
Sultan Selangor tengah hari ini (Sabtu, 5 April 2025) telah menitahkan Kerajaan Negeri Selangor agar membatalkan majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Selangor di Bandar Baru Bangi yang dijadualkan esok, Ahad, 6 April 2025.
Titah Sultan Selangor ini juga telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri yang juga telah bersetuju dengan titah pembatalan oleh baginda.
Dalam satu kenyataan media, Sultan Selangor amat prihatin dan menghormati mangsa-mangsa dan keluarga yang sedang berdepan musibah susulan insiden letupan gas di Putra Heights.
"Baginda juga telah menitahkan agar persiapan yang telah pun dibuat untuk majlis berkenaan khususnya makanan-makanan, disalurkan kepada pusat-pusat penempatan sementara (PPS), petugas keselamatan, anggota bomba, para sukarelawan dan NGO, rumah anak-anak yatim dan sekolah-sekolah yang terletak berdekatan dengan lokasi kejadian.
"Baginda turut menyarankan agar semua mangsa dan petugas diraikan dengan jamuan hari raya di PPS daripada makanan yg disalurkan ke PPS ini.
"Semoga ia dapat memberi sedikit keceriaan kepada mangsa dan para petugas yang bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan mereka," titah Tuanku dalam kenyataan tersebut.
Baginda mendoakan agar urusan semua pihak terlibat dipermudahkan dan semua mangsa tabah menghadapi dugaan ini.

Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengesahkan Rumah Terbuka Aidilfitri Madani 2025 Peringkat Negeri Selangor esok telah dibatalkan selepas diperkenan oleh Sultan Selangor dan dipersetujui Perdana Menteri.
"Saya dengan ini mengumumkan bahawa segala persiapan seperti makanan akan disalurkan kepada PPS, rumah anak anak yatim, sekolah berasrama serta petugas keselamatan.
"Semoga Allah SWT memberkati segala usaha kita juga dalam bersolidariti membantu mangsa dan semua pihak jua," katanya lagi. - KitaReporters/Kenyataan Media
