.
Sudah puluhan tahun Masduki, 63, mencari rezeki dengan membawa beca. Biasanya setelah mencari rezeki di sekitar daerah Subang, Jawa Barat, dia akan pulang ke rumah untuk berehat.
Namun sejak Oktober 2023 Masduki tidak pulang ke rumah untuk berehat. Malahan sejak itu dia menjadikan becanya sebagai tempat berehat dan tidurnya.
Manakala, isteri dan anak-anaknya enggan untuk merawatnya malah menghalaunya dari rumah.
Apabila sudah tiada lagi tempat tinggal untuknya, Masduki terpaksa tidur di atas becanya setelah penat mengayuh. Dia akan meletakkan becanya di bawah sebatang pokok di tepi jalan.
Masduki terpaksa mengayuh beca untuk mencari rezeki walaupun kaki kanannya sakit membengkak dan bernanah. Akibatnya, kaki kanannya dibalut bagi mengelakkan kehilangan pelanggan.
Tiada anggota keluarganya yang datang menziarah walaupun mereka tahu di mana untuk mencarinya.
Seorang sukarelawan badan bukan Kerajaan, MAP Social Humanity, Ahmad Hidayat kebetulan melihat seorang lelaki tua sedang berehat di atas beca yang terletak di bawah sebatang pokok di tepi jalan di kawasan Desa Rancahilir Kecamatan Pamanukan Kabupaten Subang, pada Ahad, 22 Disember 2024.
Dalam perbualan mereka berdua, Masduki meluahkan kesusahan hidupnya kini. Dia mengharapkan belas kasihan orang ramai yang memberi makanan dan minuman kerana dia kini tidak lagi mampu berkayuh bagi mencari rezeki.
Melihat keadaan kesihatan Masduki yang bertambah parah telah mendorong Ahmad Hidayat membawa lelaki itu ke pusat kesihatan masyarakat (Pukesmas).
Ahmad Hidayat juga menghubungi pejabat Kerajaan Tempatan bagi mendapatkan tempat tinggal. Hasilnya Masduki ditempatkan di sebuah rumah transit.