Insan & Komuniti 29 Nov, 2023

Syabas orang muda! Program Anak Muda Pahang Sayang Bumi capai objektif! Sambutan hebat! Teruskan!

@nur ain darwishah
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan.

Share this

Aktiviti mengecat tayar sempena program Anak Muda Pahang Sayang Bumi


Program Anak Muda Pahang Sayang Bumi yang bermula pada 28 Oktober 2023 lalu yang diadakan di seluruh negeri secara berperingkat-peringkat mendapat sambutan luar jangka apabila secara keseluruhannya merekodkan lebih 5,000 penyertaan.  

Inisiatif Kerajaan Pahang melalui Yayasan Pahang (YP) dengan kerjasama Kolej Yayasan Pahang Advanced Skills (KYPAS) itu turut mendapat sokongan baik daripada pelbagai agensi termasuk Majlis Belia Pahang, Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Jabatan Pertanian Negeri Pahang, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang, pihak berkuasa tempatan daerah,  Jabatan Pendidikan Negeri Pahang dan SWCorp. 


Fadzli Mohamad Kamal


Kemuncak program berlangsung di Pantai Anak Air, Tanjung Lumpur, Kuantan pada 25 November 2023 dan dirasmikan oleh Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia dan Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal, sebagai wakil rasmi Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail. 

Hampir 800 peserta pelbagai lapisan umur mengambil bahagian pada program yang diadakan di sepanjang pantai itu yang bermula jam 7.30 pagi. 

Pelbagai aktiviti menarik diadakan di termasuk pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, mengecat tayar, membersihkan kawasan pantai, mengutip sampah dan menanam pokok. 



Acara menanam pokok antara aktiviti utama yang diadakan sempena program Anak Muda Pahang Sayang Bumi


Fadzli dalam ucapan perasmian penutup berkata, kerjasama baik daripada pelbagai agensi juga memberi nilai tambah kepada program berkenaan dalam meningkatkan kesedaran dalam kalangan belia dan anak muda mengenai kepentingan menjaga alam sekitar. 

"Kita harap semangat ditunjukkan sepanjang program itu sejak 28 Oktober 2023 lalu, dapat diteruskan di lokaliti (kawasan) masing-masing selepas program berakhir. 

"Teruskan usaha untuk menjaga alam sekitar kerana ia adalah sangat penting untuk generasi hari ini dan juga generasi akan datang," katanya sambil berharap ia boleh diteruskan pada tahun akan datang. 


Sebahagian remaja yang menyertai program Anak Muda Pahang Sayang Bumi

Sementara itu, seorang pelajar, Ahmad Afiq Danial Abdul Hafiz berkata, penganjuran program berkenaan sangat membantu meningkatkan kesedaran golongan belia dalam menjaga kebersihan alam sekitar.  

Seorang lagi pelajar, S Tvissa berkata usaha YP dan KYPAS patut dipuji kerana program itu memberi peluang kepada golongan belia dan anak muda memahami lebih dekat mengenai alam sekitar. 

Ng Wei Haw pula berkata, program berkenaan membuka peluang kepadanya mengenali lebih ramai pelajar daripada pelbagai kaum dan bersama-sama mengindahkan kawasan pantai yang menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar Pahang. 

Ucapan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah mengambil bahagian dalam program Anak Muda Pahang Sayang Bumi ini! - KitaReporters 


Sebahagian peserta bergambar kenangab selepas program selesai

20
11
0
12
0
You will be interested