Insan & Komuniti 06 Jan, 2021

Malang sungguh nasib Nandini! Kerana benci, bapa mentua upah dua orang bunuh menantu sendiri!

@ahmad abd hamid
Served as a journalist for a year at Berita Harian and for 33 years at Utusan Melayu (M) Bhd. beginning 1980. Last post was Assistant Editor in Chief Utusan Melayu. Also served as Editor in Chief, Magazines. Retired in 2013.

Share this

JIKA marah dan sangat benci sekalipun, sanggupkah seorang mentua membunuh menantunya dengan kejam sebagai melepaskan rasa sakit hati yang lama terpendam? Namun bagi Kamal Rai, 55, tiada rasa kasihan ketika membunuh menantu perempuannya yang masih muda, Nandini Thakur, 22, dan kemudian memasukkan mayatnya ke dalam guni dan mencampakkannya ke dalam terusan air. : KitaReporters


NANDINI THAKUR menjadi mangsa pembunuhan bapa mentua sendiri, Kamal Rai. - Kredit foto: timesofindia.com


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pembunuhan:

https://kitareporters.com/search?search=pembunuhan


Tiada siapa yang tahu mengenai pembunuhan itu sehinggalah mayat menantunya yang dihanyutkan air pasang dan dipukul ombak, tersadai di Pantai Aksa, Mumbai. Pembunuhan dilakukan pada 9 Disember 2020 dan mayat hanya dijumpai tersadai pada 24 Disember 2020.  

Polis mengambil masa seminggu untuk mengenal pasti mayat di dalam guni itu. 

Hasil siasatan, polis menangkap Kamal Rai bersama dua orang lagi yang menjadi rakan subahat pembunuhan pada 30 Disember 2020. Ketiga-tiga mereka menghadapi dakwaan membunuh.


PANTAI Aksa di Mumbai, tempat di mana guni berisi mayat Nandini ditemui pada 24 Oktober 2020. - Kredit foto: Thrillophilia.


Memetik laporan timesofindia.com, Kamal memberitahu polis, dia tersangat marah apabila anaknya, Pankaj berkahwin di luar kerelaan keluarga dengan Nandini yang berlainan kasta. Dia mendakwa Nandini juga curang.

Menurut sumber polis, Pankaj dan Nandini berkahwin pada 2017 di Mumbai. Kampung halaman Kamal ialah di negeri Bihar.  Perkahwinan yang dianggap tidak setaraf itu juga menyebabkan Kamal malu selain dihina masyarakat di kampung halamannya.

Polis memberitahu, Kamal memang telah lama merancang untuk membunuh Nandini. 

Peluang ini diperoleh apabila Pankaj dan ibunya (isteri Kamal) pulang kampung di Bihar pada 9 Disember 2020 untuk acara keagamaan. Nandini ditinggalkan di rumah bersama Kamal.

Peluang ini digunakan oleh Kamal untuk memenuhi hajatnya membunuh Nandini. Dia mengupah dua pemandu kereta roda tiga, Krishnakant Singh, 30, dan Pradeep Gupta, 40, untuk membunuh Nandini dengan upah hampir 1 lakh Rupee (RM5,500).

Menurut polis, Krishna Singh menekup Nandini dengan bantal sehingga lemas sambil  Gupta dan Kamal mememang kakinya untuk mengelakkanya meronta-ronta.

Selepas itu, mereka memasukkan mayat Nandini yang dibalut dengan cadar dan disendat  dengan bantal ke dalam guni yang  dicampakkan ke dalam terusan air di Borivli.

Mayat tersebut dihanyutkan ombak dan air pasang sehinggalah terdampar di pantai Aksa dan ditemui polis dari balai Malwani.

Pada mayat tersebut terdapat tatoo di tangannya dan kalung serta mangalsutra (ikatan suci perkahwinan agama Hindu) di lehernya.

Polis di balai tersebut kemudian membuat semakan dengan beberapa balai polis lain dan mendapati terdapat laporan mengenai orang hilang di Kandivli. 

Gambar wanita hilang di dalam rekod polis itu menunjukan wanita tersebut memakai kalung dan mangalsutra sama seperti yang djumpai pada mayat wanita yang ditemui.


KAMAL RAI dan pemandu kereta roda tiga yang membantunya membunuh menantunya, Nandini, kini dalam tahanan polis Malwani. - Kredit foto: timesofindia.com


Nandini kali terakhir dilihat pada 8 Disember 2020. Apabila dia tidak muncul selepas itu, bapa Nandini membuat laporan polis pada 11 Disember 2020. Ketika itu Nandini sudah pun mati.

Polis juga hairan kenapa Kamal pergi ke kampungnya di Bihar selepas kehilangan Nandini sehingga menimbulkan syak. Dia segera dipanggil balik ke Mumbai untuk soal siasat.

Kamal pada awalnya menafikan terlibat dengan pembunuhan itu. Namun hasil penyiasatan dan soal siasat polis, dia tidak dapat melarikan diri.  Polis kemudian menangkap Kamal dan  kedua-dua pemandu kereta roda tiga terlibat pada 30 Disember 2020. Mereka berdepan dakwaan membunuh.

Kamal dikatakan berjaya meyakinkan Gupta untuk membantunya membunuh Nandini dengan menawarkan upah yang boleh digunakan untuk perbelanjaan perkahwinan anaknya.

Menurut polis, selepas berkahwin, Nandini dan Pankaj tinggal berasingan di Nalasopara. Tetapi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PK), pasangan tu tinggal bersama Kamal di Mumbai.

Sebelum pembunuhan pada 9 Disember 2020, Kamal dikatakan pernah memberi upah kepada pihak tertentu untuk membunuh Nandini tetapi usaha itu tidak berjaya. - KitaReporters

2
0
3
0
0
You will be interested