Mutakhir, fenomena buli di sekolah amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak. Bagi menyatakan keprihatinan isu buli di sekolah, Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan program Fiqh Remaja bertajuk, Buli Bukan Hero: Buat Baik Bukan Berani Menyakiti. - KitaReporters

Mutakhir, fenomena buli di sekolah amat membimbangkan dan memerlukan perhatian serius semua pihak. Banyak punca menyebabkan buli di sekolah, antaranya pengaruh media sosial dan hiburan melampau, masalah keluarga dan emosi tidak terkawal dan kelemahan dalam pengurusan sekolah
Kanak-kanak dan remaja sering terdedah kepada kandungan yang mengagungkan keganasan atau kelakuan dominan. Ini boleh mempengaruhi pemikiran mereka bahawa buli ialah cara menunjukkan kuasa atau "cool".
Kajian mendapati kebanyakan pembuli ialah mereka yang mempunyai latar belakang keluarga bermasalah atau mempunyai tekanan emosi yang tidak ditangani, lalu diluahkan melalui tingkah laku agresif terhadap rakan sebaya.
Lebih malang lagi, kelemahan pengurusan di sekolah yang tiada sistem aduan yang efektif, atau mengambil ringan terhadap laporan buli menyebabkan mangsa takut bersuara dan pelaku semakin berani.

Fiqh Remaja diadakan secara santai, perbincangan terbuka dan interaksi komunikasi dua hala.
Bagi menyatakan keprihatinan isu buli di sekolah, Musolla Pangsapuri Anggun, Seksyen 4, Bandar Baru Bangi, Selangor menganjurkan program Fiqh Remaja bertajuk, Buli Bukan Hero: Buat Baik Bukan Berani Menyakiti. Ia aktiviti bulanan menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja.
Imam II, Musolla Pangsapuri Anggun, Ustaz Ahmad Umar Asyraf Mohamed Yusoff, berkata perbuatan buli memberi kesan kepada psikologi mangsa menyebabkan mereka menjadi murung, trauma, kehilangan keyakinan diri malah boleh membawa kepada cubaan membunuh diri.
Beliau berkata, pelajar yang dibuli sukar memberi tumpuan dalam pelajaran, kerap ponteng sekolah atau tercicir daripada sistem pendidikan. Sekolah menjadi toksik, bukannya tempat selamat untuk belajar apabila buli berleluasa.

Ustaz Ahmad Umar Asyraf.
"Fenomena buli bukan sekadar masalah disiplin pelajar tetapi cerminan kepada kegagalan dalam membentuk masyarakat yang sihat dari peringkat akar umbi.
"Ia memerlukan kerjasama menyeluruh dan pendekatan menyeluruh, bukan hanya menghukum, tetapi juga mendidik dan memulihkan. Malah, jika didapati bersalah, tindakan tegas termasuk buang sekolah boleh dipertimbang.
"Tindakan membuang sekolah memberi mesej jelas kepada pelajar lain bahawa buli tidak akan dikompromi. Ia sekali gus melindungi mangsa dan memastikan keselamatan pelajar-pelajar lain dan memberi kesedaran kepada ibu bapa pelaku betapa seriusnya perbuatan itu," katanya.


Inilah remaja yang bakal menjadi pelapis untuk mengimarahkan rumah Allah apabila mereka dewasa kelak.
Sementara itu, Fiqh Remaja yang diadakan minggu kedua setiap bulan sejak awal 2025. Ia mengutarakan pelbagai topik berkaitan remaja terutama membabitkan isu-su semasa di kalangan mereka.
"Program itu diadakan percuma dengan memberi fokus kepada anak-anak remaja di Pangsapuri Anggun melalui perbincangan secara santai dan interaksi komunikasi dua hala. Kami beri peluang mereka bercakap dan meluahkan isi hati.
"Pada peringkat awal, sambutannya agak hambar tapi kami tidak pernah putus asa malah Pengerusi Musolla Anggun, Othman Hashim memberi semangat dan mahu program itu diteruskan walaupun hanya ada dua peserta.
"Alhamdulillah selepas beberapa bulan, sambutannya kian bertambah malah ramai ibu bapa mendaftar sendiri untuk anak-anak mereka kerana yakin ia membantu salsiah dan menambah ilmu dalam proses pembesaran sebagai remaja," katanya.


Penggunaan peralatan multimedia seperti video memudahkan remaja faham isu yang dibincangkan bersama pengajar.
Asyraf berkata, Fiqh Remaja siri 1 memberi penekanan kepada adab remaja kerana ia perkara terpenting, walaupun ilmu setinggi gunung tapi jika tiada adab, mereka gagal menjadi insan dihormati
"Fiqh Remaja bertujuan membina akhlak dan budi pekerti remaja. Kami mahu mereka kenal kawan-kawan sebaya di pangsapuri ini, bantu membantu dan mendidik mereka bagaimana memilih kawan yang baik.
"Kebanyakan kuliah di masjid atau surau, ia hanya menyentuh mengenai orang dewasa, kurang membincangkan perihal kanak-kanak dan remaja sehingga mereka tidak terasa dekat dengan rumah Allah.
"Melalui Fiqh Remaja, kami mahu mereka "engage" dengan rumah Allah, melatih mereka sebagai pelapis sama ada sebagai makmum, bilal, siak atau imam.


Peserta mencatat nota dalam kelas bagi memudahkan ia digunakan untuk pembacaan di rumah nanti.
"Sekarang pun, anak-anak diberi tugas mengalunkan azan setiap kali waktu solat fardhu. Insya-Allah apabila sudah bersedia nanti, mereka akan dilantik sebagai imam dan mengimarahkan musolla Pangsapuri Anggun dengan aktiviti-aktiviti ibadah," katanya.
Beliau turut berterima kasih kepada ibu bapa yang banyak membantu terutama memberi sumbangan harian dan bulanan kepada Musolla Pangsapuri Anggun, dan dana yang diperolehi itu dipulangkan semula dengan mengadakan aktiviti-aktiviti secara berkala.
"Teruskan berinfaq dan memberi sokongan kepada usaha-usaha musolla untuk mengimarahkan rumah Allah, insya-Allah kami akan mengadakan lebih banyak aktiviti berfaedah kepada penghuni terutama anak-anak dan remaja pada masa depan," katanya. - KitaReporters

Sebahagian peserta Fiqh Remaja bergambar kenangan bersama Ustaz Ahmad Umar Asyraf selepas selesai kelas.