LAZIMNYA setiap daripada kita memiliki hobi tersendiri yang boleh membahagiakan diri sendiri.
Tidak kiralah apa hobi tersebut semestinya ia memberi keseronokan kepada peminatnya sehingga ia boleh ‘diangkat’ sebagai hobi.
Kisah sama berlaku kepada seorang lelaki dari Singapura yang mempunyai hobi mengumpul koleksi wang-wang kertas yang unik.
Memetik portal mothership.sg, Zhou mula mengumpul koleksi wang kertas yang bernilai SG$1,000 (RM3,244). Semuanya dikumpul selepas Pihak Berkuasa Kewangan Singapura menghentikan pengeluaran pada 2021.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan wang-wang kertas
Sejak itu lelaki yang bertugas sebagai pemandu peribadi itu sering menukar dengan rakan-rakannya yang mempunyai koleksi berkenaan sebagai kenangan memandangkan kerajaan tidak lagi mencetak wang tersebut.
Hasilnya, Zhou berjaya memiliki 14 keping wang berkenaan yang bernilai RM45,416.
Namun sayang wang berkenaan diletakkan di dalam poket baju-baju lama di rumahnya di Flat Block 116, Marsiling Rise, Singapura. Semuanya dilakukan sebagai mengelak wang berkenaan dicuri.
Namun, siapa sangka wang yang disangka selamat itu akhirnya ghaib juga apabila isterinya membuat ‘operasi’ dengan membersihkan semua pakaian lama dan barangan yang tidak dipakai.
Malangnya, wang yang disimpan juga turut dibuang oleh isterinya pada 30 September 2022 lalu, kerana lelaki berusia 59 tahun itu tidak pernah menceritakan mengenai koleksi wang yang disimpan itu.
Sejurus mengetahui tindakan isterinya yang membuat operasi pembersihan di rumah mereka, Zhou terus bergegas ke tempat pembuangan sampah yang menempatkan baju-baju lama yang dibuang oleh isterinya.
Kesemua barangan yang dibuang isteri telah dibawa oleh pekerja untuk dihantar ke pusat pelupusan sampah.
“Saya segera turun ke tempat pembuangan sampah namun plastik berisi baju lama yang mempunyai 14 keping wang kertas SGD1,000 itu telah diambil pihak pelupusan sampah,” ujarnya.
Lelaki malang itu turut membuat laporan polis mengenai kehilangan koleksi wang lamanya. Namun dia menyedari peluang untuk kembali menemuinya koleksi kesayangan yang bernilai itu sangat tipis.
Itulah padahnya tidak mempunyai pengurusan yang tepat, sepatutnya Zhou meletakkan koleksi kesayangan ditempat yang selamat dan mudah dicapai .
Kini, hanya sia-sia sahaja, hati jadi sakit, duit pun dah lesap.
Nasi dah jadi bubur! Apa boleh buat lagi. - KitaReporters