Insan & Komuniti 16 Nov, 2020

Terbaik Kechara Soup Kitchen! Pek makanan untuk Orang Asli!

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

ORANG ASLI etnik Bateq Taman Negara merupakan antara penduduk minoriti yang cukup terkesan apabila halimunan pandemik COVID-19 mengancam keseluruhan tempat di negara ini. Hampir semua mereka bergantung hidup pada gaji harian dengan bekerja dalam sektor pelancongan alam semula jadi (ekopelancongan) di Taman Negara. : KitaReporters


Pemandu bot penambang Orang Asli Bateq antara yang cukup terkesan apabila kehilangan pendapatan sejak Perintah Kawalan Pergerakan 18 Mac 2020. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Lagi kisah-kisah berkaitan Orang Asli:

https://kitareporters.com/search?search=orang+asli


Akibat pandemik tersebut, Taman Negara Kuala Tahan sudah dua kali ditutup sementara berikutan pelaksanaan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac - 15 Jun, manakala PKP Bersyarat di beberapa buah negeri (kecuali Pahang) cukup memberi impak kehidupan etnik tersebut.

Kebanyakan Orang Asli Bateq di penempatan pesisir Sungai Tembeling, Sungai Keniam dan Sungai Sat juga penyumbang bagi pembangunan sektor ekopelancongan apabila terbabit sebagai pemandu alam sekitar (nature guide) dan bot penambang, 'porter' malahan yang tinggal di perkampungan sering mengadakan demonstrasi 'survival' hutan dan menjual kraf tangan untuk memperoleh wang daripada pengunjung yang singgah melawat di situ.


Gambar fail 2019... Seorang pemandu pelancong belia Orang Asli sedang menunjuk cara membuat lemang berkonsepkan 'survival' kepada dua orang remaja pelancong Eropah di kawasan air terjun hutan tropika Taman Negara Kuala Tahan. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim.


Fenomena ancaman pandemik COVID-19 telah mengubah landskap kehidupan Orang Asli Bateq di situ apabila kehilangan pendapatan dan segelintir daripada keluarga tersebut yang mewariskan kemiskinan relatif berpindah masuk ke hutan banat untuk menyelamatkan diri dan mencari sumber makanan.

Tetapi, mujurlah ada dalam kalangan insan di luar yang tergetus nilai kemanusiaan serta menzahirkan sikap keprihatinan apabila melihat 'kesengsaraan' etnik tersebut bergelut membina kehidupan selagi pandemik COVID-19 masih belum berpenghujung.

Banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu kesusahan Orang Asli di taman hutan tropika itu sejak PKP  dan sehingga ini tidak putus-putus menyumbangkan bekalan keperluan dapur dihantar ke tujuh buah perkampungan di pesisir Sungai Tembeling.

Antara NGO berkenaan, iaitu Kechara Soup Kitchen Malaysia (KSK), Kuala Lumpur menerusi Program Kechara Food Bank telah menjelajah ke penempatan Orang Asli di Kampung Atok, Kampung Yong, Kampung Teresek, Kampung Tabung, Kampung Dedari, Kampung Aur dan Kampung Cangkung pada 7 dan 8 November 2020. 


Bot penambang memunggah pek keperluan bank makanan (food bank) sumbangan Kechara Soup Kitchen (KSK) Malaysia untuk dihantar ke perkampungan Orang Asli di pesisir Sungai Tembeling berdekatan Taman Negara Kuala Tahan.  - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Misi penghantaran bantuan bank makanan (food bank) yang mengandungi barangan keperluan dapur itu disertai lapan orang ahli KSK yang diketuai Presidennya, Henry Ooi; Pengarah Operasi, Justin Cheah dan Dr Valarmathy; manakala  sukarelawan Bird Group Taman Negara (BGTN) pula berperanan penting sebagai pengantara (mediator) dengan Orang Asli Batek bagi menjayakan misi tersebut.

Roslan Abu Kassim selaku Pengerusi BGTN berkata, tanggungjawab sosial KSK mula tergetus apabila dia selaku pemandu alam sekitar mengiringi Dr Valarmathy Vaiyavari sebagai pengunjung domestik melawat ke perkampungan Orang Asli selepas taman itu dibuka untuk pengunjung domestik pada 15 Jun 2020. 


DR VALARMATHY VAIYAVARI


"Melihat kesusahan keluarga Orang Asli termasuk kanak-kanak di penempatan di sini, timbul rasa prihatin Dr Valarmathy serta terpanggil untuk membantu penduduk berkenaan dan hasrat beliau disuarakan kepada saya.

"Saya melihat beliau (Dr Valarmathy) merupakan seorang insan yang ikhlas dan cukup endah dengan kesusahan Orang Asli lalu berjanji untuk mendapatkan dana membeli keperluan dapur, makanan kanak-kanak dan sebagainya bagi misi bantuan kemanusiaan KSK," katanya di Kampung Cangkung, dekat Sungai Keniam pada 8 November 2020.

Menurut Roslan, Dr Valarmathy dan rakan-rakannya merealisasikan tanggungjawab sosial mereka datang semula ke Taman Negara bersama 113 pek bank makanan (food bank), pakaian, beg sekolah dan makanan ringan untuk kanak-kanak bagi disumbangkan kepada setiap ketua keluarga penduduk Orang Asli menerusi misi tugas selama dua hari.

Sementara itu, Henry Ooi berkata, bantuan Program Kechara Food Bank memberi impak kepuasaan mereka apabila melihat Orang Asli Batek serta anak mereka menyentuh 'makanan' dengan penuh keriangan dan ceria.

"Anak-anak suku Bateq, kami tidak akan melupakan anda. Kepada semua para penderma, anda boleh tersenyum melihat wajah mereka (Orang Asli). Anda menyediakan makanan untuk keluarga mereka dan mereka tidak akan tidur dalam keadaan lapar selama beberapa minggu nanti," katanya. 


Seorang sukarelawan Kechara Soup Kitchen sedang memberikan makanan ringan kepada kanak-kanak Orang Asli etnik Bateq di Kampung Cangkung, Keniam dalam kawasan Taman Negara. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim.


"Sukarelawan KSK dan dibantu oleh BGTN juga membawa makanan ringan, pakaian dan beg sekolah kepada kanak-kanak Orang Asli di kampung yang kami singgah. Saya lihat kanak-kanak sungguh gembira menerima beg sekolah sambil menjamah makanan ringan," ujarnya.

Tambahnya, dana bagi Program Kechara Food Bank masih diperlukan untuk misi kemanusiaan seterusnya di Taman Negara dalam tempoh PKPB ini dan para penderma bolehlah menyumbang menerusi akaun Maybank bernombor 5122-3133-4874 (Kechara Soup Kitchen Society). - KitaReporters

Henry Ooi (duduk belakang, tengah) bersama Roslan Abu Kassim (belakang, kanan) bersama kanak-kanak Orang Asli etnik Bateq ketika menyampaikan bantuan barangan keperluan dapur di Kampung Yong, Taman Negara Kuala Tahan pada 7 November 2020. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim


Kerja mengangkut pek bank makanan (food bank) dibantu oleh penduduk Orang Asli Batek ketika tiba di Kampung Cangkung, Sungai Keniam kira-kira dua jam perjalanan dari jeti Taman Negara. - Kredit foto: Roslan Abu Kassim.

4
0
0
0
0
You will be interested