Insan & Komuniti 29 Dec, 2023

Kolaborasi terbaik Kelab Warga Emas Felda dan klinik kesihatan! Santuni pula warga emas pusat jagaan!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


KELAB Warga Emas Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang akan terus meningkatkan kolaborasi dengan klinik kesihatan Felda kawasan berkenaan dalam usaha meningkatkan taraf kesihatan warga emas di situ selepas diwujudkan sejak lebih 20 tahun lalu.

Selepas pelbagai kegiatan kelab berkenaan terpaksa ditangguh kerana gejala wabak Covid-19 beberapa tahun lalu, kini ahlinya kembali aktif dalam program kemasyarakatan selaras matlamat penubuhannya untuk meningkatkan kualiti kesihatan khususnya warga emas di felda itu.

Pengerusinya, Sahara Jamaludin, berkata langkah itu bersesuaian memandangkan penubuhan kelab itu juga atas inisiatif serta sokongan klinik kesihatan berkenaan dalam usaha membantu melancarkan pelbagai program dan penyebaran maklumat kesihatan yang akan membabitkan masyarakat Felda Lurah Bilut.


Ahli Kelab Warga Emas Felda Lurah Bilut, Bentong bergambar bersama-sama pengurusan Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 26 Disember 2023 lalu sambil menunjukkan barangan keperluan asas yang disumbangkan.


Menurut Sahara, bagi memastikan usaha itu berterusan dan dapat dilaksanakan, ahli-ahli kelab juga dibuka penyertaan kepada mereka yang belum dalam kategori warga emas kerana ia secara tidak langsung akan mewujudkan generasi pelapis bagi mengemudi kelab berkenaan nanti.

Tambahnya, "walaupun sebagai masyarakat yang menetap di pedalaman, kami dengan dibantu klinik kesihatan tetap mengutamakan penjagaan kesihatan di samping untuk mengenali serta memahami pelbagai penyakit berbahaya terutama berisiko berjangkit untuk dibanteras. 

“Sebahagian besar ahli kelab adalah dalam kalangan mereka yang berumur mencecah 60 tahun dan sebagai kegiatan rutin kami akan mengadakan kelas senamrobik dua kali seminggu bagi mengekalkan kecergasan.

“Bagi melengkapkan persediaan diri kelab ini turut mengadakan kelas agama untuk ahli dan masyarakat Felda seperti kelas mengaji, marhaban serta kuliah agama yang dibimbing oleh ustaz serta ustazah berpengalaman yang dijemput,” ujarnya yang ditemui bersama 40 ahli kelab itu yang mengadakan Program Ziarah Kasih ke Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor, pada 26 Disember 2023.

Turut menyambut kedatangan ahli kelab itu Pengerusi dan Penasihat PJMM, Azman Rasman dan Mohiadin Bahado; Pengurus PJMM, Sazali Mohiden serta Bendahari PJMM, Aidah Jaamat.


Mohiadin Bahado (kiri) memberi taklimat ringkas mengenai sejarah penubuhan PJMM kepada ahli kelab berkenaan.


Saharah berkata, program itu adalah antara kegiatan luar kelab untuk dihidupkan semula yang mendapat sokongan ahli bagi menyantuni warga emas tersisih di samping menghulurkan sumbangan keperluan asas hasil kutipan derma mereka.

Jelasnya, ziarah itu memberi peluang kepada ahli-ahli kelab mendengar pelbagai rintihan warga emas terbabit yang melalui bermacam-macam liku hidup.

Paling terkesan apabila ada antara mereka dibuang oleh anak sendiri disebabkan pelbagai faktor termasuklah masalah kesihatan serta tidak diterima menantu dan sebagainya, jelas beliau.

Menurutnya, kisah itu akan dikongsikan dengan generasi muda Felda Lurah Bilut supaya tidak melakukan perkara sedemikian dan mengakhiri hidup ibu atau ayah di pusat jagaan, sedangkan sepatutnya anak-anak bersama ibu bapa dalam apa jua keadaan sekali pun. 

“Saya berharap warga emas ini terus tabah mengharungi kehidupan tanpa orang yang disayangi di sisi dan bersyukur ada pihak sukarela menjaga serta menyantuni mereka seperti ahli keluarga sendiri apabila segala keperluan dapat dipenuhi,” ujarnya lagi.


Ahli kelab bertanya khabar seorang warga emas yang terlantar di atas katil kerana keuzuran.


Sementara itu ahli kelab berkenaan, Ainul Mardhiyyah Amirul Imran, berkata dia kali pertama mengunjungi pusat jagaan warga emas seperti PJMM dan berasa terharu melihat penghuni yang rata-rata uzur menjalani kehidupan.

Menurutnya, "seperti dimaklumkan, pengerusi kelab kami akan datang semula dalam usaha menghulurkan sumbangan yang lebih baik memandangkan PJMM terpaksa menanggung kos operasi yang amat tinggi. 

“Walaupun sumbangan dalam program kali pertama ini tidak seberapa, saya berharap cukup untuk mengembirakan hati warga emas yang sekurang-kurang mereka sedar ada pihak sentiasa ambil peduli nasib mereka,” tambahnya.


Saharah Jamaludin (kanan) bersama ahli kelab menyiapkan hidangan makan tengah hari yang ditaja untuk diagihkan kepada warga emas.


Rakannya, Suzaila Sudar pula berkata, walaupun dia belum berada dalam kategori warga emas menjadi ahli kelab itu namun berasa beruntung dapat menimba pengalaman dalam melakukan kerja amal kebajikan terutama dalam membantu mereka yang memerlukan pembelaan.

Tambahnya, beliau akan cuba menarik lebih ramai generasi ketiga seperti dia dan seterusnya menyertai kelab itu untuk sama-sama menghulurkan tenaga serta mendapat pendedahan mengenai peranan atau fungsi menyertai pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Langkah ini amat perlu dilakukan kerana nanti mereka mampu menjadi generasi pelapis untuk terus mengaktifkan kelab demi kemajuan masyarakat Felda terutama dari segi penjagaan kesihatan dan menabur bakti kepada mereka ditimpa musibah,” katanya lagi. - KitaReporters


Ahli Kelab Warga Emas Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang merakam kenangan bersama-sama warga emas dan pengurusan PJMM selepas menyantuni mereka makan tengah hari.

29
11
0
14
0
You will be interested