SETIAP kita tentu ada nama gelaran peribadi di rumah. Tak kira apa darjat sekali pun, panggilan manja itu ada sejarahnya tersendiri. Mungkin sebab susah hendak sebut nama penuh atau pelat masa kecil, terus nama itu melekat menjadi satu jolokan oleh seluruh keluarga.
Begitulah puteri kedua Putera Harry dan Meghan Markle yang diberi nama Lilibet "Lili" Diana Mountbatten-Windsor. Cantuman nama jolokan moyangnya, Lilibet @ Ratu Elizabeth II dan gelaran Lili nama bunga oleh Doria, manakala nama Diana sudah tentulah sebagai memperingati Puteri Wales, Diana.
Lagi cerita-cerita berkaitan Meghan Markle
Mendiang Puteri Diana kalau masih hidup semestinya menjadi nenda paling bahagia di dunia kerana dia juga sudah lama ingin menimang cahaya mata perempuan tetapi hajatnya tidak kesampaian. Kini cucu terbaru daripada anak keduanya, Putera Harry dan Meghan Markle, mungkin kembali mempopularkan namanya.
Vionnews.com berpusat di India melaporkan Lilibet dilahirkan di tanah air Amerika Syarikat bermakna secara automatik akan berstatus warganegara Uncle Sam itu, tetapi tetap juga diberikan taraf rakyat United Kingdom.
Memetik sumber berita yang mengesahkan kepada US Weekly, anak Meghan Markle dan Putera Harry akan memiliki dua kerakyatan. Begitu juga Archie, 2 tahun. Walaupun dilahirkan di England, tetapi sebab tinggal dengan ibu bapanya di Amerika sekali gus diiberi taraf yang sama.
Cuma Harry saja akan meneruskan menjadi warganegara UK dan Meghan rakyat AS.
Sementara itu, portal New Zealand Herald melaporkan Lilibet Diana bukan saja mengingatkan mereka kepada panggilan mesra kepada Ratu Elizabeth dan Diana tetapi juga panggilan untuk Doria Ragland, ibu Meghan yang sukakan bunga Lili.
Doria Ragland bersama Meghan. - Kredit gambar: Getty.
Pasangan itu menimang cahayamata kedua pada Jumaat 4 Jun 2021 lalu, dilahirkan di Santa Barbara Cottage Hospital, California, Amerika Syarikat. Disebabkan mereka bukan kerabat diraja yang bekerja sudah tentulah, mereka mempunyai 'kuasa' untuk memilih nama anak keduanya.
Apalagi hak istimewa mereka adalah tidak perlu lagi 'tunduk' kepada sebarang prosedur istana. Sama ada untuk mengedarkan gambar terbaru atau memperkenalkan Lilibet Diana kepada dunia.
Ada netizen yang `marah` kepada pasangan itu yang kata mereka, kedua-duanya sengaja mencemarkan nama keluarga diraja itu dengan temu bual bersama Oprah baru-baru ini tetapi masih berani lagi menggunakan nama itu untuk anaknya.
Ratu Elizabeth II dikatakan senyum gembira dengan kelahiran itu dan baginda sudah mempelawa Harry menemaninya dalam satu jamuan sempena kedatangan cucunya itu ke Britain bagi merasmikan arca Lady Diana di Taman Sunken, Istana Kensington 1 Julai 2021 depan.
Lilibet Diana dilahirkan jam 11:40 pagi, waktu tempatan seberat 7 lbs 11oz dan kini Meghan sedang menghabiskan pantangnya di di kediaman mereka. Lilibet Diana cicit ke-11 dan menduduki senarai ke lapan menaiki takhta selepas bapa saudara Harry, Putera Andrew turun ke tangga sembilan.
Anak sulung mereka, Master Archie Harrison Mountbatten-Windsor kini berusia dua tahun. Putera Harry dan Meghan mengucapkan terima kasih atas semua doa dan tahniah yang disampaikan.
Ratu Elizabeth bersama Datuknya, King George V pada 1932.
Akhbar itu melaporkan masa kecil Ratu Elizabeth dikatakan pelat dan tidak dapat menyebut namanya dengan betul. Maka tersebutlah nama Lilibet, terus memikat hati Datuknya, Raja George V yang terus memanggilnya Lilibet. Nama itu kemudian terlekat di bibir suaminya, Duke of Edinburgh, Putera Philips.
Sampaikan mendiang Philip menulis nota kepada mentuanya, "Lilibet satu-satunya dalam dunia ini yang benar-benar wujud pada saya. " kata Putera Philip yang juga dikatakan suka melawak dengan memanggil Ratu E sebagai `My little cabbage` atau 'sausage', istilah sayang dalam bahasa yang suka hati dia ketika memanggilnya.
Mendiang Puteri Diana dengan Putera Harry. - Kredit foto: Instagram Meghan Markle Official
Nama tengah Diana, sudah tentulah sebagai peringatan kepada mendiang ibunya, Diana yang mati kemalangan dalam nahas kereta pada 1997 ketika Harry berusia 12 tahun. Sepupu Lilibet, Puteri Charlotte anakanda Putera William dan Catherine juga memakai nama Diana dan Elizabeth.
Macam juga Archie yang akan dikenali sebagai Master Archie, Lilibet tidak dibenarkan menggunakan gelaran tuan puteri atau HRH (Yang Mulia Tuanku) sehingga Ratu Elizabeth meninggal dunia dan Charles menaiki takhta raja. Undang-undang itu dibuat lebih 100 tahun lalu.
Putera Wales, Charles turut mengucapkan tahniah kepada Harry dan Meghan serta Archie dengan kehadiran Lilibet Diana.
Begitu juga dengan abangnya, Duke dan Duchess Cambridge, Putera William dan Kate Middleton turut gembira dengan kedatangan Lilibet.
Perdana Menteri, Boris Johnson turut menghantar perutusan tahniah, begitu juga dengan Menteri Buruh, Sir Keir Starmer menyambut berita yang sangat menarik. - Kitareporters