Insan & Komuniti 17 Jun, 2022

Tahniah! 3 pelajar buktikan wabak COVID-19, PdPR bukan penghalang! Keputusan cemerlang SPM 2021!

@ainal marhaton abd ghani
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) dalam bidang kewartawanan. Seorang penulis bebas dan penulis upahan (Ghostwriter). Bergiat aktif dalam dunia penulisan kreatif sejak 2019 dan menyertai puluhan projek antologi pelbagai genre daripada beberapa rumah penerbitan. emel: [email protected]

Share this

Sokongan padu ahli keluarga.. Tahniah Umar Abdul Majid dan bondanya Mazura Ibrahim serta keluarga

Kredit foto FB: Rohana Ibrahim


MENGHARUNGI cabaran sebagai pelajar dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan pandemik COVID-19 bukan satu perkara mudah. Banyak halangan, cabaran dan rintangan yang perlu diharungi sebelum berjaya. 

Contohi pelajar ini yang berjaya meraih keputusan cemerlang dalam SPM 2021 yang diumumkan hari ini. 

Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) akibat pandemik COVID-19 bukan satu masalah bagi tiga pelajar cemerlang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 ini. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan peperiksaan

Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 dari SMK Abdul Rahman Talib (SMART), Umar Abdul Majid dan Nur Arisha Amyrul Naim menunjukkan keputusan SPM mereka.


Nur Arisha Amyrul Naim, 18, yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran (8A+,1A) tidak menjadikan kekangan sepanjang PdPR sebagai satu halangan untuk belajar.

Menurut pelajar Sekolah Menengah (SM) Abdul Rahman Talib (SMART), Kuantan itu, cabaran belajar secara dalam talian tetap ada namun dia tetap mencari jalan agar segala masalah yang timbul diatasi dan tidak menganggu sesi pembelajaran setiap hari.

Anak kepada jurujual kereta dari Indera Mahkota 15 itu berkata, keputusan cemerlang yang diterimanya itu memang di luar jangkaan. 

“Memang harapkan semua A tapi tidak sangka harapan itu menjadi kenyataan memandangkan semasa percubaan, keputusannya hanya 2A+, 4A, 1A- dan 1B,“ katanya ketika ditemui sewaktu mengambil keputusan periksa di  SMART pada 16 Jun 2022.


Nur Arisha Amyrul Naim, 18.


Seorang lagi pelajar cemerlang SMART, Umar Abdul Majid,18, berkata, dia amat berpuas hati dan bersyukur dengan keputusan SPM yang diterima.

Umar mengakui berdepan banyak cabaran sepanjang mengikuti PdPR.

“Kebetulan ketika pelaksanaan PdPR, rumah keluarga saya sedang diubah suai menyebabkan tiada ruang untuk belajar sehingga terpaksa menggunakan ruang dapur.

“Keadaan juga agak bising jadi saya hanya boleh belajar dan mengulang kaji pelajaran dengan lebih selesa selepas jam 7 malam,“ kata anak pengurus restoran itu.

Umar mengakui agak terkejut apabila namanya diumumkan sebagai antara pelajar terbaik dengan keputusan cemerlang semua A bagi setiap mata pelajaran (9A+, 2A).


Umar Abdul Majid, 18.


Ameera Dania Maisara Ibrahim, 18.


Ameera Dania Maisara Ibrahim, 18, pula masih belum percaya bahawa dia memperoleh 8A dalam SPM 2021.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih, Kuantan  yang hanya memperoleh 2A, 4B , 2C dan 1G dalam ujian percubaan SPM mengakui masih terkejut dengan keputusan yang diterima.

“Ketika hendak mengambil keputusan di sekolah pagi tadi, saya tidak menaruh sebarang harapan langsung mendapat keputusan cemerlang berdasarkan keputusan yang teruk ketika percubaan.

“Apabila diumumkan saya memperoleh 8A, saya masih tidak percaya malah saya anggap itu hanya mimpi dan gurauan kawan sahaja,“ katanya.

Ameera Dania Maisara memperoleh 6A bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sejarah, Matematik, Sains dan Prinsip Perakaunan;  Pendidikan Islam dan Ekonomi (A-) manakala C+ untuk subjek Matematik Tambahan.

Katanya, selepas menerima keputusan percubaan yang mengecewakan itu, dia bangkit dan terus fokus serta melipatgandakan usaha untuk mencatat keputusan lebih cemerlang.


Ameera Dania Maisara Ibrahim dan ibunya, Wan Nor Raihan Wan Abdul Rahman, 51, menunjukkan salinan keputusan SPM 2021 yang diperolehnya.


“Saya tidak lagi membuang masa menonton televisyen, kurangkan main game atau mengikut ibu beraktiviti, sebaliknya saya lebih banyak 'bertemu' rakan di pelantar Google Meet atau Zoom untuk mengulang kaji pelajaran.

“Alhamdulillah, apa yang usahakan beberapa bulan sebelum peperiksaan sebenar berjaya juga akhirnya. Terima kasih kepada kawan-kawan yang sama-sama berjuang untuk kejayaan ini,“ katanya.

Anak keempat daripada lima beradik itu menzahirkan penghargaan kepada ibu bapanya, Ibrahim Lamri, 60, dan Wan Nor Raihan Wan Abdul Rahman, 51, yang tidak memberikan sebarang tekanan dan sentiasa berusaha memastikan keselesaannya belajar di rumah.

“Kejayaan yang saya ini perolehi ini juga  adalah hasil kata-kata semangat yang diberikan guru sepanjang masa kami bertemu di kelas online dan secara bersemuka beberapa minggu sebelum peperiksaan berlangsung,“ katanya.

Kejayaan tidak datang bergolek. Kalau orang lain boleh berjaya, kenapa tidak kita. Jusferu, belajarlah selagi boleh dan cipta kejayaan demi membahagiakan insan tercinta terutama kedua ibubapa yang sanggup berkorban apa sahaja untuk anak-anak. - KitaReporters


11
14
0
6
0
You will be interested