Insan & Komuniti 27 Feb, 2021

Azizuddin Khan dah tiada! Pak Ajit insan serba boleh! Ibarat bapa kepada pemain-pemain negara

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

AZIZUDDIN Khan Omar Khan (barisan tengah, dua dari kanan) bersama skuad Sukan Asia 1998. - Kredit foto MOM.


ALLAHYARHAM Azizuddin Khan Omar Khan ibarat seorang bapa (father figure) yang gemar menasihati para pemain skuad negara yang pernah dibimbingnya dalam Sukan Asia Bangkok 1998. 

“Sebagai seorang yang berpengalaman dan serba boleh termasuk bekas pemain dan pengadil, kami sepasukan menimba banyak ilmu dan petua yang bermanfaat daripadanya.


Lagi kisah-kisah menarik berkaitan sepak takraw:

https://kitareporters.com/search?search=sepak+takraw


AZIZUDDIN (kiri) bersama pengadil Astaf/Istaf, Gani Zainon dalam satu majlis di Pulau Pinang.


“Dia berumur 60 tahun ketika Sukan Asia Ke-13 itu. Jadi sebagai orang lama sepak takraw, cara bimbingan dan latihannya lebih bersifat menasihat kami dan macam seorang bapa yang mahu mendidik anak.

“Ramai pemain menyenangi caranya. Dia ketika itu dibantu seorang lagi jurulatih, Zakaria Mohd. Ali dan pengurus pasukan, Azman Rashid,” kata bekas apit kiri negara, Suhaimi Yusof


SUHAIMI Mohd. Yusof, pemenang pingat emas Sukan Asia Beijing 1990 dan Sukan SEA Manila 1991. - Kredit foto FB Suhaimi.


Azizuddin atau turut dikenali sebagai Pak Ajit, kembali ke rahmatullah di rumahnya di Taman Free School, Pulau Pinang kira-kira pukul 4 pagi ini (27 Februari 2021), dipercayai kerana sakit tua, pada usia 84 tahun

Allahyarham merupakan ketua jurulatih skuad negara yang meraih dua pingat perak acara regu berpasukan dan antara regu serta sebutir pingat gangsa bulatan Sukan Asia berkenaan.

Antara yang turut dibimbing Allahyarham ialah Rommi Suhendra Norsal, Mohd. Nasir Ismail, Zabidi Shariff, Jamry Ederis, Zahar Ismail, Iskandar Arshad, Suhaimi Abdul Rahman, Ahmad Ezzat Zaki dan Noor Hisham Ghani.


AZIZUDDIN (duduk, berbaju hitam) sebagai jurulatih Pulau Pinang 1985. - Kredit foto Infotakraw.com.


Azizuddin yang lahir pada 1938 di Kampung Selut, Sungai Pinang, Pulau Pinang, meninggalkan tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan. Isterinya sudah meninggal dunia, beberapa tahun lalu. 

Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Jalan Perak, Pulau Pinang selepas solat zuhur. 

“Saya rakan sekampungnya tetapi dia lebih tua. Dia pernah bekerja dengan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (kemudiannya Padiberas Nasional - Bernas) sehingga bersara. 


AZIZUDDIN (kiri) bersama tiga pemain Malaysia, pemenang pingat emas Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965 (serba hitam) iaitu Ahmad Mohd. Saman, Mohd. Noor Osman dan Kassim Abu Bakar. - Kredit foto Mamu.


“Dia juga antara pengadil ketika Kejohanan Sepak Raga Jaring (nama lama Sepak Takraw) Kebangsaan Piala Emas Khir Johari pertama pada 1962 malah apabila sukan ini mula dipertandingkan dalam Sukan SEAP Kuala Lumpur 1965. 

“Dia juga merupakan bekas pemain dan jurulatih Pulau Pinang,” kata Mokhtar Mohd. Sheriff, 72, yang juga bekas Naib Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Pulau Pinang dari 1990 hingga 2013.


MOKHTAR Mohd. Sheriff, rakan karib sekampung Azizuddin Khan Omar Khan. - Kredit foto Mamu.


Kepakarannya sebagai jurulatih kata beliau, turut menarik minat Sarawak yang mengimport khidmatnya selama tiga tahun pada era 80-an. 

“Dia juga antara pengadil Malaysia yang ditugaskan dengan tauliah Astaf (Persekutuan Sepak Takraw Asia) ketika Sukan Asia Hiroshima 1994,” katanya.


JUGA dikenali sebagai Pak Ajit dalam kalangan penggiat sepak takraw negara. - Kredit foto Infotakraw.com. 


Sementara itu, Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf), Abdul Halim Kader pula berkata, “saya mengenalinya lebih 30 tahun. Allahyarham seorang jurulatih yang dihormati dan harus dicontohi para jurulatih sepak takraw tempatan dan antarabangsa. 

“Saya bagi pihak Istaf dan Astaf ingin menzahirkan penghargaan dan takziah kepada keluarga Allahyarham 

“Kedua-dua organisasi ini tidak akan melupakan segala sumbangan beliau dan budi pekertinya yang terbaik,” katanya yang juga Presiden Astaf. - KitaReporters


ABDUL Halim Kader. - Kredit foto Istaf/Astaf.

0
0
7
0
0
You will be interested