Kredit foto: @gilerkentangofficial dalam threads.net
KEJADIAN seorang pemuda maut dipijak gajah di Felda Tenggaruh 5, Mersing, Johor, beberapa hari lalu sangat menyayat hati. Mohamad Syafik Yakob, 31, tukang kebun di Sekolah Kebangsaan (SK) LKTP Tenggaruh 5, meninggal akibat cedera parah.
Menurut bapanya, Yakob Md Yusof, 65, anaknya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat serangan gajah liar. Arwah masih sempat membuka mata ketika ditemui sebelum memejamkan mata semula.
Kejadian
berlaku ketika arwah sedang bekerja apabila gajah liar memasuki kawasan belakang
sekolah. Arwah dilapor diserang oleh gajah tersebut ketika cuba menghalaunya. Gajah
berkenaan mengejar dan melambungkan arwah.
Ketika kejadian, terdapat dua pekerja lain. Seorang sempat menyelamatkan diri, seorang lagi cedera parah.
Syafik yang cedera parah pada dada dan leher meninggal dunia dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Tenggaroh 2.
Rakannya cedera parah pada kepala, pendarahan dalam perut dan patah tulang pinggul. Mangsa kini dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.
Sebahagian Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) yang menghubungkan Gerik di Perak dan Jeli di Kelantan.
Kehadiran
gajah liar di kampung berkenaan sudah pernah berlaku. Namun haiwan itu tidak
mengganggu penduduk, apatah lagi menyebabkan kematian. Cuma tanaman termasuk pokok kelapa sawit,
menjadi mangsa.
Secara
umumnya, gajah tidak akan menyerang manusia, kecuali ia diserang atau terkejut.
Mungkin dalam kes Syafik, tindakan arwah menghalau haiwan tersebut dianggap ‘serangan’
dan kerana itu ia bertindak balas.
Beberapa bulan
lalu, seorang saudara penulis diserang gajah ketika turun ke sebatang sungai di
kawasan Banding, Gerik, di Lebuh Raya Timur Barat (LRTB) yang menghubungkan
Gerik, Perak dengan Jeli, Kelantan.
Tujuan beliau untuk membersihkan diri. Namun tidak diduga di tepi sungai itu ada seekor gajah dengan anaknya sedang bersantai.
Saudara penulis terkejut apabila melihat gajah di situ. Gajah itu pun terkejut apabila melihat saudara penulis.
Akibat terkejut, gajah tersebut menyerang saudara penulis. Dia cedera parah termasuk beberapa tulang rusuk patah, kaki juga patah. Syukur kemudian gajah itu berlalu, sementara mangsa menjalani rawatan untuk tempoh yang lama di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh.
Lebuh Raya Timur Barat adalah tempat gajah bermain dan bersantai. Berhati-hati ketika melaluinya.
Jelas dalam kedua-dua insiden di Tenggaruh dan Gerik, gajah menyerang kerana haiwan itu ‘diserang’ dan terkejut. Pengajarannya ialah apabila bertembung dengan gajah, elak membuat provokasi terhadap haiwan itu.
Ini juga antara pesanan penting diberikan kepada penulis sewaktu melangsungkan perkahwinan dengan gadis Felda Bersia, Gerik pada 1985. Untuk sampai ke Felda ini dari pekan Gerik, perlu melalui sebahagian LRTB.
Kerana itu penulis diingatkan agar sentiasa berhati-hati dengan gajah memandangkan kawasan lebuh raya berkenaan adalah tempat tinggal dan bersantai haiwan tersebut.
Sepanjang melalui lebuh raya tersebut hingga ke Jeli dan sebaliknya, pemandu mungkin sahaja bertembung dengan gajah. Papan tanda mengingatkan gajah melintas juga didirikan di lebuh raya berkenaan.
Papan tanda amaran gajah liar melintas di Lebuh Raya Timur Barat.
Penulis sendiri pernah bertembung dengan sekawan gajah bermain-main di jalan ketika melalui lebuh raya berkenaan. Gajah hadir tidak kira siang atau malam. Bertemu gajah, penulis sentiasa ingat pesanan jangan buat provokasi. Lihat sahaja gajah itu berlalu.
Oleh itu peringatan
penulis kepada yang melalui LRTB dan melihat gajah bersantai di atas jalan, berhentikan kenderaan pada jarak selamat. Jangan sekali-kali membunyikan hon
untuk menghalau mereka.
Gajah tersebut akan terkejut dan marah menyebabkannya bertindak balas. Tidak ada masalah langsung bagi seekor gajah menterbalikkan kereta atau lori kecil dengan muatannya sekali.
Jadi tunggu sahaja sehingga gajah tersebut berlalu walau terpaksa menunggu lama.
Begitu juga kalau terjumpa gajah di mana-mana tempat, jarakkan diri dan jangan cuba mengusiknya. Kita tidak mahu berulang kejadian serangan gajah sehingga membawa maut atau cedera parah.
Apabila bertembung dengan gajah di Lebuh Raya Timur Barat, jarakkan kenderaan dan jangan cuba membuat provokasi terhadap haiwan itu.
Pihak berkuasa seperti Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sentiasa berusaha memastikan kejadian tidak diingini berlaku.
Namun bagi kita sendiri perlu berjaga-jaga. Ingat, gajah tidak menganggu jika ia tidak diganggu. - KitaReporters