Mangsa hanyut di Caruk Rambung, Mohd Raif Irfan Khairul Nizam dalam keadaan stabil selepas diselamatkan setelah dihanyutkan air alur sejauh hampir 300 meter pada 29 Oktober 2022.
SEORANG kanak-kanak berusia 3 tahun, Mohd Raif Irfan Khairul Nizam dihanyutkan sejauh hampir 300 meter di Caruk Rambung di Kampung Rambung Batu 7 di Jalan Keroh, Baling, Kedah pada petang 29 Oktober 2022, tetapi berjaya diselamatkan.
Mangsa sebelum kejadian bermain dengan kakaknya, Noraina Qiasara, 8, semasa waktu hujan berdekatan sebatang caruk (alur atau parit) yang berada dalam jarak 30 meter dari rumah mereka.
Lagi cerita-cerita tragedi berkaitan kejadian mati lemas
Mangsa didukung oleh Abd Rahman Ahmad yang menyelamatkan mangsa untuk dibawa ke ambulans yang tiba di tempat kejadian.
Rani Hariani Sharifudin, 43, (terduduk), ibu kepada Mohd Raif Irfan Khairul Nizam, menangis tidak dapat menahan kesedihan setelah anaknya diselamatkan.
Ketika kejadian berlaku, ibu mangsa Rani Hariani Sharifudin sedang mencuci pakaian di rumah mereka dan tidak menyedari dua beradik berkenaan sedang bermain tidak jauh dari sebatang caruk yang dikenali sebagai Caruk Rambung.
Melihat adiknya terjatuh dan dihanyutkan arus, Noraina Qaisara berlari memberitahu jiran mereka, Abd Rahman Ahmad, 19, yang kebetulan berada di rumahnya yang tidak jauh dari tempat kejadian.
Seorang jiran yang juga keluarga mangsa Zabidi Sahabudin 56, memberitahu KitaReporters dia mendengar tangisan Noraina Qaisara sambil memberitahu adiknya hanyut dan melaung memberitahu jiran-jiran terdekat untuk membantu menyelamatkan mangsa.
Menurut Abd Rahman, yang dapat mencari dan menyelamatkan mangsa yang dalam keadaan tengelam timbul terus menarik mangsa dan mendukung mangsa untuk di bawa ke darat.
Katanya, mangsa tidak bercalar atau luka walaupun dihanyutkan hampir sejauh 300 meter dalam Carok Rambong yang dipenuhi batu dan reba kayu.
Setelah diselamatkan mangsa dibawa dengan ambulans Bomba dan Penyelamat Balai Bomba Baling ke Hospital daerah Baling.
Setelah menerima rawatan di Hospital Baling, mangsa dipindahkan ke Hospital Kulim pula.
Menurut keluarga mangsa, Wahab Abdullah, 65, mangsa kini dalam keadaan stabil dan mungkin dibenarkan keluar dari Hospital Kulim dalam waktu terdekat. - KitaReporters