Dalam banyak cerita kehidupan, wanita sering menjadi watak yang disebut-sebut apabila bercakap tentang pengorbanan. Ibu yang tidak tidur malam, isteri yang setia di sisi, wanita yang cekal menghadapi ujian hidup.
Semua itu benar, dan sememangnya layak diraikan.
Namun, dalam diam, ada satu watak yang jarang ditanya
khabarnya. Jarang dipeluk, jarang dipuji. Watak yang selalu diminta kuat,
walaupun hakikatnya dia juga manusia biasa, seorang ayah.
Ayah yang keluar rumah sebelum matahari naik. Balik ketika anak sudah lena. Ayah yang menelan ego demi rezeki. Ayah yang senyum walaupun hati penuh resah.
Ayah yang apabila gagal, dia salahkan diri sendiri. Apabila berjaya, dia diamkan sahaja.

Kisah inilah yang cuba diangkat menerusi filem animasi tempatan terbaharu terbitan Monsta bersama Astro Shaw, Papa Zola The Movie, yang ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 11 Disember 2025 lalu.
Filem ini hadir bukan sekadar untuk hiburan keluarga, tetapi membawa suara ayah-ayah yang selama ini berjuang dalam senyap dan suara itu sampai ke hati ramai penonton.

Salah seorang daripadanya ialah Arasy Zafran, yang berkongsi pengalaman peribadi selepas menonton filem tersebut.
Mengejutkan, perkongsian tersebut mendapat perhatian ramai sehingga ia mendapat 1.7 juta tontonan, 120.7 tanda suka dan 3.3k lebih komen.
Katanya, baru 30 minit tayangan bermula, dadanya sudah terasa sempit. “Bukan sebab animasi. Tapi sebab aku nampak diri aku dalam watak seorang ayah yang sedang berjuang.
"Seorang lelaki yang tebalkan muka jual barang anak kecil dia buat. Budak lima hingga enam tahun. Siapa yang nak beli sebenarnya?
“Dia kena hina, diperlekeh, dijadikan bahan lawak media sosial, disunting jadi meme dan ditertawakan ramai. Tapi dia tetap senyum, sebab dia tahu dia bukan tengah jaga maruah dia, dia tengah jaga periuk nasi keluarga dia.

“Dia buat tiga kerja dalam satu masa. Balik lambat
ambil anak. Anak marah. “Kenapa ayah lambat?” Ayah cuma mampu jawab, “Maaf ya,”
sambil senyum. Walhal badan dia dah tak larat berdiri.
“Anak tak akan faham penat ayah. Isteri pun takkan nampak semua luka ayah. Sebab ayah memang diajar untuk simpan.
"Ada satu babak yang buat aku terdiam lama apabila Papa Zola bawa balik makanan sedap, udang, sotong dan lauk mewah. Padahal itu makanan pelanggan yang batal order. Dia rugi duit. Tapi bila isteri tanya, dia jawab perlahan, “Sekali-sekala belanja keluarga, apa salahnya,” luahnya dalam kapsyen.

Luahan Arasy itu membuka ruang kepada ribuan netizen
untuk berkongsi kisah sendiri, kisah yang hampir sama, cuma wataknya berbeza.
“Balik kerja petang, OT sampai malam, sambung Grab
sampai 12. Balik-balik anak dah tidur. Maafkan ayah kurang masa.”
“Kalau kerja aku buat aku tak dapat temani anak, biarlah hasil kerja itu jaga masa depan dia.”

Ada juga kisah yang lebih menyayat hati. Seorang netizen
menceritakan pengalamannya melihat seorang ayah merayu agar yuran kemasukan matrikulasi
anaknya ditangguhkan.
“Air mata dia bergenang. Masa tu rasa macam ayah sendiri yang merayu,” ceritanya.

Menurut Arasy, titik paling rendah seorang lelaki
bukan ketika dia jatuh, tetapi ketika dia sudah buat segalanya, namun hidupnya
tetap di situ.
“Tapi ayah tetap bangun esok pagi. Pakai senyum. Pakai lawak. Apabila ditanya kenapa tak makan, jawapannya tetap sama, “Ayah dah makan kat luar.” Walhal perutnya kosong, supaya anak-anaknya kenyang,” tulisnya.

Lihatlah bagaimana sebuah animasi yang biasanya hanya untuk anak-anak kecil, tetapi mampu memberi impak mendalam kepada orang dewasa.
Ia bukan sekadar animasi, ia adalah kisah ayah-ayah yang jarang disebut, jarang dipuji, tetapi menjadi tulang belakang sebuah keluarga. Syabas Monsta dan Astro Shaw. - KitaReporters
