Insan & Komuniti 08 Aug, 2025

Safari dakwah Dr Zakir Naik! Jelajah Dakwah Indonesia 2025! Hampir Tak Jadi! Tapi terlaksana jua!

@rashidah ibrahim
Bermula di Berita Harian sebagai wartawan di meja berita am 1985, diikuti Berita Minggu, meja mahkamah dan pendidikan sebelum ke majalah Anjung Seri (1993-2015). Jawatan terakhir Timbalan Editor. Meneraju variaseri.com youtube Anjung Destinasi TV.

Share this

Klip video kunjungan Dr Zakir Naik di UMS Solo, yang menjadi lokasi pertama Jelajah Dakwah Indonesia 2025: Dr Zakir Naik & Syaikh Fariq Naik. - Kredit video - YouTube Dondi Tan



Setelah melalui liku dugaan, Jelajah Dakwah Indonesia 2025: Dr Zakir Naik & Syaikh Fariq Naik akhirnya berlangsung dengan jayanya sepanjang Julai lalu (2-29 Julai). 

Hampir tidak jadi siri jelajah dakwah itu apabila penaja asal gagal menunaikan janjinya. Malah sudah diumum oleh wakil penganjur di Indonesia bahawa siri jelajah dakwah ulama asal India, nama sebenar Dr Zakir Abdul Karim Naik dan anaknya pada Jun 2025, telah dibatalkan.

Namun sebaik sahaja selepas pengumuman itu, Dr Zakir Naik menghubungi menyatakan hasratnya untuk meneruskan safari dakwah berkenaan. 

Individu kedua bertanggungjawab menyambung rundingan dengan Dr Zakir Naik tidak lain dan tidak bukan ialah Dondi Tan Susanto dari Yayasan Garda Mualaf Indonesia, yang tentunya juga seorang mualaf. 

Dondi Tan mengakui turut menerima tempias, ditazkirah oleh Dr Zakir Naik bersabit kejadian itu.

"Saya dibacakan ayat Quran oleh beliau asbab kegagalan pengurusan terawal," ujarnya dalam temu bual bersama YouTuber mualaf, Dr Richard Lee. 

Dalam Podcast bersama Dr Richard Lee yang juga pempengaruh, Dondi Tan mendedahkan apa yang telah berlaku dan memaklumkan, Dr Zakir Naik mahu meneruskan siri dakwah itu kerana ada sumbangan. 

Temu bual itu juga bertujuan mendapatkan sokongan mengumpul dana bagi menampung kos pihak penganjuran di Indonesia. 


Dondi Tan memberi penerangan umum menjelang kunjungan pendakwah Dr Zakir Naik dalam video bertajuk "Dr Zakir Naik Visit Indonesia 2025". - Kredit video - YouTube Dondi Tan


Kata Dondi Tan, masalah besar yang dihadapi adalah syarat Dr Zakir Naik yang sangat ketat, siri dakwah itu tidak boleh mengutip sebarang bayaran melalui tiket, setiap penyertaan hendaklah dipastikan percuma. 

Jumlah peserta di setiap lokasi dakwah perlu menepati kehendaknya (Dr Zakir) dan angka yang ditetapkan sangat besar. "Dan lagi, kami hanya boleh menggunakan wang infak atau donasi (tajaan) untuk kos penganjuran," lanjut Dondi Tan.

Orang terawal diletakkan harapan oleh Dondi Tan adalah Dr Richard Lee sendiri sebagai pempengaruh dan usahawan produk kecantikan. 

Tanpa teragak-agak Dr Richard Lee mengakui akan menjadi salah seorang pendana. Betapa tidak, kerana beliau sendiri sudah berjabat tangan dengan Dr Zakir Naik selepas sesi temu bualnya bersama pendakwah itu di Putrajaya. 

Dr Richard Lee menerima undangan temu bual dengan Dr Zakir Naik di Malaysia menjelang berlangsungnya program jelajah dakwah yang asalnya dijadual pada Jun. 

Selesai temu bual, beliau berjanji menunggu pendakwah itu untuk temu bual eksklusif di Indonesia pula. Sudah semestinya beliau mahu program itu dapat dijayakan.

Biarpun Yayasan Garda Mualaf bertindak selaku penganjur program, namun wang Yayasan tidak boleh diguna kerana kewangannya diaudit, justeru Dondi Tan selaku wakil penganjur gantian mengadakan beberapa temu bual dan podcast sebagai sesi hebahan pencarian dana.

Apa pun dengan izin Allah SWT, akhirnya semua halangan dapat diatasi, sumbangan demi sumbangan yang tidak disangka-sangka kemudian diterima sehingga akhirnya siri Jelajah Dakwah Indonesia 2025 Dr Zakir Naik dan anaknya di Indonesia it dapat dijayakan pada bulan berikutnya iaitu Julai 2025.


