Ikan Peacock Bass (PB) terkena pancing.
Jangan dipandang sebelah mata! Lelaki yang sosoknya kurus dan biasa-biasa sahaja itu sebenarnya adalah PB Hunter! PB adalah singkatan daripada nama sejenis ikan pemangsa, Peacock Bass (PB), iaitu sejenis ikan hiasan yang mempunyai peminat tersendiri.
Muhamad Tarmizi Mahamood atau lebih senang disapa Miji, 36, diberi jolokan `pemburu’ ikan PB. Dia sendiri tidak pernah menyangka sama sekali hobi memancing akhirnya bertukar menjadi pekerjaan yang membawa kepada sumber pendapatan.
Lagi kisah-kisah menarik berkaitan memancing:
https://kitareporters.com/search?search=memancing
Perjalanan nasib Miji berkait ungkapan dari sudut Islam,`rezeki tidak pernah salah alamat.’
Menurut penceramah agama, USTAZ DON DANIYAL DON BIYAJID dalam salah satu ceramahnya, walaupun hakikatnya, soal rezeki adalah subjektif, ungkapan itu bermakna `rezeki` merupakan sesuatu yang telah ditulis dan ditetapkan oleh Allah untuk seseorang atau sesuatu makhluknya. Dalam Al-Quran sendiri sebanyak 123 kali disebut berkaitan perkataan `rezeki`.
Merujuk `tuah` daripada kegiatan menangkap ikan PB, menurut Miji, dia percaya itu adalah kerana `rezeki dan nasib`. Nasib baik itu berkait dengan rezeki yang telah ditetapkan oleh Allah SWT, untuknya.
Miji adalah antara mereka yang mendapat manfaat daripada peraturan baru Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang membenarkan kumpulan penangkap ikan (pemancing) untuk sara hidup menjalankan kegiatan mereka pada tempoh PKP.
Peacock Bass (PB) dalam akuarium.
Pada 4 Februari 2021 lalu, Jabatan Perikanan Malaysia mengeluarkan kenyataan, aktiviti memancing ikan bagi tujuan sara hidup dibenarkan termasuk individu `bukan kerja sebagai nelayan`.
Peraturan itu turut diperakui pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), demikian menurut hantaran dalam akaun sosial rasmi Facebook agensi itu baru-baru ini.
Kebenaran kegiatan itu meliputi lokasi di sungai, tebing, lombong, tasik dan pesisir pantai dengan pemancing perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan oleh MKN.
Lega tidak terkira Miji dengan kelonggaran itu. Disebabkan kegiatan menangkap ikan PB sudah menjadi pekerjaannya pada masa ini, Miji mengambil peluang menggiatkan aktivitinya.
Pengalaman daripada hobi memancing sejak dari kecil ketika membesar di Kelantan, sangat membantu dalam pekerjaan barunya sekarang.
Muhamad Tarmizi (Miji) diberi jolokan PB Hunter kerana pakar mengail ikan Peacock Bass.
Sejak ditakdirkan `terjebak` dengan kegiatan memancing ikan PB, bagai memberi nafas baru kepada dirinya yang kini menetap di Kuantan, Pahang, berikutan permintaan semakin bertambah daripada peminat ikan itu.
Perkongsian dalam Facebook (FB) mengenai kegiatannya menangkap ikan PB yang kemudian dipelihara dalam akuarium sendiri, mendapat perhatian peminat ikan itu dari pelbagai bangsa. Dan ada pula orang yang ingin membeli ikan-ikannya.
"Kami anggap itu `rezeki` dan `nasib baik` sebab... tak tau kenapa, saya selalu dapat tangkap ikan itu. Pada hal ramai lagi yang memancing di tempat sama, tapi mereka susah nak dapat ikan itu.
"Kalau mereka, dapat seekor pun sudah cukup suka sebab bagi mereka payah sangat nak dapat, sedangkan Miji boleh pancing berpuluh-puluh ekor! Boleh dikatakan peminat-peminat ikan PB kenal Miji dan memberinya gelaran PB Hunter," celah isterinya, Siti Hamidah Mokthar.
Peacock Bass (PB)... Ikan hiasan jenis pemangsa, menangkap ikan kecil sebagai makanan dengan cara menyambar secara pantas. Wajahnya pun kelihatan garang! Mempunyai peminat tersendiri.
Kalau dulunya sasaran ikan sewaktu memancing adalah pelbagai, tapi sekarang khusus mencari ikan PB saja.
Menurut Miji, ikan jenis pemangsa, PB yang berasal dari Amazon itu ada sifatnya yang tersendiri dari segi karakter dan pemakanan.
"Nak mudah tangkap, kena kaji apa dia suka makan. Saya suka kaji umpan jenis macam mana ikan itu suka makan dan saya juga reka umpan tiruan sendiri serta guna pelbagai teknik untuk tarik perhatiannya supaya makan umpan itu," jelas Miji.
Menurutnya lagi, kena selalu perhati kelakuan dan habitat ikan itu di samping mencari `lubuk`nya.
Semua ikan tangkapan akan disimpan dalam akuarium di rumahnya, dan ikan yang banyak itu hanya ditangkap dengan pancing dan umpan.
"Tak lama dapat disimpan, ramai pula datang berkehendakkan ikan-ikan itu, malah ada siap pesan, nak berapa ekor," tambahnya.
Ikan-ikan yang terkena pancing dikeluarkan daripada mata kail dengan berhati-hati, supaya tidak tercedera agar dapat dipelihara.
Ikan PB dalam bekas sewaktu diangkut.
Ramai peminat ikan jenis PB ini terutama daripada kalangan orang yang `ada duit`.
Selain disukai kerana sifatnya yang unik, karaktor ikan spesies ganas itu disukai kerana cara ia makan dengan menyambar ikan-ikan kecil, buat orang berasa seronok dan leka melihatnya, tambah Miji.
Tempat kebiasaan Miji menangkap ikan PB ialah di sungai, tasik dan lombong.
"Sejak mula memuat naik gambar dalam grup FB memancing, sentiasa ada permintaan bukan saja di sekitar Kuantan, malah ada dari Temerloh dan Jengka (Pahang) selain dari Terengganu, Kelantan, Johor, Kuala Lumpur dan Selangor. Mereka datang sendiri ke rumah untuk memilih ikan," katanya.
Membungkus ikan PB hidup untuk diangkut.
Harga ikan dari RM15 hingga RM150 seekor dan ada juga mencecah RM200 seekor, bergantung saiz, warna dan jenisnya. Ada beli untuk peliharaan sendiri, ada juga `orang tengah' yang beli dan jual kepada pemilik kedai ikan.
Waktu tangkap ikan, setiap hari selepas subuh sekitar jam 6.30 pagi sehingga jam 11 pagi, rehat pada tengah hari dan sambung pula petang, selepas waktu asar sehingga jam 7 malam.
Tidak rugi membelinya kerana ikan yang membesar itu meningkat harganya, dan kalau ia mati, boleh dimasak dan dimakan, celah Siti Hamidah. - KitaReporters
Ikan PB yang mati, boleh dimasak untuk lauk hidangan.