Insan & Komuniti 23 Jan, 2026

RM200j untuk sekolah agama! Pembaikan bangunan, prasarana! Pelajar diperkukuh dengan ilmu AI! - PM

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM200 juta bagi penyelenggaraan sekolah agama di seluruh negara, yang melibatkan kerja pembaikan bangunan dan prasarana demi keselesaan serta keselamatan anak-anak yang menuntut ilmu.




Selain itu, kerajaan juga mahu pelajar-pelajar di institusi sekolah agama dan pondok  diperkukuh dengan penguasaan ilmu baharu seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI), tanpa mengorbankan akar turath, disiplin ilmu, nilai dan akhlak.

"Saya zahirkan iltizam Kerajaan Madani dalam mempertegak syiar Islam, khususnya dengan peruntukan lebih RM2.6 bilion tahun ini (2026) bagi memperkukuh pendidikan Islam dan membina ekosistem pendidikan yang berdaya tahan serta bermaruah.

"Ini termasuk bagi menyokong maahad tahfiz, sekolah agama rakyat dan institusi pondok yang harus kekal menjadi benteng pembinaan sahsiah dan kefahaman ummah," tegas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian semasa bersama Menteri Besar Pahang berada di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Bentong untuk bertemu dengan pelajar sekolah tahfiz dan pondok di negeri ini.

Turut hadir wakil institusi pondok dan tahfiz  termasuk Mudir Pondok Raudhatul Muhibbin merangkap Pengerusi Persatuan Pondok Turath Pahang, Ustaz Barakatullah Bahari; Mudir Pondok Syababul Ilmi, Tuan Guru Razali Mat; dan Mudir Ribat Al-Mustofa, Ustaz Uwais Al-Qarni Abdul Wahab.



Beliau mengingatkan kepentingan menguasai ilmu turath dan menggali khazanah keilmuan yang membina jati diri umat. 

"Tatkala tanah air dijajah, yang dirampas bukan sekadar wilayah dan ekonomi, tetapi turut berlaku isti‘mar ruḥi wa fikri, yakni penjajahan jiwa dan pemikiran. 

"Saat itu, institusi pondok teguh berdiri sebagai benteng mempertahan iman, ilmu dan jati diri umat daripada hanyut dalam kekaguman terhadap penjajah.

"Maka hari ini, institusi sekolah agama dan pondok mesti diperkukuh dengan penguasaan ilmu baharu seperti teknologi dan kecerdasan buatan (AI), tanpa mengorbankan akar turath, disiplin ilmu, nilai dan akhlak, agar ia kekal sebagai kubu pembinaan manusia yang relevan dan berwibawa dalam mendepani perubahan zaman," jelas Perdana Menteri.

Beliau berkata, kepada anak-anak yang minat kepada dakwah atau menjadi mualim, mereka digesa untuk memahami hikmah dan kebijaksanaan dalam menyampaikan mesej Islam dan nilai yang luhur dalam bingkai kepelbagaian di Malaysia. 



Sementara itu, usai acara di Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, Anwar ke KAFA Saidatina Aisyah di Taman Harmoni, Bentong untuk meraikan pelajar, guru dan ibu bapa. 

Di pusat pendidikan itu, beliau bertemu teman-teman lama yang bersama membina gerakan pendidikan masyarakat sejak awal.

Pusat pendidikan seperti KAFA Saidatina Aisyah, katanya, adalah antara inisiatif ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) yang digerakkan bagi memenuhi keperluan asas agama pada peringkat awal, sebagai akar kepada kebangkitan dan pembentukan generasi muda yang berjati diri.

"Kita mendambakan anak muda yang terpahat imannya, diperkaya dengan ilmu dan disemai roh perjuangan. 

"Anak muda yang keyakinan sanubarinya utuh kepada Allah, lalu melahirkan keberanian berfikir, bertindak dan memimpin dengan nilai," ujar beliau.




Kerana itu, beliau berkata, Kerajaan Madani terus mendukung KAFA kerana pendidikan asas inilah yang membina akidah, membentuk akhlak dan nilai, seterusnya melahirkan disiplin, kerajinan serta keberanian meneroka bidang baharu, termasuk memperteguh semangat menegakkan kebenaran dan keadilan.

"Dalam kerangka negara Madani, kita mahu kemajuan teknologi, digital dan AI bergerak seiring dengan ihsan, rahmah dan nilai kemanusiaan agar pembangunan tidak terpisah daripada akar dan adab," tambahnya.

Justeru, Anwar mengumumkan, kerajaan menyalurkan sumbangan RM100,000 bagi membantu keperluan dalam pengukuhan pembelajaran di KAFA Saidatina Aisyah. 

"Kepada anak-anak, teruslah mendengar nasihat ibu bapa, rajin menimba ilmu dan memperkukuh hafalan," harapnya. - KitaReporters/Kenyataan Media


10
10
0
9
0
You will be interested