Insan & Komuniti 13 Jan, 2021

Khairunnisa masih terkenang arwah suami! Ebit Lew doakan Rajihan dihadiahkan Syurga Firdausi!

@adnan mohamad
Berpengalaman dalam bidang penulisan selama lebih 22 tahun sebagai wartawan bermula di akhbar Berita Harian selama lebih lima tahun kemudian di akhbar Utusan Malaysia serta Kosmo dan lima kali mendapat anugerah kewartawanan peringkat negeri Terengganu. Emel: [email protected]

Share this

``SEHINGGA sekarang saya masih terkenang lagi arwah suami dan saya juga teringat arwah memecahkan cermin kereta supaya saya dapat keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri saya daripada dihanyut air deras." Khairunnisa Ibrahim, 25, mengingati semula detik-detik terakhir dia dengan Allahyarham suaminya, Md Rajihan Mohd Junaidi, 28. : KitaReporters


KHAIRUNNISA Ibrahim menangis ketika menceritakan kejadian malang yang menimpa arwah Md Rajihan Mohd Junaidi kepada Ebit Lew  (kanan) yang datang menziarahinya di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 9 Januari 2021 - Kredit foto: Ebit Lew


Lagi kisah-kisah sedih berkaitan Khairunnisa banjir:

https://kitareporters.com/search?search=banjir


``Sebaik sahaja saya keluar dari kereta, saya sempat bergantung pada pagar yang berada di tempat kejadian, manakala suami saya pula ketika itu masih berada di keretanya dan selepas itu dia dihanyutkan oleh air banjir,’’ kata Khairunnisa kepada penceramah bebas, Ustaz Ebit Lew yang berkunjung ke rumahnya di Kampung Parit Nipah, Parit Raja, Batu Pahat, Johor pada 9 Januari 2021 lalu. 

Ebit Lew datang ke rumah keluarga Khairunnisa kerana menziarahinya selepas Allahyarham Md Rajihan mati lemas selepas mangsa dihanyut air banjir pada 2 Januari 2021 lalu.


Jaga diri baik-baik! Pesanan terakhir seorang suami kepada isterinya sebelum mayatnya ditemukan - KitaReporters


KHAIRUNNISA Ibrahim (dua dari kanan) menangis dan hampir pengsan selepas Operasi SAR Daerah Kluang, Johor berjaya menjumpakan mayat suaminya pada 4 Januari 2021 - Kredit Foto : Transfomasi


ALLAHYARHAM Md Rajihan Mohd Junaidi.


Khairunnisa yang sedang mengandung enam bulan itu menceritakan detik-detik cemas itu terpaksa dilalui bersama Md Rajihan selepas kenderaan mangsa terperangkap serta dihanyut arus deras di Batu 18, Jalan Kluang-Kahang, Johor.

Wanita itu sambil menangis memberitahu, jikalau dia tidak keluar dari kereta pada hari itu kemungkinan dia juga akan turut menjadi korban banjir bersama suaminya. 

Menurut Khairunnisa, dalam suasana  cemas, Rajihan terpaksa memecah cermin tingkap bagi membolehkan dia keluar dari kenderaan itu kerana ketika itu sekiranya mangsa membuka pintu sudah pasti air akan memasuki ke dalam keretanya.


Kredit foto: Ebit Lew


``Hati siapa yang tidak sedih kejadian itu berlaku di depan mata saya melihat suami  beberapa kali memecah cermin kereta sehingga tangannya terluka dan arwah sanggup berkorban apa saja untuk menyelamatkan diri saya. 

``Tetapi semuanya kehendak Allah kerana saya yang selamat tetapi arwah suami menjadi korban akibat banjir itu dan sebelum itu saya fikir selepas saya keluar dari kereta, suami saya akan berpatah balik tetapi gagal sebab kenderaan itu tidak berfungsi sehingga ia dihanyut air,’’ katanya lagi.


Ebit Lew memberi kata-kata nasihat serta semangat kepada Md Junaidi, bapa Allahyarham Md Rajihan, yang turut bersedih dengan kehilangan anaknya. - Kredit foto: Ebit Lew


Kejadian malang yang menimpa sepasang suami isteri yang baru berkahwin pada Julai 2020 itu berlaku kira-kira pukul 5.30 petang, 2 Januari 2021 lepas ketika mereka dalam perjalanan pulang dari Mersing  ke kampungnya di Batu Pahat.

Apabila tiba di Batu 18, Jalan Kluang-Kahang kenderaan mereka terpaksa meredah air banjir di atas jalan raya tersebut bagi meneruskan perjalanan mereka tetapi terkandas akibat air dalam sehingga mangsa dihanyut bersama kenderaannya dan mayat mangsa diketemui dua hari selepas kejadian.


KASIH dan sayangnya pada arwah suami, Md Rajihan menyebabkan Khairunnisa masih berduka lagi biarpun kematian suaminya akibat lemas air banjir sudah berlalu hampir dua minggu lepas. - Kredit foto: Ebit Lew 


Tragedi yang menyayatkan hati itu mendapat liputan meluas dari media utama termasuk portal KitaReporters turut melaporkan kejadian tersebut.

Sementara itu, Ebit Lew ketika bertemu dengan keluarga mangsa terbabit turut memberi sumbangan kepada bapa Md Rajihan dan Khairunnisa selain mengaminkan doa untuk arwah mangsa lemas itu.


EBIT Lew membaca doa bersama ahli keluarga Md Rajihan semoga roh arwah ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. - Kredit foto: Ebit Lew


Ikon amal yang terkenal itu berkata semoga Allah menghadiahkan Syurga Firdausi untuk roh Md Rajihan yang meninggal dunia kerana lemas mendapat pahala Syahid. 

Ebit Lew juga berharap Khairunnisa yang bakal menimang anak sulung kira-kira tiga bulan lagi termasuk kedua-dua ibu bapa mangsa supaya lebih tabah dalam menghadapi kehidupan mereka berikutan dengan tragedi itu. 

``Arwah Md Rajihan adalah seorang suami yang baik kerana sanggup berkorban dan melakukan apa saja demi menyelamatkan isteri tersayang,’’ katanya. - KitaReporters


PERSANDINGAN mereka pada Julai 2020 lalu kini hanya tinggal seribu kenangan dan harapan untuk Khairunnisa Ismail

1
0
1
0
0
You will be interested