Insan & Komuniti 09 Jul, 2021

Penulis best-seller, Bonda Nor jadi panda! Tarik perhatian ibu sendiri! Kagum dengan usahanya!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Gaya Bonda Nor memakai kostum panda dalam satu program online yang dianjurkan pasukan Ekpres-i United baru-baru ini. - Kredit Foto: Koleksi Peribadi Bonda Nor


GELAGAT seorang penulis best-seller memakai kostum panda dalam satu program online yang dianjurkan, menarik perhatian si ibu yang melahirkan rasa sebak di hati.

Penulis buku dakwah santai dan motivasi, Bonda Nor atau nama sebenarnya Norli Madlan, 44, tidak menyangka tindakannya itu telah menyebabkan wanita kesayangannya bersedih.

Perkara itu diketahui selepas menghubungi ibunya, Rohani Kanapiah atau dipanggil Nenda Penyayang di kampung.

Kata ibunya: “Sebak mak tengok anak mak cari duit sampai kena jadi panda.”


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Bonda Nor

Ibu Bonda Nor, Rohani Kanapiah sebak melihat anaknya gigih berusaha dalam membantu kejayaan pasukannya. 


Bagaimanapun, sebaik menerangkan tindakannya itu sekadar suka-suka untuk menarik perhatian kanak-kanak yang menyertai program Seminar Membaca Kaedah Ekpres-i yang beliau sendirikan asaskan, ibunya membalas dengan memberi jawapan yang lebih menyentuh hati.

“Mak tahu Anor (nama panggilan Bonda Nor) suka-suka saja. Tapi maksud mak, Anor buat macam-macam nak tolong orang. Buat itu, buat ini. Sampai berpanas macam itu pun  sanggup. Tapi ada orang, kerja pun tak nak! Hidup asyik harap orang tolong.”

Mendengar ucapan ibunya, Bonda Nor mengakui beliau pula yang sebak.


Status yang dimuat naik Bonda Nor dalam laman Facebook bertarikh 6 Julai boleh membuat pengikutnya ketawa dan kemudian sebak dengan perkongsian tulus beliau mengenai bantuan.


Dalam satu perkongsiannya di Facebook pada 6 Julai 2021 lalu, anak kelahiran Melaka yang telah memiliki lebih 40 buah buku dan mengendalikan 50 orang speaker serta 500 fasilitator Kaedah Membaca Ekpres-i itu menulis:

“Mak orang lama. Banyak bergaul dengan orang. Mak faham benar kerenah manusia. Memang ada sesetengah orang yang suka ambil kesempatan atas kebaikan orang lain. Orang kerja berhempas-pulas nak dapatkan duit yang akhirnya diberi untuk tolong dia. Tapi dia tanpa rasa bersalah, dapat duit tu berbelanja sesuka hati. Esok-esok minta lagi. Tak dapat menerusi orang yang sama, minta daripada orang lain pula.

“Mak betul. Saya sendiri selalu jumpa orang macam ni. Sedih juga bila tahu duit yang kita usahakan sedaya upaya, sepenuh tenaga, dia buat boros berbelanja untuk hal yang tak penting. Bahkan ada yang saya tak kenal pun, selamba minta duit beratus-ratus, beribu-ribu. Buat cerita sedih macam-macam. Dapat apa yang dihajati, lepas tu, hilang. Tak lama lepas tu, kembali, dengan cerita sedih yang lain pula. Allahu Rabbi.”


Buku-buku Bonda Nor sentiasa mencatat jualan best-seller kerana memberi motivasi kepada pembaca.


Tambah beliau yang popular dengan siri buku Pujuklah Hati dan pernah menerima Anugerah Pilihan Pembaca Popular Berita Harian  2017 menerusi buku bertajuk Be Strong, ramai juga manusia yang gemar mengambil kesempatan di atas kebaikan orang lain

Justeru, beliau tidak berani menguruskan tabung bantuan untuk orang ramai. Sebaliknya hanya menubuhkan Tabung Ekspres-i di mana penyumbangnya adalah orang yang dikenali sahaja.

Berat sebenarnya tanggungjawab menguruskan amanah orang ramai ini. Takut kita tersalah serah pada orang tak guna, yang malas bekerja, yang hidupnya nak menadah bantuan orang saja. Kesian pada yang sampai gadai cincin, gadai gelang sebab nak tolong orang, rupa-rupanya duit itu jatuh ke tangan orang yang tak tahu menghargainya,” jelas Bonda Nor.

Menurutnya lagi, bukan mudah hendak uruskan bantuan, apatah lagi yang melibatkan orang yang tidak dikenali. 


Kempen bendera putih disifatkan Bonda Nor sesuai untuk memberi bantuan dalam jangka masa pendek sahaja. 


