
Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), pada 3 Jun 2025, telah menghantar dua orang wakil ke Blantyre bagi menjayakan misi Kembara Rezeki Qurban ke Malawi sempena Aidiladha 1446H tahun ini (2025).
Misi yang berlangsung dari 3 Jun hingga 11 Jun 2025 ini bertujuan untuk memantau dan menilai proses pelaksanaan ibadah korban di pejabat lapangan, bagi memastikan ia mematuhi garis panduan, objektif serta piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Islamic Relief (IR).
Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Siti Fadilah Mohd Hood berkata, ini merupakan kali pertama IR Malaysia melakukan lawatan pemantauan dan penilaian untuk kempen Rezeki Qurban.
“Alhamdulillah, Islamic Relief mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam melaksanakan ibadah korban.
“Tahun ini (2025), kami memilih untuk menghantar pasukan misi ke Malawi bagi menyaksikan sendiri bagaimana ibadah korban dilaksanakan, memandangkan negara ini merupakan antara lokasi yang menerima penyertaan tinggi daripada rakyat Malaysia.
“Sebagai wakil Islamic Relief, kami menggalas amanah para penyumbang yang telah memberi kepercayaan kepada kami untuk melaksanakan ibadah yang sangat dituntut ini bagi pihak mereka.
“Golongan Muslim di Malawi adalah minoriti dan kebanyakannya berada di bawah paras kemiskinan. Maka, penyertaan korban daripada rakyat Malaysia diharapkan dapat memberi impak besar kepada masyarakat Muslim di sana.
“Saya percaya, dengan lawatan pemantauan dan penilaian ke Malawi ini, ia membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk pasukan kami belajar daripada pasukan di lapangan kerana setiap negara akan memberikan pengalaman dan juga pengetahuan berbeza dari segi kemahiran dan seumpamanya,” katanya lagi.
Siti Fadilah Mohd Hood (dua dari kiri) bergambar bersama Nurhayati Hassan (dua dari kanan), Fa'azurah Kadir (kanan) dan seorang lagi ahli misi, Norjumiah Mardi (kiri).
Tambah beliau, selain memantau projek korban, pasukan misi turut membawa amanah daripada pejabat IR Malaysia untuk meninjau projek-projek yang berpotensi untuk ditaja pada masa hadapan.
Usaha ini diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk menyantuni masyarakat yang memerlukan di Malawi.
Sementara itu, Pengurus Bahagian Program IR Malaysia yang juga ketua misi, Fa’azurah Kadir berkata, fokus utama misi ini adalah kepada keseluruhan proses pelaksanaan ibadah korban, bermula daripada pemilihan lembu dan pembekal, proses penyembelihan, melapah, pembungkusan, sehinggalah agihan daging korban.
“Insya-Allah, pada Hari Raya Aidiladha nanti, kami akan berpeluang menyaksikan sendiri proses penyembelihan dan pengagihan daging haiwan korban hasil sumbangan rakyat Malaysia.
“Tahun ini (2025), rakyat Malaysia telah menyumbang sebanyak 300 bahagian korban untuk penduduk Malawi.
“Selama ini, IR Malaysia melaksanakan korban di Malawi dengan menerima laporan daripada pejabat lapangan. Alhamdulillah, tahun ini kami diberi peluang untuk menyaksikan sendiri bagaimana bantuan ini memberi impak kepada penerima manfaat,” ujarnya.
Tahun 2025 ini, IR Malawi menyasarkan pengagihan sebanyak 38,700 pek daging korban, melibatkan 15,050 bahagian korban, yang dijangka memberi manfaat kepada 193,500 isi rumah di daerah Blantyre, Mangochi dan Balaka.

Sesi induksi mengenai projek korban bersama kakitangan dan sukarelawan IR Malawi.
Selain meninjau projek korban, misi Kembara Rezeki Qurban ke Malawi turut melawat beberapa projek lain seperti penajaan anak yatim, projek air, sanitasi dan kebersihan (WASH), serta projek kehidupan mampan yang dibiayai rakyat Malaysia.
Misi yang turut disertai Ahli Lembaga Pemegang Amanah IR Worldwide dan IR Malaysia, Nurhayati Hassan ini menjadi platform penting untuk memperkukuh ketelusan dan akauntabiliti organisasi kepada para penyumbang, di samping membuktikan komitmen berterusan dalam menyampaikan amanah kemanusiaan dengan penuh integriti.
Rezeki Qurban merupakan salah satu kempen tahunan IR Malaysia yang membolehkan rakyat Malaysia menunaikan ibadah korban di negara-negara yang bergelut dengan krisis kemanusiaan, kebuluran dan kemiskinan.
Untuk maklumat lanjut mengenai kempen Rezeki Qurban 2025, orang ramai boleh melayari www.islamic-relief.org.my atau menghubungi 03-8926 3434. - KitaReporters/Kenyataan Media

Ethel Yusuf, seorang ibu tunggal dari Kampung Chipalamawamba , Mangochi, Malawi gembira menerima sumbangan daging korban pada 2024 daripada IR Malawi.
