Insan & Komuniti 03 Mar, 2024

Video| Terima kasih abang Alam Flora! Perkongsian terbaik! Kongsi cara buang sampah dan kitar semula!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Jangan pandang hina dan sebelah mata jasa pengutip sampah. Ia pekerjaan yang halal dan mulia! Tak semua orang sanggup bergelumang dengan pekerjaan ini. 

Jijik dan busuk itu perkara biasa dalam pekerjaan ini. Bayangkan kalau tiada pengutip sampah, pasti menggunung sampah atau sisa domestik di rumah anda. Jadi, pekerjaan ini sangat penting.

Sebelum pergi lebih jauh, pasti ramai tidak tahu apakah yang dimaksudkan sisa domestik. Sisa domestik merupakan bahan-bahan buangan yang dibuang dari kawasan perumahan seperti sisa makanan, plastik, kertas dan bahan logam terpakai. 

Sisa buangan toksik pula seperti minyak masak atau enjin, lebihan racun rumpai atau serangga dan hampas organik. 

Sisa domestik terdiri daripada sisa pepejal dan sisa cecair.



Selalunya kita hanya tahu tugas mereka hanya membuang sampah. Namun, pernahkah kita selami bagaimana pekerjaan atau tugas mereka secara terperinci? 

Malah, pasti anda tertanya-tanya bagaimana hidung mereka boleh tahan bau busuk yang dihasilkan oleh sampah dan sisa buangan. 

Selagi tidak berada dalam bidang tersebut, kita tidak akan tahu kecuali kalau kita mengikuti mereka dari awal hingga akhir kerja. Tetapi, ia agak mustahil untuk dilakukan. 




Namun kini, dengan perkembangan teknologi maklumat seperti media sosial, segala-galanya menjadi mudah. 

Kini semakin ramai pengutip sampah berkongsi rutin kerja mereka dalam media sosial. Perkongsian ini membuatkan orang ramai lebih memahami tugas dan bidang kerja pengutip sampah. Malah, pelbagai ilmu dan maklumat baharu dapat dipelajari orang ramai. 

Terima kasih diucapkan kepada seorang pengutip sampah dikenal Amirul Shukri yang menggunakan media sosial seperti TikTok untuk menyampaikan ilmu dan maklumat kepada umum mengenai tugas dan pengalamannya sebagai pengutip sampah.



Kebanyakan video yang dikongsi mendapat sambutan hangat sehingga mencapai jutaan tontonan. Ternyata sambutan daripada orang ramai mengenai rutin kerja pengutip sampah diterima baik dan mengalakkan. 

Antara salah satu video yang mendapat jumlah tontonan tinggi ialah perkongsian mengenai jenis-jenis barang yang tidak sepatutnya anda letak di dalam tong sampah kerana ia boleh dikitar semula.

"Kenapa perlu buang kalau semua benda boleh dikitar semula?” tulisnya.

Barang-barang yang tidak sepatutnya anda buang di dalam tong sampah ialah tin yang diperbuat daripada besi dan aluminium, botol kaca, barang yang diperbuat daripada kertas, minyak masak terpakai, sisa elektronik, bateri kenderaan, plastik dan lain-lain lagi.



Sesetengah tempat terutamanya apartment dan kondominium ada menyediakan tempat khusus untuk membuang barang-barang kitar semula ini. Jadi, anda boleh buang barang tersebut di tempat yang disediakan.



Selain itu, Amirul juga berkongsi video mengenai sampah yang boleh menyebabkan lori sampah rosak. Antaranya ialah pasir kucing, tayar, tilam, rumput dan lain-lain lagi. Justeru, elakkan meletakkan barang-barang ini di dalam tong sampah. Kebanyakan barang-barang tersebut bukan sisa domestik. - KitaReporters


13
10
0
13
0
You will be interested