Insan & Komuniti 18 Sep, 2020

Hari Malaysia! Disambut penuh setiakawan penduduk Petaling!

@isa ramli
Penglibatan sebagai wartawan 23 tahun mulai 1984 dan bersara awal 2005 . Jawatan terakhir Penolong Kanan Ketua Penyunting Utusan Melayu di Syarikat Utusan Melayu (M) Berhad. Penyumbang beberapa majalah, media eletronik dan cetak.

Share this
SAMBUTAN Hari Malaysia di seluruh negara berlangsung dalam suasana meriah, sekalipun terpaksa diadakan dalam keadaan terbatas dengan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan bilangan peserta terhad berikutan PKPP yang berterusan daripada 1 September hingga 31 Disember 2020 akibat pandemik COVID-19 berlarutan sekarang. : KitaReporters

Semangat muhibbah, toleransi dan perpaduan antara kaum terserlah melalui Pertandingan Menghias Blok Kediaman di Pangsapuri Perdana, Puchong sempena sambutan Hari Malaysia anjuran Jawatankuasa Penduduk Zon 13 Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) - Kredit Foto-Foto: Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ. 


Lagi berita-cerita dari Puchong:

https://kitareporters.com/search?search=puchong


Seperti di tempat-tempat lain, sambutan di mana tujuannya antara lain untuk mengingati penubuhan Malaysia yang dirayakan pada 16 September setiap tahun, daerah Petaling di Selangor turut tidak ketinggalan mengatur beberapa program bagi menjayakan acara-acara siap diatur.

Antaranya Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) melalui Jabatan Pembangunan Masyarakatnya dengan kerjasama Jawatankuasa Penduduk (JKP) pada peringkat zon berserta Persatuan Penduduk, Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Badan-Badan Sukrela (NGO), Ahli Jawatankuasa Surau dan Masjid merancang program-program sambutan Hari Malaysia melibat komuniti setempat.
Program kemasyarakatan yang diadakan sempena penubuhan Hari Malaysia pada Rabu 16 September 2020 termasuklah sumbangan makanan bagi golongan B40, kempen keceriaan pangsapuri angkat, pertandingan menghias pangsapuri dengan lukisan mural, penghasilan barangan daripada bahan kitar semula dan pelbagai lagi.

Jalur Gemilang megah berkibar dan teriakan Malaysiaku bergema di Perkampungan Orang Asli Sungai Rasau, Air Hitam, Puchong sempena sambutan Hari Malaysia dan agihan makanan kepada penduduk perkampungan berkenaan.

Sambutan bagi memperingati penubuhan negara Malaysia melalui gabungan negeri-negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak (setelah Singapura menarik diri dari Malaysia) juga ke arah memupuk semangat toleransi, setiakawan dan muhibbah dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Untuk tujuan ini dari jam 11.00 pagi hingga 3.00 petang, Jabatan Pembangunan Masyarakat MPSJ dengan diketuai pengarahnya, Muhammad Zaki Yusoff hadir mengagihkan sumbangan makanan (makanan segera KFC ) kepada 180 keluarga di Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6  dan 60 keluarga di Perkampungan Orang Asli Sungai Rasau, Air Hitam di Puchong.

EXCO Kerajaan Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kinrara, Ng Sze Han (tiga dari kiri) bersama para pegawai JPM MPSJ memotong kek sempena sambutan Hari Malaysia bagi JKP Zon 13 MPSJ di Puchong, Selangor. Turut hadir Ahli Majlis JKP Zon 13 MPSJ, Mohd Fitri Jamluddin (empat dari kiri).

Semua yang terlibat diberikan bantuan berkenaan terdiri dari keluarga dibawah kategori B40 melalui kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Syarikat MyPJ dan syarikat makanan segera KFC Malaysia.
"Inisiatif MPSJ sentiasa memberdaya warga komuniti pada setiap kawasan tadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan dengan pelbagai program yang memberi manfaat kearah meningkatkan tahap hidup penduduk lebih-lebih lagi golongan B40 atau yang memerlukan," ujar Muhamad Zaki Yusoff.
Dua orang Ahli Majlis MPSJ, Mehanathan a/l Embamurthi dari JKP ZON 11 dan Thomas Low Yew Sin dari JKP Zon 17 telah menyampaikan sumbangan makanan segera kepada penduduk.

Malahan, katanya, usaha yang dijalankan MPSJ tidak terkecuali bagi komuniti di kawasan Pangsapuri Enggang, Bandar Kinrara 6 dalam usaha untuk melihat supaya mereka dapar merubah kehidupan pada masa akan datang.

