Perlis sering diusik dengan gurauan kononnya negeri ini hanya mempunyai lapan orang penduduk. Kata-kata itu kedengaran lucu, namun ia sebenarnya mencerminkan betapa kecilnya negeri ini jika dibandingkan dengan negeri lain.


Hari ini, sindiran seperti itu sudah tidak relevan kerana Perlis membuktikan bahawa negeri kecil mampu melakar impian besar dan berani mendepani masa depan.
Antara impian yang sering terlintas pada fikiran saya ketika melalui Chuping menuju ke Padang Besar ialah mengapa kawasan itu tidak dijadikan lapangan terbang.

Landskap hijau Chuping, Perlis merupakan kawasan strategik yang kini menjadi sebutan sebagai tapak cadangan lapangan terbang baharu negeri Perlis.

Kawasan yang luas dan strategik itu seolah-olah menunggu masa untuk dimajukan. Kini, apabila kerajaan negeri menyatakan hasrat membina lapangan terbang di Chuping, saya melihat ia sebagai langkah yang tepat dan wajar direalisasikan.
Tidak dapat dinafikan, setiap kali musim cuti, Perlis menjadi tumpuan. Ribuan kenderaan menuju ke sempadan Padang Besar dan Wang Kelian, sementara Kuala Perlis pula penuh dengan pelancong yang mahu ke Langkawi.
Di Kangar, Arau dan kawasan sekitar, pengunjung turut mencari keenakan goreng panas, laksa Perlis dan buah harumanis yang menjadi kebanggaan negeri ini.
Semua ini menjadikan Perlis walaupun kecil, tetap istimewa di mata ramai.

UniMAP antara institusi yang melonjakkan nama Perlis sebagai pusat pendidikan tinggi, sekali gus menyokong agenda pembangunan negeri.
Perlis juga bukan lagi sekadar negeri kecil di hujung utara. Ia kini digelar negeri ilmu kerana memiliki pelbagai institusi pendidikan tinggi.
Antaranya Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ), UiTM Cawangan Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej MARA, Kolej Komuniti, IKBN Kuala Perlis serta GiatMARA.
Kehadiran pelajar dari seluruh negara malah dari luar negara membuktikan bahawa Perlis berperanan besar dalam dunia pendidikan.
Sebab itulah saya percaya, lapangan terbang di Chuping bukan sahaja akan memudahkan perjalanan pelancong, tetapi juga memberi manfaat besar kepada para pelajar.
Ia bakal menjadi pintu masuk utama ke negeri ini, sekali gus mengangkat martabat Perlis sebagai negeri yang berani berfikir besar dan bersedia menerima perubahan.
Mangga Harummanis bukan sahaja menjadi identiti Perlis, malah simbol tarikan pelancongan yang bakal diperkukuh dengan kewujudan lapangan terbang di Chuping.
Mentari senja menyinari Masjid Al-Hussain Kuala Perlis, lambang kedamaian dan keindahan negeri kecil yang sarat dengan pesona. Jika negara kecil seperti Brunei dan Maldives mampu memiliki lapangan terbang antarabangsa, jika Singapura yang hanya sebuah negara bandar raya berjaya melahirkan Changi Airport bertaraf dunia, mengapa tidak Perlis?
Negeri kecil ini juga mampu berdiri sama tinggi dengan negeri lain, malah menjadi contoh bahawa saiz bukan penghalang kepada kemajuan.
Lapangan terbang di Chuping bukan sekadar projek infrastruktur, tetapi simbol keyakinan dan kebangkitan. Dengan sokongan rakyat, pelabur dan kerajaan, impian ini pasti dapat direalisasikan.
Saya percaya, suatu hari nanti, anak-anak Perlis akan berbangga melihat negeri mereka bukan lagi dipandang kecil, tetapi dihormati sebagai negeri yang berani melangkah jauh ke hadapan. - KitaReporters
