Insan & Komuniti 31 Jul, 2024

Siapa kunci syurga kita? Bina keluarga beriman, jaga ibu bapa! Sambutan Maal Hijrah Mahmudah meriah!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this


ANTARA kunci kebahagian sesebuah keluarga itu ialah apabila ahli keluarganya, suami, isteri dan anak-anak orang yang beriman dengan mentaati perintah Allah SWT dalam apa jua keadaan sekalipun iman mereka tetap teguh.

Perkara itu juga perlu dipelihara kerana ia akan membawa sesebuah keluarga kepada kebahagiaan yang sebenar sebagaimana dituntut dalam agama Islam di samping mendapat keredaan Allah SWT setiap masa.

Penceramah bebas, Ustaz Mohamad Shyazreel Adry Mohd Roni, berkata seorang suami soleh dan beriman sekalipun Allah SWT akan uji dengan bermacam-macam perkara tetapi jika bagi suami seorang yang teguh keimanan dia akan tetap terpelihara.


Dari kiri, Ustaz Mohamad Shyazreel Adry Mohd Roni, Ustaz Alias Ahmad dan Ustaz Muhammad Amir Mohd Akhbar pada Forum Majlis Sambutan Maal Hijrah di PJMM yang bertajuk Hilangnya Kunci Syurga.


Menurutnya, oleh itu dalam menjalani kehidupan kita hendaklah sentiasa untuk banyak berdoa kepada Allah SWT, meminta keampunan daripada-Nya, memohon hidayah, pertunjuk untuk kesejahteraan hidup berkeluarga serta menghindar perkara menyimpang daripada ajaran agama.

“Sebagai seorang isteri yang solehah hendaklah mentaati suami, mendengar nasihat dan jangan sekali-kali meninggikan suara atau melawan cakap seorang suami.

“Bagi seorang anak pula hendaklah patut dan mendengar nasihat serta cakap ibu bapa dalam apa sahaja perkara kerana merekalah yang membawa kita lahir ke dunia, jika ada permasalahan berbincang seeloknya dengan ibu bapa mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika menyampaikan ceramah dalam forum bertajuk ‘Hilangnya Kunci Syurga’ pada Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia (PJMM), Semenyih, Selangor pada 28 Julai 2024.


Tetamu jemputan yang hadir mendengar forum bertajuk Hilangnya Kunci Syurga sempena Majlis Sambutan Maal Hijrah 1446H di Pusat Jagaan Mahmudah Malaysia, Semenyih, Selangor.


Majlis itu anjuran bersama PJMM, Pusat Jagaan Nur Hasanah (PJNH) dan Pusat Jagaan Insan (PJI) dengan kerjasama Kelab Sukarelawan Mahmudah (KESUMA’24) dihadiri lebih 500 tetamu termasuk warga emas dari tiga pusat jagaan berkenaan.

Selain Ustaz Mohamad Shyazreel, ahli panel lain forum itu ialah Ustaz Muhammad Amir Mohd Akhbar manakala moderatornya, penceramah bebas, Ustaz Alias Ahmad.

Ustaz Muhammad Amir, pula berkata seseorang anak turut berperanan besar dalam membentuk sebuah keluarga bahagia sebagai kunci ke syurga dengan berbakti kepada kedua-dua ibu bapa serta jangan sekali melakukan perkara yang boleh menyakiti hati mereka.

Terangnya, Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam satu hadis berbakti kepada ibu bapa adalah lebih tinggi kemuliaannya daripada keluar untuk berjihad kerana tugas memelihara, menjaga serta mengurus ibu bapa bukan suatu perkara yang mudah.


Muhammad Aiman Najwan menunjukkan kepakarannya bermain ‘Solving Rubic Cube’ yang dapat menyelesaikan dalam beberapa saat sahaja.


Jelasnya, dalam kehidupan kita sekarang anak-anak memberi pelbagai alasan untuk menjaga ibu bapa apabila ada antara mereka itu menghidap bermacam-macam penyakit, uzur dan mengharap simpati anak supaya dijaga serta disantuni dengan sempurna.

Menurutnya, tanpa kita sedari khususnya seorang anak masalah dihadapi ibu bapa mereka itu merupakan satu ujian daripada Allah SWT, namun mereka tidak mampu memikul tanggungjawab berkenaan dengan seribu satu alasan yang akhirnya membuang ibu bapa ke pusat jagaan.

“Kita semua juga pernah terbaca dalam media sosial ada ibu bapa dibuang macam anak kucing di pasar atau ditinggalkan menjadi gelandangan tanpa terurus dan perbuatan tidak bertanggungjawab ini menjadi masalah kepada sesetengah mereka apabila tidak dapat hidup bahagia bersama keluarga,” ujarnya lagi.


Che Zainon gembira dapat menunaikan hajatnya untuk menyambut hari jadi yang ke 68 bersama-sama warga emas.


Sebagai memeriahkan majlis itu, adik Muhammad Aiman Najwan Alias dijemput untuk mempamerkan kepakarannya bermain ‘Solving Rubic Cube’ yang dapat diselesaikan dalam beberapa saat sahaja hingga memukau hadirin. 

Manakala bekas anggota pasukan payung terjun negara dan juga Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Che Zainon Osman mengambil kesempatan meraikan hari jadinya ke 68 bagi menyempurnakan hajat menjamu warga emas dengan kek hari jadi beliau.

“Terima kasih kepada tiga pengerusi pusat jagaan membenarkan saya menunaikan hajat ini selepas sekian lama bergelombang melaksanakan tugas sukarelawan dengan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan selepas bersara daripada DBKL,” ujarnya yang mesra dipanggil Ku Yah dan kini menjadi ahli jawatankuasa KESUMA’24.

Pada majlis itu juga empat dianugerahkan Tokoh Maal Hijrah pusat jagaan iaitu, Ustaz Safii Saleh Mohmarhawi dari PJMM, Ustaz Khairul Erwan Mohamad (PJNH), Rafiq Aizuddin Rohimi ( PJI) dan Zaiton Yaacob (Sukarelawan).

Anugerah itu disampaikan oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia, Dr Mohd Shafie Mustafa. - KitaReporters


Dr Shafie (kiri) bersama-sama Tokoh Maal Hijrah (Sukarelawan), Zaiton Yaacob pada majlis Sambutan Maal Hijrah di PJMM.

14
13
0
13
0
You will be interested