Insan & Komuniti 01 May, 2022

Keluarga Malaysia: Tak lupa yang sakit, OKU! Syabas Kelab Skuter dan Rekreasi Anak Muda Kuantan!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this



KEHADIRAN bulan Ramadan dan Syawal sentiasa dinanti-nantikan saban tahun oleh umat Islam seantero dunia. 

Tanpa mengira status miskin atau kaya, kecil atau besar, tua atau muda semuanya sama sahaja, mencari reda Illahi dalam menjalani ibadah puasa dan menyambut hari raya. 

Menyelami nurani golongan asnaf dalam membuat persiapan kedua-dua bulan mulia ini, hati pasti tersentuh dan ingin menghulurkan bantuan apatah lagi memandangkan Hari Raya Aidilfitri bakal diraikan sama ada esok (Isnin, 2 Mei 2022) atau Selasa, 3 Mei 2022. 

Persiapan giat dilakukan sama ada menghias rumah atau memikirkan juadah pada pagi Syawal. Kemeriahan semakin dirasakan. 

Namun, situasi seperti itu tidak dirasakan oleh golongan yang berada dalam kesempitan hidup termasuk golongan asnaf yang ada antaranya hidup bergantung kepada simpati masyarakat.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan kelab motosikal

Penasihat Kelab Skuter dan Rekreasi Anak Muda Kuantan, Tunku Zaza Fakia Faranaz Tunku Ismail (kanan) menyerahkan sumbangan hari raya kepada Rubiah Mohd, 57, di rumahnya di Kampung Tengah, Kuantan.

Tidak terkecuali 15 keluarga asnaf dari Kampung Tanjung Api, Kampung Alor Akar dan Kampung Tengah di Kuantan, Pahang yang hidup dalam serba kekurangan namun tetap mahu meraikan Aidilfitri sama seperti orang lain.

Bagi membantu golongan ini turut merasai nikmat berhari raya, Kelab Skuter dan Rekreasi Anak Muda Kuantan mengambil inisiaif menyalurkan sumbangan barangan keperluan dapur dan biskut raya menerusi Program Menyantuni Asnaf Sempena Hari Raya Aidilfitri pada Rabu, 27 April 2022.

Pengerusinya, Mohd Jefrisham Abdul Latif berkata, pihaknya prihatin untuk membantu meringankan beban golongan yang benar-benar memerlukan.

Menurutnya, program yang memasuki tahun keempat itu mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak termasuk ahli kumpulan dan orang perseorangan.

“Semoga sumbangan ini dapat menggembirakan hati dan membantu meringankan beban mereka dalam membuat persiapan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan ketika berkunjung ke salah sebuah rumah asnaf di Kampung Tengah.


Pengerusi Kelab Skuter dan Rekreasi Anak Muda Kuantan, Mohd Jefrisham Abdul Latif menyerahkan sumbangan hari raya kepada Mansor Hussain, 68, di rumahnya di Kampung Alor Akar, Kuantan.

Pesara kerajaan, Mansor Hussain, 68, yang menghidap strok berterima kasih di atas keprihatinan kelab berkenaan dalam membela nasib golongan asnaf sepertinya.

“Terima kasih atas sumbangan yang sangat bermakna ini, baru rasa lega sebab dapatlah isteri saya sediakan juadah hari raya nanti," katanya ditemui dirumahnya di Kampung Alor Akar sempena program berkenaan.

Menurut Mansor, selepas terbabit dalam kemalangan pada 1982, dia tidak mampu untuk bekerja berikutan keadaan kaki kanannya yang mengalami kecederaan parah.

“Selepas ditimpa kemalangan, saya menjalani pembedahan sebanyak empat kali namun sakitnya berulang dan besi yang tertanam terpaksa dikeluarkan.

“Malang menimpa apabila saya yang menghidap penyakit kencing manis dan darah tinggi diserang penyakit angin ahmar pula lapan tahun lalu yang langsung menyekat pergerakan saya,” katanya ketika ditemui dirumahmya di Kampung Alor Akar.

Mansor adalah penerima bantuan bulanan Jabatan Kemajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM450 selain wang pencen  setiap bulan dan  cukup untuk menyara kehidupannya dan isteri, Zubaidah Aziz, 50. 


Mohd Jefrisham Abdul Latif (tengah) menyerahkan sumbangan hari raya kepada Munir Ramaini, 65, di rumahnya di Kampung Alor Akar, Kuantan.

Seorang lagi penerima, Munir Ramaini, 65, turut menyatakan kesyukuran kerana sumbangan itu tepat pada masanya ketika umat Islam sedang dalam persediaan menyambut Hari Raya Adilfitri.

"Terima kasih diatas sumbangan ini kerana saya tidak ada pendapatan langsung untuk membeli keperluan dapur  apatah lagi persiapan hari raya kerana sudah lama tidak bekerja.

“Selepas tulang kaki kanan saya retak akibat jatuh saya tidak boleh bekerja kuat dan hanya mengharapkan orang ramai menghulurkan bantuan. Hari raya tiada ertinya bagi saya,” katanya yang menetap di Kampung Tanjung Api.


Tunku Zaza Fakia Faranaz Tunku Ismail (kanan) mendengar penerangan Rubiah mengenai komplikasi penyakit anaknya, Puteri Kirana Puri, seorang pesakit Celebral Palsy, di rumahnya di Kampung Tengah, Kuantan.


Sementara itu, bagi seorang ibu tunggal, Rubiah Mohd, 57, sumbangan barangan dapur dan tiga pasang pakaian baharu untuk anak tunggalnya Puteri Kirana Puri Abdullah, 21, sangatlah dihargainya.

“Terima kasih beri baju raya, barang keperluan dapur serta biskut raya kepada kami berdua. Bolehlah Kirana bergaya pada hari raya nanti.

“Saya pernah bekerja sebagai pencuci kereta di sebuah pusat mencuci kenderaan tetapi terpaksa berhenti demi anak tunggal saya yang juga Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana menghidap Celebral Palsy (Palsi Serebrum),” katanya.

Bersama kita meraikan hari kemenangan umat Islam selepas tamat sebulan berpuasa. Jangan lupa patuhi SOP sebagaimana ditetapkan kerajaan untuk mengelak penularan Covid-19. - KitaReporters


Tunku Zaza Fakia Faranaz Tunku Ismail (kiri) menyerahkan sumbangan hari raya kepada Rubiah Mohd, 57, dirumahnya di Kampung Tengah, Kuantan.

8
21
0
11
0
You will be interested