Insan & Komuniti 24 Jun, 2021

Terbaiklah Shahrul Zaman! Bergelar Mr. Mama, lelaki ini santuni isteri, anak-anak tanpa jemu!

@khadijah mohamad nor
Pernah berkhidmat sebagai Wartawan Eksekutif di akhbar Kosmo! selama hampir 14 tahun. Berpengalaman dalam penulisan rencana, sukan, berita dan luar negara. Graduan Universiti Teknologi Mara dalam bidang Seni Lukis dan Seni Reka Tesktil. Boleh dihubungi melalui emel [email protected]

Share this

Kredit foto: Instagram Shahrul Zaman Lukman


BERGELAR bapa kepada enam cahaya mata termasuk dua orang kembar, Shahrul Zaman Lukman, 41, boleh dikatakan sebagai seorang lelaki yang sangat penyabar. Apa tidaknya, selepas berhenti kerja sebagai editor di salah sebuah rumah penerbitan terkenal di negara ini, beliau kini menumpukan sepenuh perhatiannya dalam menjadi Mr. Mama.

Jika dahulu bertugas di pejabat yang selesa dan menghadap komputer, tetapi kini beliau perlu menghadap ragam dan kerenah anak-anak yang penuh warna-warni.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan bapa


SHAHRUL Zaman Lukman bersama isterinya, Ain Nurbaya dan enam anak mereka. - Kredit foto: Koleksi peribadi Shahrul Zaman Lukman


Dalam satu posting di Facebook beliau, Shahrul berkongsi satu hantaran bagaimana beliau menjaga anak-anaknya di rumah, memandangkan isterinya, Ain Nurbaya Sayuti bertugas sebagai seorang pendidik.

Menurut anak kelahiran Terengganu itu, tiga orang anaknya masih bersekolah manakala tiga lagi masih setia duduk di rumah atau dalam erti kata lain memang duduk berkepit di bawah ketiaknya.

Justeru, beliau memberitahu tiga sifir mudah yang digunakan dalam menjaga mereka.

"Pertama, apabila mereka bangun saya terus memberikan senyuman dan menegur mereka. Zaid dah bangun. Ziyad nak minum, Arshad nak makan. Ini merupakan tanda kita caring atau menghargai mereka agar memberikan mood yang terbaik selepas bangun tidur. 

"Malah, sebagai bapa apabila kita nampak mereka tersenyum pada awal pagi, hati pun rasa seronok untuk mulakan tugas hakiki di rumah," jelas Shahrul yang merupakan salah seorang daripada tiga penulis buku Mr. Mama terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.


TIGA anak yang masih kecil sentiasa berkepit dengannya setiap masa.


Kemudian, sura rumah tangga ini menjelaskan sifir keduanya ialah menjaga emosi mereka.

"Jaga emosi anak-anak. Ya, kadang-kadang mereka menangis pagi-pagi. Tak apa, biarkan mereka dengan emosi seketika kerana itu lumrah anak kecil. Tantrum memang selalu terjadi. Kita? Senyum dulu sambil buat-buat sembang dan pujuk. Untuk alih perhatian mereka kepada perkara lain.

"Dan yang ketiga bermainlah dengan mereka dengan sepenuh perasaan, Ya, benar. Jika diminta jadi kuda.. jadi. Minta jadi raksasa.. jadi. Minta jadi sofa.. jadi," jelasnya lagi.

Malah, sambil bergurau Shahrul mengatakan terasa dirinya dipenyek menjadi burger lantaran badannya selalu dijadikan tempat lepak tiga anak lelakinya.

Namun, beliau tidak pernah merungut atau mengeluh dengan tanggungjawab tersebut kerana menyedari apabila anak-anak telah besar nanti, momen sebeginilah yang akan dirinduinya.

"Percayalah, kita sukar untuk mengingati setiap momen anak-anak sedang berinteraksi dengan kita semasa mereka kecil. Allahu. Kadang-kadang, saya rakam video mereka juga. Tanda kenangan. Dan apabila melihat semula rakaman itu di sebelah malam, boleh meleleh air mata," ungkapnya.


SEBAHAGIAN koleksi video yang dirakam sendiri anak kecilnya.


Menelusuri kehidupan lelaki ini, beliau mengambil keputusan berhenti kerja semata-mata untuk menjaga anak kembarnya ketika mereka dilahirkan. Walaupun telah memiliki kerjaya yang stabil dan gaji yang selesa, namun demi melunaskan tanggungjawab pada keluarga dia rela melepaskan jawatan.

Kini, sambil duduk di rumah sebagai sura rumah tangga atau Mr Mama menjaga anak-anak, beliau tetap berusaha mencari rezeki melalui kemahiran yang dimiliki. Antaranya termasuklah mengadakan bengkel-bengkel secara dalam talian untuk ilmu berkaitan penulisan, pemasaran dan penerbitan buku.


MENJADI sura rumah tangga tidak menghalang untuknya terlibat dalam kerja-kerja dakwah dalam penulisan.


Semoga lebih ramai lelaki di luar sana dapat mencontohi sifat Shahrul dalam menyantuni keluarganya.

Seperti mana kata Shahrul dalam buku Mr. Mama: "Buat kerja rumah tak menjatuhkan maruah kaum lelaki pun. Bagi saya, suami-suami yang tidak membantu isteri di rumah adalah suami yang tidak bertimbang rasa. Opss!" - KitaReporters


LELAKI ini tetap gigih bekerja dari rumah melalui kemahiran yang dimiliki dalam bidang penulisan, pemasaran dan penerbitan buku untuk mencari rezeki yang halal.

55
2
0
1
0
You will be interested