Insan & Komuniti 27 Nov, 2020

Maradona tiada semangat sukan! Shilton sedih berbaur kecewa!

@abdul hafiz ahmad
Wartawan Utusan Malaysia 1997-2019, menyertai akhbar mingguan tabloid Buletin Utama dan Harian Watan 1994-1996. Tetamu Sebelum Wisel, Wisel Penamat, Planet Sukan, Stadium Angkasa, Selamat Pagi Malaysia (RTM); Kafe Sukan, Nadi Arena (Astro Arena) dan Ruang Bicara (Bernama TV). Pemenang Peraduan Penulis Sukan Piala Asia AFC 2007 dan Ahli Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara 2008-2017. E-mel: [email protected]

Share this

BEKAS penjaga gol England, Peter Shilton yang ditewaskan oleh mendiang Diego Maradona dalam ‘Gol Tangan Ajaib’ (hand of god) Piala Dunia 1986 di Mexico mengakui kehebatan legenda bola sepak Argentina itu tetapi lawan dianggapnya tidak bersemangat kesukanan.  Shilton berkata, dia sedih dengan kematian Maradona di Buenos Aires akibat serangan jantung pada usia 60 tahun biarpun hidupnya sekian lama dikaitkan dengan jaringan kontroversi suku akhir di Stadium Azteca, Mexico itu. : KitaReporters


PETER Shilton (wajah terkini) di belakang Diego Maradona yang menumbuk bola untuk gol pertama Argentina. - Kredit foto Sportbible.com


Lagi cerita berkaitan Argentina:

https://kitareporters.com/search?search=argentina


Tiada semangat kesukanan katanya adalah kerana Maradona tidak pernah memohon maaf - sesuatu yang tidak digemari kapten Piala Dunia England itu. 

“Apa yang saya tidak suka ialah dia tidak pernah memohon maaf. Tidak pernah pada mana-mana tempat, dia berkata, dia telah menipu dan bahawa dia mahu meminta maaf. Sebaliknya, dia gunakan ayat ‘Tangan Ajaibnya’. Itu tidak betul.

“Saya melihat dirinya hebat tetapi sedihnya tiada semangat kesukanan. 

“Saya sedia bertemunya (sebelum kematiannya) jika dia mohon maaf. Hidup saya sekian lama dikaitkan dengan cara yang saya tidak sukai. Bertahun-tahun saya rasa terganggu dengan (peristiwa gol itu - England tersingkir dengan satu lagi gol Maradona kemudian dan kalah 2-1). 

“Namun saya sedih dengan pemergiannya pada usia semuda itu. Tidak syak lagi dia pemain terhebat pernah saya hadapi dan ingatan saya bersama keluarganya,” kata Shilton, 71, kepada media dalam talian United Kingdom, Daily Mail, 26 November 2020. 


SHILTON mendakwa, saiz dan ketinggian yang kurang memaksa Maradona menumbuk bola ke gawang England. - Kredit foto Daily Mail UK.


Penjaga gol pemegang rekod penampilan terbanyak, 125 kali dengan Three Lions itu berkata, ramai menganggap dia boleh menepis untuk mengeluarkan bola daripada asakan Maradona di udara dalam perlawanan tanggal 22 Jun 1986 itu. 

“Saya dikatakan membiarkan orang yang lebih kecil (1.65 meter) mengatasi lompatan saya. Itu mengarut. Dia tidak akan menumbuknya jika dia tahu dia boleh menanduknya, bukan?,” kata Shilton yang berketinggian 1.83 meter. 

Jelas Shilton, Maradona menyainginya untuk bola tinggi tetapi dengan menumbuknya dan bukan menanduknya ke gawang yang membuktikan lawan telah melakukan satu kesalahan yang jelas - menipu. 

“Selama bertahun-tahun, ada beberapa percubaan untuk membawa kami berdua bersama dalam satu bilik. Pendekatan saya sentiasa sama - bahawa saya akan gembira melakukannya jika saya sangka dia akan memohon maaf.

“Saya akan berjabat tangannya. Namun saya tidak pernah diberikan sebarang pembayang bahawa itu akan berlaku. Pernah sekali saya diminta menghadiri satu rancangan bual bicara TV di Argentina. 

“Namun sekali lagi saya berasa tidak kena. Saya rasa semuanya akan jadi sedikit gimik jadi saya elakkannya dan saya fikir saya telah buat keputusan yang betul,” kata Shilton, pemain England dari 1970 hingga 1990. 


ALI Nasser, pengadil Tunisia (kiri) dalam suku akhir Piala Dunia 1986 itu bersama Maradona. - Kredit foto VistaBuzz. 


Gary Lineker (penjaring gol England perlawanan itu) katanya, juga pernah menghadiri temu bual TV mengenainya selepas itu tetapi setiap kali dia menyangka akan bertemu Maradona, ‘El Pibe de Oro’ (Budak Emas) itu tidak pernah muncul. 

“Saya tidak terkejut. Kebanyakan pemain pasukan England yang bermain di Mexico juga berasa begitu sehingga hari ini. Bukan sahaja saya yang ditipu tetapi seluruh pasukan. 

“Kami berpeluang mara ke separuh akhir dan mungkin perlawanan akhir Piala Dunia. Berapa kerap ini boleh berlaku? Saya teringat di bilik persalinan kami selepas perlawanan. Sunyi betul. 

“(Mendiang) Bobby Robson, pengurus kami, masuk. Dia hanya berdiri di situ dan melihat kami. Dia bertanya, ‘dia memegangnya, bukan?’ Kami hanya mengangguk dan dia menggelengkan kepala, memusing badan dan keluar.” 


SHILTON (kanan) berjabat tangan dengan Maradona  sambil pengadil Tunisia, Ali Nasser memegang bola sebelum perlawanan suku akhir Piala Dunia. - Kredit foto Daily Mail UK.


Dakwa Shilton, Maradona ketika berlari jauh untuk meraikan gol kontroversi itu sempat dua kali menoleh ke belakang seperti dia menantikan tiupan wisel pengesahan oleh pengadil Tunisia, Ali Nasser dan dia tahu apa yang telah dilakukannya. 

“Semua orang tahu - selain pengadil dan dua pengadil garisan. Saya tidak peduli apa orang lain kata, (gol) itu telah memenangkan Argentina. 

“Beberapa lama kemudian, muncul gambar Maradona bercuti di Tunisia. Dia memeluk pengadil itu. Mereka ketawa. Bagaimana pengadil itu boleh melakukannya selepas apa yang terjadi? 

“Saya harap itu tidak mencemari legasi Maradona. Dia benar-benar seorang pemain yang hebat - di atas setaraf Pele (pemenang tiga Piala Dunia bersama Brazil). Bakatnya istimewa dan sukar mempercayai dia telah meninggal dunia hanya pada usia 60 tahun. 

“Selain (perlawanan Piala Dunia itu) sebagai satu lagi penampilan saya buat negara saya, sememangnya itulah satu perlawanan yang saya tidak akan lupakan,” kata Shilton. 


GARY Lineker (kanan), penjaring gol England bersama Maradona, tiga bulan selepas perlawanan Piala Dunia 1986 itu. - Kredit foto Daily Mail UK.

0
0
0
0
0
You will be interested