Pengarah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, Majlis Perbandaran Subang Jaya, Muhamad Zaki Yusoff (kiri) bersedia menyerahkan makanan segera kepada salah seorang penduduk B40 di Pangsapuri Enggang,Bandar Kinrara 6, Puchong pada program sambutan Hari Malaysia dan agihan makanan kepada penduduk di kawasan kediaman berkenaan. 

Dalam hubungan ini beliau mengingatkan supaya warga komuniti sentiasa bersatu padu, bekerjasama dan bertoleransi bagi menjaga kawasan persekitaran sentiasa aman, bersih dan selamat dari pelbagai keadaan negatif tanpa mengira bangsa dan agama.

Pada sambutan Hari Malaysia, warga komuniti Pangsapuri Enggang Bandar Kinrara 6 meraikannya dengan mengibarkan bendera Jalur Gemilang, di samping mengucapkan Selamat Hari Malaysia dalam kalangan warga komuniti selain memperolehi sumbangan makanan.
Selepas itu, program agihan makanan segera anjuran JPM MPSJ ini beredar ke Kampung Orang Asli Sungai Rasau, Air Hitam bagi disampaikan kepada 60 keluarga orang asal berkenaan. Mereka juga pada program itu turut mengibarkan bendera Jalur Germilang saiz mini sebagai tanda meraikan sambutan Hari Malaysia.

Ahli Majlis JKP Zon 14 MPSJ, Aniza Jamaluddin mengecat dinding salah sebuah kediaman sebagai simbolik melancarkan program Kempen Keceriaan Pangsapuri Angkat di Blok F Pangsapuri Puchong Permai, Puchong sempena sambutan Hari Malaysia.


Bagi kawasan JKP Zon 14 MPSJ  pula program Sambutan Hari Malaysia diadakan serentak dengan Kempen Keceriaan Pangsapuri Angkat zon berkenaan yang berlangsung  di Pangsapuri Angkat Blok F, Puchong Permai, Puchong.

Seramai 80 orang penduduk Pangsapuri Puchong Permai menjayakan program kali ini bersama Ahli Majlis JKP Zon 14 MPSJ, Aniza Jamaluddin.

Majlis yang berlangsung pada jam 10.00 pagi dengan dimulakan aktiviti suai kenal antara warga komuniti dan Ahli Majlis MPSJ serta penyerahan  bendera Jalur Gemilang  sebagai menandakan bermula majlis sambutan  Hari Malaysia dan kemudiannya melancarkan Kempen Keceriaan Pangsapuri Angkat JKP Zon 14 MPSJ.

Sebahagian penduduk Pangsapuri Angkat JKP Zon 14 MPSJ, Pangsapuri Puchong Permai menyanyikan lagu Jalur Gemilang dan Malaysiaku sempena sambutan Hari Malaysia.


Sementara itu, JKP Zon 13 mengadakan Pertandingan Menghias Pangsapuri Perdana yang disertai 6 daripada 11 blok kediaman di kawasan berkenaan bagi memenuhi acara Sambutan Hari Malaysia tahun ini.
Selain memaparkan semangat patriotisme melalui hiasan bendera di setiap blok bangunan kediaman yang turut serta, program kali ini mampu memupuk semangat kerjasama antara penduduk berbilang kaum dengan penghasilan barangan hiasan daripada bahan kitar semula dan lukisan mural.
Pertandingan Menghias Pangsapuri Perdana dinilai melalui kreteria kebersihan dan keceriaan flat, kreativiti penggunaan barangan kitar semula dan lukisan mural.

Kerjasama dan kemeriahan sambutan terhadap program tersebut dalam kalangan penduduk begitu menggalakkan yang turut dihadiri Exco Kerajaan Selangor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kinrara, Ng Sze Han dan Ahli Majlis JKP Zon 13 MPSJ, Mohd. Fitri Jamaluddin.


JKP Zon 4 MPSJ pula menganjurkan kejohanan sepak takraw 2 veteran dan seorang belia bagi setiap regu sempena sambutan Hari Malaysia yang berlangsung di Gelanggang Sepak Takraw, Laman Sukan USJ 1 Subang Jaya

Kejohanan yang berlangsung antara jam 9.00 pagi hingga 6.00 petang dirasmikan penutupnya oleh Ahli Majlis JKP Zon 4 MPSJ, Ar Kamal Hisham Yeop Hashim. - KitaReporters

 

Sebahagian regu yang menyertai kejohanan sepak takraw 2 veteran satu belia sempena sambutan Hari Malaysia anjuran JKP Zon 4 MPSJ yang berlangsung di Gelanggang Sepak Takraw Laman Sukan USJ 1.

0
0
0
0
0
You will be interested