Insan & Komuniti 27 Dec, 2022

Tahniah 70 hero berkhatan! Persatuan Amal Bakti N9 anjur program percuma! Khatam Al-Quran, berkhatan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


PERSATUAN Amal Bakti N9 bukan setakat aktif dalam kerja kebajikan seperti membantu mereka yang memerlukan bantuan untuk kelangsungan hidup tetapi kini sudah dua kali menganjurkan program khatam al-Quran dan berkhatan secara percuma bagi meringankan bebanan keluarga B40 di Negeri Sembilan.

Pada tahun ini program Khatam Al-Quran dan Khatan Jama’ie Perdana 2022 itu dianjurkan bersama Kami Anak Felda (KAF) Bukit Jalor, Gemencheh, Negeri Sembilan dan Sunathon Team, University of CyberJaya.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis dan acara berkhatan

Sebahagian daripada peserta program Khatam Al-Quran dan Khatan Jama’ie Perdana 2022 anjuran Persatuan Amal Bakti N9 disirami anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia di pekarangan Masjid Kariah Kampung Felda Jalor, Gemencheh, Negeri Sembilan pada 24 Disember 2022.


Pengerusi persatuan berkenaan, Kalsom Abu Bakar, berkata program berkenaan disertai 70 peserta berumur antara 11 dan 12 tahun yang menetap sekitar Negeri Sembilan dan ada juga yang datang dari Melaka bagi merebut peluang khusus berkhatan secara percuma itu.

Menurutnya, pada program kali pertama 2019 apabila 80 peserta menyertainya yang diadakan di Masjid Kampung Ulu Inas, Johol sebelum program dihentikan seketika apabila negara dilanda pandemik Covid-19 dan dilancarkan pula perintah kawalan pergerakan (PKP) bagi membendung wabak berkenaan.


Kalsom Abu Bakar


“Selepas mendapat cadangan pelbagai pihak persatuan ini membuat perancangan semula untuk menghidupkan program berkenaan kerana banyak membantu golongan keluarga yang kurang berkemampuan.

“Beberapa siri perbincangan diadakan dengan pihak KAF, Sunathon Team dari University of CyberJaya dan ketua masyarakat setempat bagi memastikan kelancaran program berkenaan akhirnya berjaya dilaksanakan di Masjid Kariah Kampung Felda Jalor, Gemencheh ini,” katanya.

Kalsom berkata, kejayaan program itu juga hasil sokongan dan kerjasama pelbagai pihak yang ingin bersama menjayakan aktiviti amal kebajikan kemasyarakatan itu dengan menghulurkan sumbangan dalam pelbagai bentuk termasuk naskhah al-Quran serta sejadah. 


Ibu bapa membuat pendaftaran nama anak yang mengambil bahagian dalam program berkhatan itu.


Jelasnya, hasil kerjasama itu objektif persatuan untuk memberi kesedaran mengenai berkhatan adalah sebahagian daripada penjagaan kesihatan dan pembabitan pegawai perubatan Sunathon Team, University of CyberJaya membantu dalam menerangkan perkara berkenaan.

Kata beliau, program amal itu juga memberi kesan mendalam kepada keluarga dalam golongan B40 apabila dapat membantu meringankan bebanan perbelanjaan mereka yang membuat persiapan persekolahan setiap anak.

“Dalam keadaan perbelanjaan harian yang semakin meningkat apabila banyak harga barangan menjadi mahal termasuklah kelengkapan persekolahan sudah tentu mereka tidak mampu menampung semuanya.


Antara peserta yang selamat menjalani proses berkhatan.


“Dengan adanya program ini sudah tentu meringankan perbelanjaan mereka untuk urusan berkhatan anak selain berasa yakin apabila dikendalikan oleh pegawai perubatan yang terlatih,” ujarnya.

Suasana meriah serta ceria apabila murid terbabit dimandikan oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia daerah berkenaan hingga basah kuyup namun selepas itu kedengaran pula suara yang menangis apabila masuk ke dewan masjid untuk menunggu giliran dikhatankan.

Bagaimanapun keadaan menjadi terkawal apabila pegawai perubatan dan kakitangan sokongan memberi motivasi dan memujuk murid terbabit yang hanya dibenarkan ditemani seorang ahli keluarga sahaja. - KitaReporters


Sebahagian Sunathon Team, University of CyberJaya membuat persiapan untuk proses berkhatan.

15
14
0
16
0
You will be interested