Dalam hiruk-pikuk ekonomi moden, ramai antara kita lupa bahawa di sebalik kelancaran sektor pembinaan, perladangan dan perkilangan, wujud satu komuniti pekerja asing yang menanggung beban perjuangan yang jarang kita fahami.
Mereka datang ke bumi Malaysia meninggalkan keluarga, tanah kelahiran serta keselesaan hidup, semata-mata untuk mencari rezeki yang belum tentu hadir dengan mudah.
Setiap ringgit yang dikutip bukan sekadar pendapatan, tetapi tiket untuk sebuah harapan.
Video tular yang dikongsikan oleh pengguna TikTok, @baraka.farm.ii memperlihat pekerja dari Bangladesh berkumpul untuk membeli seekor lembu secara kongsi, 30 orang sebulan sekali.
Bagi sesetengah mata, ia kelihatan lucu atau pelik.
Namun bagi mereka, ia lambang kegigihan menghidupkan budaya, menyatukan komuniti dan mengurangkan rindu pada kampung halaman.

Video tersebut mengundang pelbagai reaksi dan komen daripada netizen.
Alhamdulillah, kali ini kebanyakan komen bersifat positif, memberi isyarat bahawa konten (kandungan) tersebut memberi manfaat.
Seorang netizen berkongsi pengalaman hampir serupa, di mana rakan Nepal di kilangnya hanya menggunakan sekitar RM200 sebulan untuk makan dan keperluan asas.
Baki ribuan ringgit dihantar pulang ke kampung sehingga akhirnya berjaya membina rumah dua tingkat, berpagar dan berlantaikan mozek.
Malah dia turut membuka kedai runcit di negaranya, bukti bahawa pengorbanan sembilan tahun di Malaysia bukan sia-sia.

Namun, ada netizen tidak faham dan bertanya tentang tindakan mereka membeli lembu tersebut. Yelah, terfikir juga buat apa pekerja warga asing membeli lembu hidup, bukan mereka boleh ternak pun. Masing-masing sibuk bekerja.
Rupa-rupanya lembu yang dibeli itu untuk disembelih dan dagingnya dibahagi sama rata sesama mereka.
Pekerja asing sering digambarkan sebagai tenaga buruh semata-mata. Namun kisah-kisah yang melata dalam media sosial menunjukkan sisi lebih besar, mereka ialah guru kehidupan.
Mereka mengajar kita makna bersyukur, berjimat, tidak memilih kerja dan sentiasa melihat masa depan.

Sebahagian mereka datang dari negara yang dilanda kemiskinan, konflik, atau ketidaktentuan pekerjaan.
Kita mungkin terkejut bila mengetahui bahawa bagi mereka, bekerja di Malaysia bukan sekadar mencari rezeki, tetapi menjalani hidup yang lebih stabil dari tanah kelahiran sendiri.
Ada yang membeli lembu kongsi, ada yang menyimpan sehingga mampu membina rumah dan ada yang membuka perniagaan kecil di kampung halaman.
Setiap titik peluh mereka diterjemahkan kepada perubahan besar dalam kehidupan keluarga mereka.

Kisah pekerja asing bukan sekadar hiburan media sosial. Ia cermin kepada masyarakat Malaysia yang memantulkan betapa mudahnya hidup kita berbanding mereka, namun kita masih sering mengeluh. Sedangkan mereka yang jauh lebih susah, masih mampu tersenyum, bekerja keras dan beribadah dengan penuh taat.

Setiap kali kita melihat mereka berkumpul membeli
lembu secara kongsi atau berjalan jauh menuju masjid, kita harus bertanya pada
diri, apakah kita sudah benar-benar menghargai rezeki yang Allah kurniakan?
Semoga kisah ini mengalirkan rasa insaf, mengajar hati untuk lebih bersyukur dan menyedarkan kita bahawa rezeki bukanlah siapa yang mendapat paling banyak, tetapi siapa yang paling banyak menghargai dan lebih dekat kepada Pemberi Rezeki. - KitaReporters