Video bertajuk Live News & Update DZN 2-29 Julai 2025. - Kredit YouTube Dondi Tan


Menariknya dalam agenda penganjuran Jelajah Dakwah Islam Indonesia 2025 membabitkan tokoh antarabangsa tersohor dan sensasi itu adalah pembabitan langsung golongan mualaf yang memberi komitmen tinggi dalam menjayakannya, terutama Dondi Tan dan rakannya Dr Richard Lee yang belum begitu lama menjadi Muslim, sekitar dua tiga tahun saja.

Siapakah pula Dondy Tan? Dilaporkan sudah agak lama revert iaitu pada 2014, memeluk Islam setelah tujuh tahun mempelajari agama itu. Menjadi mualaf setelah membandingkan kitab agama beliau sebelumnya dengan al-Quran, sehingga beliau meyakini kebenarannya Islam. 

Tegas Dondi Tan, video dakwah Dr Zakir Naik antara laluan beliau mendapat hidayah, maka itulah beliau bersungguh menyokong dan berusaha menjayakan siri dakwah Dr Zakir Naik di Indonesia yang baru sahaja selesai. 

Dari segi latar belakang diri, Dondy Tan adalah mualaf keturunan Tionghua lahir di Melbourne, juga dikenal dengan nama Koh Dondy. Kini aktif menyebar dakwah Islam melalui media sosial, termasuk Instagram dan YouTube. 

Antara alasannya memeluk Islam adalah kerana beliau merasa al-Quran sesuai dengan logik akal dan tidak bertentangan dengan sains dan ilmu pengetahuan.


Dr Zakir Naik sewaktu menyampaikan  ceramah dakwah di Indonesia. - Kredit video - Youtube Dondy Tan


Berperawakan biasa-biasa dan berhati dalam tutur kata namun semangat juang dalam dakwah Islam beliau sangat tinggi. Seringkali berkongsi perjalanan hidupnya ke arah Islam selaku mualaf dan kerap mengadakan perbincangan dengan alim ulama yang dikongsi melalui saluran media sosialnya.

Pelbagai kenangan terpahat di hati Dondi Tan sewaktu pengurusan program jelajah dakwah Dr Zakir Naik dan anaknya 2-19 Julai 2025 lalu. 

Yang mencuit hati, adanya individu bukan Muslim iaitu seorang Khatolik katanya, memberi sumbangan dalam bentuk tempat penginapan (27 bilik) selama enam hari untuk tim Dr Zakir Naik di salah satu lokasi jelajah dakwah itu. 

Pada saat saat akhir, Allah mendatangkan lagi pertolongan melalui sebuah yayasan yang menyumbang 100 juta rupiah dalam bentuk zakat! Ujarnya lagi.


Video perbualan Dondi Tan dan Dr Richard Lee dalam usaha pencarian dana selepas sumber dana terawal yang dijanjikan gagal diperolehi.


Tahniah kepada Dondi Tan dan tim atas kejayaan siri dakwah itu terutama dalam penyediaan tempat dan kelengkapan pentas yang hebat. 

Difahamkan juga, Dr Zakir Naik menanggung sendiri kos tiket penerbangan semua kakitangan Peace TV dan kos membawa peralatan kamera canggih dan mahal ke Indonesia.

Safari Dakwah Zakir Naik  dan anaknya di Indonesia 2025 dimulakan dengan lokasi di Universitas Muhammadiyah Surakarta (UMS), Solo pada Selasa 8 Julai di Edutorium KH Ahmad Dahlan UMS dengan muatan 10 ribu orang. 

Rektor UMS dilaporkan berkata, bahawa kunjungan Dr Zakir Naik dan anaknya, Syeikh Fariq Naik ke UMS adalah agenda istimewa kerana umat Islam di sekitar berkesempatan menimba ilmu dan kebaikan untuk semesta.

Seterusnya, safari dakwah dilanjutkan ke Stadion Gajayana, Malang 10 Julai; diikuti di Bandung, Jawa Barat 12 dan 13 Julai (di Lapangan Tritan); dan penutup di Jakarta 18 hingga 20 Julai di Lapangan Bola Aldiron, Pancoran, Jakarta Selatan.

Terdahulu, pada 7 Julai, sempena sambutan kunjungan pendakwah itu, diadakan majlis makan malam bersama Dr Zakir Naik dan anaknya Syaikh Fariq di Hotel Azana Boutique, Tawangmangu Solo.


Gerbang info program jelajah dakwah "Dr Zakir Naik & Syaikh Fariq Naik Visit Indonesia 2025"


Dalam ucapan di majlis itu, Dondi Tan berkata, Yayasan Garda Mualaf selaku penganjur yang diwakilinya, aktif dalam dakwah. "Sejak satu tahun kebelakangan ini saja kira-kira 300 individu sudah masuk Islam melalui kami, tak termasuk mereka yang revert kerana mendengar dakwah kami melalui pelbagai saluran. 

"Mereka kami beri layanan terbaik termasuk, percuma bersunat, menyediakan guru persendirian untuk belajar Islam secara menyeluruh termasuk membaca al-Quran," katanya lagi. - KitaReporters

7
11
0
12
0
You will be interested