Insan & Komuniti 26 May, 2023

Kehadiran diraja! Yang di-Pertuan Agong santuni ahli PEKAP! Nanas Pahang penyeri jamuan Aidilfitri!

@kartini mohd noor
Pernah berkhidmat sebagai 1. Stringer Berita Harian 2. Wartawan Berita Harian 3 . Penyunting Harian Metro 4. Grup Editor Majalah IBUBAPA

Share this



NANAS segar dibawa khas dari Pahang menjadi penyeri Majlis Sempena Hari Raya PEKAP 2023 anjuran Persatuan Kebajikan Anak-Anak Pahang Di Ibu Kota (PEKAP). 

Tiada kuah rojak atau campuran buah-buah lain, dua dulang besar diisi dengan hirisan nanas yang menjadi menu utama atas pemintaan tuan rumah sebagai kenangan manis anak-anak negeri itu.

Lebih beruntung apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mencemar duli untuk berangkat menyantuni dan beramah mesra dengan tetamu pada jam 11 pagi, di Dewan Perdana FELDA, Jalan Maktab off Jalan Semarak Kuala Lumpur pada 22 Mei 2023. 

Seri Paduka adalah Penaung Rasmi Diraja PEKAP meluangkan masa hampir dua jam menyantuni dan beramah mesra bersama tetamu yang hadir.


Seri Paduka beramah mesra dengan tetamu VVIP dan AJK PEKAP.



Betapa manis, masam dan segarnya kerana nanas itu masih ranggup bila dimakan begitu saja. Ada pula sate, bakso, mi kari, nasi beriyani, kuih muih, ketupat palas, lontong, kek, kuih muih dan lontong yang disediakan oleh katering D'Saji meninggalkan kenangan manis kepada lebih tetamu yang semuanya anak Pahang.

Timbalan Yang Dipertua PEKAP Datuk Azman Shah Abdulllah berkata, ahli-ahli PEKAP itu datangnya dari Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya. Hari itu, dianggarkan lebih 1,300 orang hadir bagi meraikan majlis yang diadakan setiap tahun kecuali ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Difahamkan disebabkan ia digemari ramai, ole-oleh buah nanas itu habis diberikan kepada tetamu pada sebelah paginya.



 Datuk Azman Shah Timbalan Yang Dipertua PEKAP.


Sementara itu, Yang Dipertua PEKAP, Datuk Ab Rahim Abu Bakar, berkata beliau dan semua ahli persatuan merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan yang sudi mencemar duli ke majlis berkenaan.

"Kesudian keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku ke Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran PEKAP amat kami, ahli PEKAP nantikan," katanya dalam satu kenyataan akhbar yang diedarkan kepada media.

Turut hadir ialah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga menjadi Ahli Parlimen Bera, Pahang yang berbesar hari dapat mengukuhkan ikatan saliturahim bersama-sama dalam majlis yang meriah itu. 

"Semoga warga PEKAP terus cemerlang dan sentiasa menabur bakti kepada insan-insan yang memerlukan," kata Ismail Sabri datu dalam hantaran dalam Facebooknya, sambil memuatkan videonya sedang beramah mesra dengan tetamu itu. 

Beliau menambah rasa agak janggal kerana tidak berbaju Melayu kerana hari itu adalah hari pertama sidang Parlimen bermula.

Hadir sama ialah mantan Menteri Besar Pahang dan bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Khalil Yaakob.  



Sementara itu Ab Rahim turut memberitahu PEKAP menjemput ahli-ahlinya menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya 1444H dengan penuh meriah bertujuan meraikan dan memperkukuh persahabatan agar memberi lebih banyak manfaat kepada anak-anak Pahang di ibu kota. 

"Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan yang berdaftar, PEKAP begitu banyak menghulurkan bantuan dan pertolongan kepada ahli-ahli yang memerlukan pertolongan. Semasa PKP ketika wabak Covid-19, PEKAP banyak menghulurkan bantuan kepada ahli-ahli terutama berupa bekalan bakul makanan dan juga barangan keperluan harian," katanya.

Katanya, sewaktu berlakunya kejadian banjir di Lembah Klang. PEKAP turut menghulurkan bantuan kepada ahli-ahli yang terkesan dengan bencana banjir. Ini merupakan salah satu kaedah PEKAP dalam membantu keperluan ahli-ahli yang terkesan dengan musibah.


Junjung kasih Tuanku.


PEKAP yang didaftarkan pada 27 September 1966 kini mempunyai ahli berdaftar seramai 3,609 orang. 

PEKAP memberikan perkhidmatan membantu mana-mana ahli yang terkesan kepayahan menjalani kehidupan akibat penyakit mahu pun ditimpa malang. 

Selain itu, PEKAP juga memberikan penghargaan kepada pelajar-pelajar anak Pahang di ibu kota yang mencatat kejayaan cemerlang dalam bidang akademik.

"Semoga semua anak kelahiran Pahang di ibu kota menjadi ahli PEKAP dan memanfaatkan persahabatan dalam memacu kelestarian pencapaian anak-anak Pahang di pelbagai bidang demi mengangkat martabat di persada antarabangsa," katanya. - KitaReporters


AHLI-AHLI PEKAP yang menghadiri jamuan hari raya kali ini lebih ramai dan meriah.

13
13
0
9
0
You will be interested