Apa yang bermula sebagai imaginasi pada layar perak kini perlahan-lahan berubah menjadi pengalaman sebenar.
Siapa sangka demam "Duyung" kini melanda Malaysia berikutan tularnya trailer dan teaser filem Duyung Legenda Aurora yang berjaya mencetuskan fenomena luar biasa dalam kalangan masyarakat.
Jika dahulu watak mistik dengan ekor berkilauan serta pergerakan anggun di dalam air ini hanya dianggap sebagai mitos pada layar perak, namun impak visual dan penceritaan naskhah tersebut telah mendorong orang ramai untuk menterjemahkan fantasi berkenaan ke alam realiti.
Fenomena ini bukan sahaja menjadi bualan hangat dalam media sosial, malah telah mencetuskan gelombang baharu, menjadikan seni duyung satu trend baharu yang menggabungkan elemen fantasi, gaya hidup dan ekspresi diri.
Sehubungan itu, orang ramai kini berpusu-pusu mencari peluang untuk mendalami seni renangan duyung melalui kelas-kelas profesional yang ditawarkan.
Menariknya, aktiviti ini bersifat sangat inklusif kerana ia terbuka kepada semua lapisan umur, termasuk kanak-kanak dan individu autistik.

Bagi golongan istimewa ini, berenang seperti duyung bukan sekadar hobi, malah ia memberikan ruang untuk mereka bergerak bebas di dalam air yang terkawal dan selamat.
Peserta diberi peluang untuk bergerak dengan lebih bebas, merasai ketenangan serta membina keyakinan diri.
Air dilihat sebagai medium yang membantu mereka berasa lebih fokus dan selesa, sekali gus menjadikan pengalaman ini lebih bermakna daripada sekadar aktiviti rekreasi.

Seiring dengan permintaan yang meningkat, industri renangan duyung tempatan turut berevolusi menjadi lebih mesra Muslimah menerusi inisiatif komuniti seperti Moddess Mermaid.
Melalui kewujudan komuniti itu, peserta berhijab lebih yakin untuk menyertai kelas tanpa rasa segan atau kekok.
Setiap aspek, daripada pemilihan pakaian, solekan hingga cara pemakaian tudung di dalam air, diambil kira bagi memastikan setiap peserta dapat menikmati pengalaman menjadi duyung dengan penuh keselesaan tanpa mengabaikan aspek penampilan.

Gambar Hiasan... Duyung berhijab aka Moddess Mermaid. - Kredit foto: @pininterest.com.
Pertumbuhan trend ini turut didorong oleh kepelbagaian pusat latihan profesional yang menawarkan modul renangan duyung secara sistematik.
Di sekitar Lembah Klang, semakin banyak pusat latihan dan akademi berenang mula menawarkan kelas duyung sebagai sebahagian daripada program mereka.
Antaranya termasuk Riana Mermaid Academy, Onshore Mermaid, Freediving Adventure Malaysia dan banyak lagi di mana kehadiran pelbagai penyedia kelas ini mencerminkan sambutan yang semakin meningkat terhadap seni duyung,
Ia sekali gus membuktikan bahawa dunia yang dahulunya hanya hidup dalam fantasi kini telah menjadi satu pengalaman nyata yang inklusif dan semakin diterima masyarakat Malaysia.

Untuk rekod, pada hari pertama filem sekuel komedi romantik ‘Duyung Lagend Aurora’ arahan Dato’ Prof. Ts. Dr. A. Razak Mohaideen ini ditayangkan pada 25 Disember 2025 lalu, ia berjaya mencatat kutipan menghampiri RM300,000 di pawagam seluruh negara.
Mampukah ia memecah rekod pendapatan filem pertama 'Duyung' dengan pungutan lebih RM4.6 juta pada 2008, bermodalkan RM1.5 juta berbanding sekarang yang dilaporkan sekitar RM2 juta?
Menampilkan barisan pelakon lama dan baharu seperti Maya Karin, Saiful Apek, Yasmin Hani, Anna Jobling, Ayie Floor88 serta Datuk Yusry Abdul Halim, filem ini mengisahkan kemunculan semula Puteri Duyung (Maya Karin) yang memohon bantuan Jimmy (Saiful Apek) untuk menyelamatkan anaknya, Aurora (Anna Jobling), selepas ditangkap oleh kumpulan pukat tunda haram dan dilelong kepada seorang saintis bernama Dr Evo (Yusry KRU).
Misi penyelamatan itu turut disertai Hamlau (Syaiful Zero), seorang pahlawan duyung yang juga abang kepada Aurora, serta Dashmond (Ayie Floor 88), anak kepada Jimmy dan Aspalela (Yasmin Hani).
Mereka berdepan pelbagai cabaran kerana hanya boleh berada di darat tidak lebih enam jam.

Dalam. pada itu, usahawan dan personaliti terkenal, Dato Seri Vida tidak ketinggalan menghangatkan industri muzik dengan penampilannya sebagai ‘Goddess Mermaid’ melalui single terbaharunya, “Lagu Happy’ yang merupakan salah satu runut bunyi bagi filem ‘Duyung Lagenda Aurora’. - KitaReporters