TERKENAL dengan panggilan Ustaz Kazim, pendakwah selebriti terkenal tanah air yang berasal dari Perak itu baru-baru ini menerima kecaman hebat netizen dalam media sosial.
Datuk Ustaz Mohammad Kazim Elias (DUKE) Al-Hafiz yang juga merupakan pengasas dan pengetua Pusat Pendidikan Al-Barakah, Perak telah memaparkan perbualan beberapa individu tidak dikenali menerusi ruangan komen media sosial Facebook miliknya.
Beliau menzahirkan rasa kesalnya apabila ada segelintir individu sanggup mengecam teruk dan mengutuk dirinya secara terbuka dalam media sosial, walaupun hakikatnya mereka saling tidak mengenali antara satu sama lain.
Mereka dapat berbalas komen antara sesama sendiri hanya semata-mata mempunyai satu pandangan terhadap Ustaz Kazim.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan Ustaz Kazim:
https://kitareporters.com/search?search=ustaz+kazim
“Rasanya tak pernah saya kacau depa, tak kenal pun. Tapi sedap sungguh mengata. Alhamdulillah,” tulis Ustaz Kazim dalam ruangan komen Facebook miliknya.
Rentetan daripada itu, segerombolan netizen yang bersimpati dalam isu ini telah tampil melontarkan kata-kata semangat terhadap Ustaz Kazim.
Bukan hanya memberi kata-kata semangat, mereka juga berpusu-pusu menyelar dan mengutuk perbuatan sesetengah individu yang terbabit mempersenda dan mengecilkan Ustaz Kazim secara terbuka.
Yang menariknya, bukan sahaja golongan agama atau yang cenderong terhadap keagamaan serta peminat Ustaz Kazim sahaja yang berbuat demikian, malah terdapat segelintir peminat seni K-Pop turut tidak ketinggalan membentuk ‘solidariti’ mereka sendiri dan menyokong Ustaz Kazim.
Golongan peminat K-Pop ini memulakan ‘solidariti’ mereka ke atas pendakwah yang merusia 49 tahun itu melalui tanda pagar #protectustazkazimelias , khususnya dalam laman media sosial Twitter.
Tidak disangka-sangka, akhirnya para peminat dan penyokong K-Pop ini berjaya menjadikan ‘solidariti’ mereka itu sebagai suatu isu yang ‘trending’ dan tular dalam media sosial.
Ia muncul bagaikan sebuah fenomena yang sedang membela seorang pendakwah daripada kecaman pihak tidak bertanggungjawab.
Walaupun para peminat K-Pop ini seringkali dicemuh dan mendapat pandangan negatif dari netizen lain, namun hari ini mereka membuktikan bahawa mereka juga mampu untuk mempertahankan maruah seorang pendakwan.
Malah, mereka juga pelik bagaimana boleh wujud sebilangan netizen yang tergamak menghina dan merendah-rendahkan seorang pendakwah berstatus ‘ustaz’ dalam media sosial secara terbuka. Padahal, kerja seorang pendakwah merupakan suatu kerja mulia dan tidak semua mampu lakukan.
Situasi ini nampak makin menarik kerana kumpulan yang sama iaitu para peminat K-Pop baru-baru ini telah membuatkan seorang artis terkenal tanah air iaitu Janna Nick menjadi ‘trending’ dalam media sosial sekurang-kurangnya selama dua hari berturut-turut.
Ini kerana Janna Nick dipercayai telah menghina sebuah artis berkumpulan K-Pop iaitu Blackpink baru-baru ini secara terbuka di media sosial.
Para peminat K-Pop khususnya di Malaysia memang terkenal sebagai sekumpulan manusia yang terlalu obses dan pantang mana-mana artis K-Pop diganggu atau dipertikaikan. Mereka mampu membalas serangan tanpa diduga dalam media sosial.
Apapun semoga #protectustazkazimelias dapat menyedarkan manusia khususnya warga netizen akan adab dan perilaku mulia yang harus kita amalkan sewaktu melayari media sosial. - KitaReporters