Insan & Komuniti 23 Aug, 2023

Tolong kami! Bantu IR Malaysia! Lancar tabung MyYateem! Bantu anak yatim, kanak-kanak di 25 negara!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this

Salah sebuah keluarga anak yatim di Mali gembira menerima bantuan pek makanan Ramadan dari Islamic Relief.


Islamic Relief (IR) ialah sebuah organisasi bantuan dan pembangunan kemanusiaan antarabangsa yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat. 

Sejak ditubuhkan pada tahun 1984, IR yang beribu pejabat di Birmingham, United Kingdom itu terus berkembang di serata dunia dan kini, IR beroperasi di lebih 45 buah negara termasuk Malaysia dan membantu lebih 10 juta orang setiap tahun melalui pelbagai sektor bantuan seperti kecemasan, kesihatan, pendidikan, makanan, air, sanitasi & kebersihan, serta pembangunan mampan.

Berlandaskan kepada kepercayaan serta nilai-nilai Islam, IR berhasrat mewujudkan dunia yang prihatin di mana komuniti diupayakan, tanggungjawab sosial dilaksanakan dan masyarakat bersatu meringankan penderitaan golongan yang memerlukan.

Justeru, pelbagai usaha dan gerak kerja dijalankan oleh setiap cawangan IR bagi memastikan dana sentiasa terkumpul agar bantuan dapat disalurkan sepanjang masa. 




Terbaharu, Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia) telah memperkukuh usaha membantu anak-anak yatim dan kanak-kanak memerlukan di lebih 25 buah negara termasuk Palestin, Syria, Yaman, serta negara-negara Afrika seperti Somalia dan Sudan dengan melancarkan tabung MyYateem. 

Membawa slogan #CareForOrphan, Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir berkata, pihaknya ingin mengajak orang ramai untuk memuliakan anak yatim dengan mengambil tahu serta prihatin akan keadaan dan keperluan semasa anak-anak yatim ini.

“IR Malaysia menyasarkan kutipan dana sebanyak RM1 juta melalui tabung MyYateem. Kebanyakan anak yatim yang Islamic Relief bantu adalah kanak-kanak yang telah kehilangan ibu bapa atau penjaga akibat peperangan, bencana alam, kemiskinan, masalah kesihatan dan sebagainya.

“Sebagai sebuah NGO yang membantu golongan memerlukan melalui pelbagai sektor bantuan, Islamic Relief akan memastikan setiap golongan sasar termasuk anak yatim ini mendapat bantuan sewajarnya,” katanya.


Sharmiza Husin (dua dari kiri), Pengurus Kanan Bahagian Penjanaan Dana dan Irma Hasmie (depan, empat dari kiri), Ikon Kemanusiaan IR Malaysia menyantuni anak-anak yatim Syria di Dar el-Salam, Gaziantep, Turkiye.


Tambah Mohd Shukor, pihaknya membawa kelainan pada kempen yang dijalankan setiap tahun itu dengan memperkenal dua pakej utama iaitu Kasih MyYatem dan Tajaan MyYateem.

“Menerusi Kasih MyYateem, dana yang terkumpul dengan sumbangan serendah RM10, akan disalurkan untuk membantu anak-anak yatim ini melalui bantuan pendidikan tinggi, kesihatan, makanan asas, serta bantuan saraan keluarga. 

“Untuk Tajaan MyYateem pula, orang ramai yang berminat boleh menaja seorang anak yatim sekurang-kurangnya untuk tempoh dua tahun dengan komitmen sebanyak RM350 setiap bulan. 

"Sumbangan bulanan ni akan digunakan untuk menampung perbelanjaan harian seperti makanan, pendidikan, perubatan dan perlindungan,” jelas Mohd Shukor.

Tabung MyYateem #CareForOrphan ini dilihat sebagai salah satu ruang dan peluang untuk membantu anak yatim pada saat mereka sangat memerlukan sokongan.

“Islamic Relief bukan sahaja memberi bantuan bersifat jangka masa pendek, bahkan bantuan juga meliputi tempoh masa yang panjang supaya suatu hari nanti, anak-anak ini mampu bangkit dalam kehidupan mereka dan menjadi seseorang yang berjaya dan membantu pula masyarakat mereka,” tambahnya lagi.


Bibi Naz bersyukur anak-anaknya menerima bantuan tajaan anak yatim dari Islamic Relief.


Dengan sumbangan orang ramai, setakat ini, IR telah menaja lebih 85,000 orang anak yatim dan membantu lebih 200,000 anak yatim di 26 buah negara melalui pelbagai projek bantuan.

Menerusi perkongsian bersama Bibi Naz, seorang ibu tunggal di Kabul, Afghanistan, beliau menyifatkan bantuan tunai yang diterima dari IR melalui projek penajaan anak yatim sangat membantu kehidupan mereka lima beranak.

“Dahulu, anak-anak saya terpaksa menahan lapar selama tiga ke empat hari. Jika ada sedikit wang, saya akan rebus kentang untuk mereka atau campurkan air dengan sedikit tepung untuk dijadikan seperti susu. 

"Disebabkan kehidupan saya sangat susah, dua orang anak saya terpaksa tinggal bersama nenek mereka di kampung.

“Kini, saya sangat bersyukur. Anak-anak saya bukan sahaja dapat makan secukupnya, malah mereka juga dapat pergi ke sekolah. 

"Saya juga dapat menghantar mereka ke kelas tambahan menggunakan wang tajaan daripada Islamic Relief dan wang yang saya simpan hasil jualan pakaian yang saya jahit. 

“Terima kasih Islamic Relief. Terima kasih kepada semua yang membantu projek anak yatim. Kerana pertolongan anda semua, saya dapat bersatu kembali dengan anak-anak saya. 

“Saya selalu berdoa semoga anak-anak saya berjaya dalam pelajaran mereka, dan dapat pekerjaan yang bagus. Semoga mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih baik daripada saya,” kongsi Bibi Naz.

IR Malaysia berhasrat untuk membantu lebih ramai lagi anak yatim melalui kempen MyYateem #CareForOrphan agar suatu hari nanti, mereka berjaya dalam kehidupan dan membantu pula insan lain yang memerlukan. - KitaReporters/Kenyataan Media


Petugas Islamic Relief Lebanon sedang menjalankan aktiviti pembelajaran bersama anak-anak yatim.

11
11
0
17
0
You will be interested