hidup cara kita, ikut kemampuan kita. - KitaReporters