Sebagai contoh, beliau turut menyebut kempen bendera putih, walaupun bagus untuk membantu, tapi ia hanya sesuai untuk jangka masa pendek sahaja

Dia angkat bendera, kita hantar beras, hantar minyak, telur dan sardin, berapa lama boleh bertahan tu? Paling lama seminggu. Minggu depan nak hantar lagi? Sampai bila? 

"Kalau setakat hantar sekali dua, lepas tu nak canang merata kebaikan kita sampai nak kutuk kerajaan yang kononnya gagal bantu, sepatutnya kita malu. Yang kita hantar tu tak seberapa pun kalau nak dibandingkan dengan pelbagai bantuan yang pernah kerajaan salurkan sebelum ini.

“Bagi, bukan tak pernah bagi. Tapi ada yang dapat bantuan tak pandai guna. Lepas tu, kembali meminta-minta. Isunya sampai bila? Sampai bila? Memang ada yang benar-benar susah dan putus jalan, tapi ramai juga yang ambil kesempatan. Yang dah lama terlibat memberi bantuan memang faham sangatlah isu ini. Termasuklah saya sendiri!” tulisnya.


Wanita ini membuka peluang menjana pendapatan kepada pengikutnya melalui kelas membaca dan jualan buku dakwah santai. 


Disebabkan itu, Bonda Nor berkata, beliau lebih gemar memberi mata kail dan ilmu mengail daripada beri seguni ikan kepada mereka.

“Saya sediakan platform untuk mereka jana pendapatan. Saya tak ada bisnes lain, tak tahu bisnes lain. Hanya buku. Jadi, saya tawarkan bantuan mana yang mampu berkaitan buku. Berkaitan apa yang saya tahu.

“Melalui Ekspres-i, saya latih mereka untuk buat kelas membaca. Ambillah semua untungnya. Saya tak ambil satu sen pun yuran itu. Melalui Dropshipper Bonda Nor, saya bantu mereka menerusi jualan buku. Mereka dapat komisyen tinggi sama macam diskaun penulis!

“Namun ada juga yang apabila diberi jalan, tetaplah juga menyediakan banyak alasan. Even ada yang saya bagi pelbagai bantuan percuma untuk mulakan kelas membaca, akhirnya tak jalan juga. Mereka lebih suka kerja mudah. Duduk rumah dan terus mengeluh susah. Apa kita nak kata lagi dengan orang macam ni?”

Pada akhirnya, Bonda Nor memahami apa yang maksud ibunya menuturkan kata-kata sedemikian.

Saya faham maksud mak. Ada orang kerja sungguh-sungguh. Tapi ada yang hanya menangguk di air yang keruh. Tak apalah, mak. Kita buat bahagian kita. Kita ada tenaga, ada cara, kita kerjalah untuk bantu mana yang mampu. Sekurang-kurangnya nanti kita boleh jawab depan Allah, kita dah usaha tolong dia," balasnya memujuk si ibu.


Senyuman wanita ini tidak pura-pura kerana beliau memang enjoy melakukan tugasnya. 


Sungguh... Di sebalik kostum panda yang dipakai itu, tubuh dan wajah beliau berpeluh-peluh menahan panas. Tapi beliau gembira. Senyumannya tidak pura-pura. Bonda Nor memang enjoy melakukannya!

Tulisnya lagi: “Saya mahu akhiri hayat saya dengan terus berbakti dan berbakti. Namun, saya juga tetap sentiasa berhati-hati menggunakan setiap rezeki yang Allah beri. Saya tak mampu tahu apa yang ada dalam hati orang, tak tahu setepatnya masalah orang, tapi saya akan sentiasa berdoa moga Allah pandu setiap tindakan saya.

“Pada akhirnya, hukum ini tetap terguna pakai; Lakum a'malukum, walana a'maluna. Untuk kamu, balasan daripada amalan kamu. Dan untuk kami, balasan daripada amalan kami. Maka kita buatlah bahagian amal kita. Moga-moga peluh kita, air mata kita, jadi sungai yang menghanyutkan kita ke syurga.”  

Allahu Akbar!! 


Bonda Nor mahu terus berjuang menabur bakti apa yang termampu sehingga akhir hayatnya dalam kembara mencari redha Ilahi.


Semoga perkongsian Bonda Nor ini dapat dijadikan iktibar buat khayalak di luar sana. Tidak salah meminta bantuan, namun jangan sesekali jadikan ia sebagai satu rutin yang sentiasa berulang.

Berusahalah mencari rezeki dengan kudrat yang ada dalam diri kerana sesungguhnya rezeki Allah sangat luas untuk kita terokai.

Terima kasih Bonda Nor! – KitaReporters


Wanita bersemangat waja ini bersama suami dan tujuh anak mereka yang sentiasa menyokong perjuangannya dalam arena penulisan dakwah tanah air.

21
1
0
0
0
You will be interested